Monday, April 9, 2007

Lady in the Water (2006)

M. Night Shyamalan terkenal dengan filem The Sixth Sense dan penulis merasakan filem tersebut adalah antara filem genre seram yang sangat baik. Atas dasar itu penulis sentiasa menanti-nanti filem arahan beliau. Filem-filem yang seterusnya tidak pernah jatuh dalam kategori 'boleh-la' pada kacamata penulis.

Namun terdapat kegentaran pada filem terakhir beliau, The Village. Peminat beliau merasakan sentuhan ajaib beliau makin meluntur. Sebelum menonton filem tersebut, penulis agak terkesan dengan 'vibe' yang negatif tersebut. Ternyata, filem The Village walaupun tidaklah sehebat filem-filem sebelumnya, tetapi masih berada di dalam kategori menarik. Gaya 'twist' pada klimaks beliau amat mengagumkan.

Filem Lady In The Water ini pada penulis agak lari sikit dari tema biasa. Tidak boleh dikatakan sebagai seram mahupun 'twisted'. Barangkali mungkin kerana ianya ditulis oleh beliau untuk anak beliau maka filem ini lebih bercorak 'happy ending'. Mungkin juga beliau mahu mencuba sesuatu yang baru tetapi malangnya ia gagal menambat hati penulis.

Cleveland Heep (Paul Giamatti) ialah seorang pengurus sebuah apartment yang kerjanya meliputi segala jenis hal dalam menyelenggarakan apartment tersebut. Pada satu malam beliau diziarahi oleh seorang wanita misteri, Story (Bryce Dallas Howard). Apabila dibuat siasatan lanjut didapati bahawa Story ialah seorang karakter dalam sebuah cerita dongeng lama. Penjelmaan Story mengharapkan Cleveland agar dapat membantu Story dalam menyelesaikan masalah. Penyelesaian masalah tersebut akan 'menyelamatkan' tamadun manusia (?). Untuk itu Cleveland perlu menurut cerita asal dongeng tersebut dan perlu melaksanakan kehendak Story termasuklah menggembeleng tenaga beberapa penduduk apartment itu untuk menjadi karektor-karektor yang dikehendaki oleh cerita dongeng itu.

Penulis merasakan logik filem ini melampau. Too good to be true. Karektor Cleveland begitu mempercayai filem dongeng tersebut tanpa ada perasaan was-was. Itu masih boleh dimaafkan tetapi apabila karektor yang lain yang terlibat sama dalam 'cerita' dongeng tersebut juga berkelakuan seperti Cleveland, iaitu mempercayai terus maka ini sudah melampau.

Penulis bersangka baik. Mungkin ini yang dikehendaki oleh Shyamalan, sebagai sebuah cerita dongeng untuk tontonan anaknya. Dalam cerita dongeng pun tiada persoalan tentang logik atau tidak. Namun loncatan Shyamalan, agak tidak menyenangkan kepada peminatnya yang sudah kenal dengan cara penceritaan beliau yang sebelumnya. Mungkin juga boleh rasa tertipu.

Selepas menonton filem ini, barulah penulis faham kenapa DVD ini mempunyai rating PG.

Skor : 6/10
Pengulas : Bentara

No comments: