Saturday, April 7, 2007

The Graduate (1967)

Dustin Hoffman melakonkan watak Benjamin Braddock, seorang graduan yang baru keluar dari universiti dan sudah bersedia (pada pandangan kedua ibu bapanya) untuk menjadi manusia yang berjaya. Bukan sahaja di universiti para graduan dirai malah untuk keluarga Benjamin, beliau juga dirai dengan mengadakan parti. Sebenarnya ia bercabang dua, pertamanya untuk meraikan Benjamin dan kedua untuk 'memasarkan' kredibiliti Benjamin. Bukan Benjamin itu tidak berupaya cuma tampak tidak berminat.

Sememangnya Benjamin agak kurang berminat. Sapaan tahniah dari rakan keluarganya semasa majlis tersebut disambut dengan hambar dan cuba dielak dengan baik. Parti yang tidak parti itu (pada Benjamin) sangat merimaskan. Nasib menyebelahi beliau apabila beliau terpaksa menghantar seorang rakan keluarga beliau Mrs. Robinson (berpangkat makcik lakonan jelitawan Anne Bancroft) ke rumah. Cumanya, Benjamin tidak menjangka yang Mrs. Robinson tersebut sebenarnya mahu menggodanya setiba mereka di rumah.

Maka permainan 'rahsia' ini berlarutan. Dari seorang yang 'clueless' pada godaan pertama (yang melucukan) hinggalah kepada seorang yang expert (permainan yang kerap berlaku di sebuah hotel). Sememangnya, Benjamin ialah 'graduan' yang berjaya! Apa yang dipelajarinya di universiti tidak dipraktikkan hingga beliau dimarahi keluarga kerana masih tidak bekerja tetapi sebaliknya Benjamin 'bekerja' hampir setiap malam di bilik hotel. Kekerapan Benjamin dan Mrs. Robinson menginap di hotel hingga menyebabkan hampir keseluruhan pekerja hotel tersebut mengenali mereka.




Masalah mula timbul apabila anak perempuan Mrs. Robinson, Elaine (Katharine Ross), pulang bercuti dari universiti. Keluarga Benjamin dan suami makcik tersebut yang sememangnya tidak mengetahui permainan rahsia tersebut begitu bercita-cita agar Benjamin dapat disatukan bersama dengan Elaine. Benjamin yang pada mulanya menolak, akhirnya jatuh cinta kepada Elaine. Sebenarnya, dengan Mrs Robinson itu sekadar eksperimentasi tetapi cinta sebenarnya adalah kepada Elaine.

Situasi menjadi bertambah kompleks apabila Elaine mengetahui perkara sebenar sementara Mrs. Robinson pula menghalang perhubungan Benjamin-Elaine. Penyelesaian yang perlu dibuat oleh Benjamin begitu drastik sekali. Kerana beliau bukan lagi clueless. Bahkan tidak pula sekadar expert di atas katil. Sekarang beliau perlu menghadapi realiti sebenar dan penangan 'cinta' dalam erti yang sahih. Mike Nichols memenangi anugerah Academy untuk arahan filem ini disamping dicalonkan untuk beberapa kategori lain antaranya, Pelakon Lelaki dan Wanita terbaik.

Skor : 9/10
Pengulas : Bentara

No comments: