Sunday, April 8, 2007

Animal House (1978)

Animal House banyak mengingatkan penulis dengan filem Gila-Gila Remaja atau Ali Setan kerana filem ini berkisar tentang kehidupan remaja di alam kolej. Disebabkan filem ini berkemungkinan antara filem pertama di dalam genre 'kolej' maka ia mendapat status 'kult' di kalangan peminatnya. Mungkin ada filem sebelumnya dalam genre yang sama tetapi filem ini banyak membawa tema 'absurd' dan melampau untuk jalan ceritanya.

Animal House membawa kisah tentang sebuah 'fraternity' di dalam sebuah kolej yang terletak paling bawah dalam senarai fraternity yang ada iaitu Delta fraternity. 'Markaz' Delta terletak bersebelahan dengan Omega yang merupakan fraternity terbaik di dalam kolej tersebut. Walaupun begitu, masing-masing mempunyai cara tersendiri dalam menonjolkan keunggulan fraternity masing-masing. Omega dengan kecermelangan mereka di dalam akademik dan aktiviti ko-kurikulum sedangkan Delta terkenal dengan err... kehancuran akademik dan lingkupnya aktiviti ko-kurikulum.

Namun begitu, Delta tetap ada penyanjungnya terutama golongan yang 'who cared less' dan golongan pemberontak. Antara agenda pertemuan mereka ialah parti, parti dan parti yang tak habis-habis. Disebabkan itu, ia memeningkan pihak pengurusan kolej dan mereka mahukan agar Delta dimansuhkan kerana Delta telah berada di dalam status 'gantung'. Oleh kerana secara rasmi ini tidak dapat dilakukan dengan mengikut undang-undang kolej maka pihak pengurusan berpakat dengan Omega untuk dapat memansuhkan Delta.

Filem ini pada zamannya dilihat sebagai satu 'pemberontakan' terhadap golongan yang kononnya 'berjaya' di dalam kolej. Mereka yang cemerlang dalam pelajaran digambarkan sebagai angkuh sedangkan mereka yang malas sebagai 'cool'. Pada pandangan penulis ini satu gambaran yang agak bias tetapi itulah yang memuaskan citarasa penonton. Sudah tentu kita tidak mahu menonton sebuah filem yang menonjolkan golongan yang cemerlang sebagai baik segala-galanya.

Penulis boleh faham kenapa filem yang tidak seberapa ini mendapat status kult pada pandangan peminatnya. Jika penulis juga berada pada zaman itu dan menuntut di kolej sudah pasti ini menjadi seolah-olah filem wajib tonton dan menjadi perbualan hangat. Malangnya filem ini ditonton ketika jiwa penulis tidak sebegitu. Dari segi jalan cerita, ia tersangat lurus dan monotonik. Adegan lucunya melampau dan tidak masuk akal. Tetapi filem dalam siri National Lampoon ini memang disaji dengan sebegitu rupa.

Skor : 6/10
Pengulas : Bentara

No comments: