Tuesday, April 10, 2007

Scanners (1981)

David Cronenberg terkenal dengan filem seram yang pelik. Penulis mula mengenali beliau melalui filem The Fly (1986) yang seingat penulis ditonton di dalam panggung wayang. Filem itu memberi kesan kepada penulis dengan gaya ceritanya yang agak sains fiksyen tetapi pada masa yang sama penuh dengan situasi seram yang meremangkan bulu roma. Seterusnya filem eXistenZ (1999) yang juga berada dalam genre seram tetapi dengan twist yang pelik, menggunakan video game ala Playstation alaf baru untuk membangkitkan elemen seram yang dikehendaki.

Filem ini ditonton semata-mata kerana Cronenberg adalah pengarahnya. Untuk menonton pelakonnya, semuanya tidak dikenali.

Scanners ialah satu terma yang diberikan kepada sebilangan manusia yang mempunyai kemampuan untuk mengeksploitasi fikiran manusia lain. Terma saintifiknya ialah telepathic. Seperti yang dinyatakan dalam dialog, scanners akan meransang urat saraf manusia lain supaya menjadi urat saraf scanners sendiri lantas dapat mengawal keadaan manusia 'host' tersebut.

Sudah tentu apabila mempunyai kuasa yang luar biasa, ia akan disalahgunakan. Darryl Revok (Michael Ironside) ialah seorang scanners yang mengetahui kelebihannya. Namun begitu beliau menghadapi masalah untuk mengawal kelebihannya pada masa muda sehingga beliau ditahan di dalam sanctuary. Entah macamana, beliau berfikiran bahawa scanners perlu memberontak. Beliau juga faham bahawa punca asal sesetengah manusia menjadi scanner adalah disebabkan ketidakseimbangan kimia semasa di dalam rahim.

Maka Revok bekerja dengan sebuah syarikat kimia yang menghasilkan Ephemerol, satu bahan kimia yang membolehkan manusia scanners terbentuk. Ephemerol perlu disuntik kepada ibu yang sedang mengandung untuk ia berkesan. Revok melancarkan gerakan agar Ephemerol menjadi ubat asas bagi ibu-ibu yang mengandung. Dan Ephemerol ini akan disebarkan ke seluruh Amerika melalui syarikat kimia tersebut.

Komplot Revok cuba dihalang oleh Dr. Paul Ruth (Patrick McGoohan), seorang pakar dalam fenomena scanners. Melalui prodigee beliau, Cameron Vale (Stephen Lack), mereka bergerak untuk mula-mula mencari di mana Revok sedang menyorok dan kemudiannya menghalang (atau memusnahkan) Revok sebelum Ephemerol tersebar luas.

Kita tidak boleh mengharap efek yang canggih di dalam filem ini kerana ia diterbitkan pada tahun 1981. Lagipun, ini kemungkinan filem yang tinggi sikit dari filem grad B. Tetapi idea Cronenberg agak original dan kemas. Kepada peminat filem 'gore' pasti tertunggu-tunggu scene yang mana kepala manusia 'diletupkan' (sekurang-kurangnya penulis menunggu scene ini).

Adalah difahamkan bahawa Dimension Film sedang dalam proses terakhir untuk membuat 'remake' untuk filem ini. Namun, penulis merasakan bahawa adalah penting untuk filem asal ditonton dahulu kerana yang asal itu yang terbaik, selalunya.

Skor : 8/10
Pengulas : Bentara

No comments: