Tiada siapa pun tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Atas sebab persoalan ini pelbagai andaian boleh dibuat, samada masuk akal ataupun tidak. Dalam filem, ia disajikan dalam genre fiksyen sains. Selain menjadi petunjuk bahawa manusia memang kurang ilmunya, ia juga menunjukkan bahawa imaginasi manusia seolah-olah tiada garis pemisah.
Children Of Men membawa kita pada zaman akan datang. Tidaklah jauh dari sekarang, cuma beberapa tahun sahaja kehadapan, iaitu di tahun 2027. Dunia ketika itu berada di dalam keadaan yang kaotik. Pemberontakan (dari konteks filem ini, pengganas) berlaku di seluruh dunia. Apabila TV dipasang, berita tentang kematian, pengeboman dan huru hara menjadi intisari utama.
Kita dikejutkan dengan klip berita pada masa itu yang mengatakan bahawa manusia paling muda telah mati dibunuh. Nanti sekejap. Manusia paling muda? Baca sekali lagi. Manusia paling muda? Mana mungkin ada manusia paling muda? Bukankah bayi dilahirkan setiap minit?
Rupa-rupanya, pada zaman itu, manusia menghadapi bencana paling besar. Lebih besar (pada pandangan filem ini) dari kematian. Bencana itu ialah, manusia menjadi mandul kesemuanya! Kelahiran terakhir berlaku kira-kira 19 tahun yang lampau. Selepas itu tiada lagi kelahiran. Disebabkan manusia paling muda telah mati, tempat tersebut telah diganti oleh orang kedua paling muda di dunia.
Keadaan dunia yang melampau huru haranya menjadikan Britain sebuah negara yang dihurungi pelarian. Oleh sebab kedatangan imigran yang tidak terkawal, kerajaan Britain membuat satu undang-undang ketat yang mana tiada lagi imigran dibenarkan masuk walau dengan apa sebab. Mereka di tahan dan diletakkan di dalam khemah pelarian yang pada pandangan penulis, seperti khemah pelarian Palestin. Wujudlah golongan penentang dengan taktik gerila yang menentang polisi kejam tersebut.
Dalam keadaan yang huru hara tersebut suatu kejadian pelik telah berlaku iaitu seorang wanita telah hamil. Hamil! Setelah 19 tahun ketandusan zuriat untuk keseluruhan manusia. Masalahnya, wanita tersebut ialah pelarian. Dan beliau mesti dibawa ke Britain untuk di hantar ke satu projek rahsia, The Human Project, yang menggembeleng tenaga untuk menyelesaikan masalah kemandulan manusia ini. Dengan harapan, suatu hari nanti, tamadun kemanusian dapat diteruskan.
Imej pos-apokalips yang cuba dipaparkan dalam filem ini sungguh berkesan. Keadaan tamadun manusia yang telah hampir dengan kehancurannya. Ini semua berlaku tanpa peperangan nuklear. Sebaliknya, berlaku atas sebab daya usaha manusia itu sendiri dan siapa tahu apa jenis penyakit yang menyebabkan keseluruhan manusia menjadi mandul? Ini mungkin boleh atau mungkin tidak berlaku. Menunjukkan bahawa manusia ini lemah sebenarnya. Dan harapan dalam menyelesaikan masalah ini BUKAN berada di tangan manusia sebenarnya.
SKOR : 9/10
Pengulas : Bentara
No comments:
Post a Comment