Keluarga yang 'kurang' berfungsi (dysfunctional) adalah antara satu topik yang selalu dikupas di dalam filem. Mana tidak, untuk mencari satu keluarga yang benar-benar berfungsi sebagai sebuah keluarga itu satu perkara yang rumit. Lebih-lebih lagi apabila definisi keluarga itu sendiri berbeza antara satu-satu budaya. Filem ini cuba mengupas persoalan ini.
Dua keluarga berbeza di dalam sebuah rumah. Satunya pada kategori mewah, 'berjaya' dari kacamata material dan satu laginya pada kategori tidak mewah, kurang berjaya dari kacamata material.
Flor Moreno (Paz Vega) ialah seorang imigran dari Mexico yang berhijrah ke USA bersama anak perempuan beliau, Cristina (Shelbie Bruce). Flor, bersusah payah dalam menampung kehidupan mereka yang baru di USA yang kemudiannya menerima kerja sebagai orang gaji di dalam keluarga John Clasky (Adam Sandler). John ialah seorang chef yang berjaya dengan restorannya yang telah diulas oleh sebuah akhbar terkenal sebagai sebuah restoran yang mempunyai chef terbaik dunia! Walaupun mendapat pengiktirafan sebegitu rupa, berjaya pada John bukanlah pada restorannya tetapi pada keluarganya.
Sebenarnya, John menghadapi masalah di dalam keluarga, terutama isterinya yang merupakan seorang yang 'modern' dan mengikut peredaran zaman. Antara lain, isterinya, Deborah Clasky (Téa Leoni) beranggapan bahawa badan anak perempuannya yang gempal bukanlah satu contoh yang baik dan usaha yang lebih perlu dilakukan untuk menguruskannya. Ini mengguris hati anak perempuan beliau yang meningkat remaja kerana ibunya tidak menerima beliau seadanya yang seterusnya mengguris hari John sendiri kerana John begitu menyayangi anaknya.
Flor yang selama ini sekadar menjadi pemerhati, mengambil keputusan untuk masuk campur. Masalahnya, beliau tidak boleh berbahasa Inggeris! Masalah bertambah rumit apabila Flor dan Christina tinggal serumah di dalam rumah 'cuti summer' John selama tiga bulan. Deborah yang kecewa dengan anak perempuannya mula memberi perhatian kepada Christina yang lebih 'slim' dan cantik.
Kesimpulan filem ini nyata. Dua budaya yang berbeza memerlukan 'kenal baru cinta' untuk ia boleh selari. Dan beberapa definisi di dalam kehidupan itu berbeza, menurut kacamata sendiri. Yang menjadi matlamat ialah, bagaimana persoalan-persoalan itu dapat dijawab dengan realiti yang sedia ada.
SKOR: 8/10
Pengulas: Bentara
No comments:
Post a Comment