Wednesday, April 25, 2007

36 Quai des Orfèvres (2004)

Filem aksi polis adalah antara genre filem kegemaran penulis. Hendak lagi apabila ia berkaitan dengan hal-hal 'dalaman' yang tidak dihebahkan kepada masyarakat. Politik dan tikam belakang di sebalik entiti yang sepatutnya melindungi orang awam begitu menarik sekali untuk dieksploit. Apa yang hendak dihairankan, mereka juga manusia yang mempunyai nafsu dan keinginan.

Léo Vrinks (Daniel Auteuil) dan Denis Klein (Gérard Depardieu) adalah chiefs di dalam unit mereka, iaitu BRI (Brigade de Recherche et d'Intervention = Search and Action Squad, skuad "anti-gangs") dan BRB (Brigade de Répression du Banditisme = Crime Repression Squad, anti rompakan dan sebagainya. Mereka mempunyai satu misi penting iaitu menghalang sekumpulan perompak dengan metodologi ganas yang setelah beberapa lama masih lagi tidak tertangkap. Misi itu bertambah penting kerana 'stake' yang dihidangkan, iaitu jawatan apabila ketua mereka telah dinaikkan pangkat dan posisi itu akan menjadi kosong untuk salah seorang dari mereka mengisinya. Dengan lain perkataan, jika geng tersebut ditangkap, pemenangnya bukan sahaja akan disanjung sebagai anggota polis yang cekap malah dinaikkan pangkat ke posisi yang tertinggi yang boleh dibayangkan oleh anggota polis.

Persaingan ini makin mengeruhkan hubungan mereka yang sebelum ini tidak baik pun. Ada sesuatu yang peribadi antara mereka yang menyebabkan masing-masing berat untuk berkata-kata, melainkan jika sudah terpaksa.

Persaingan ini bukan sahaja peribadi tetapi memberi kesan kepada team BRI dan BRB sendiri sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk 'memenangkan' boss mereka.
Salah seorang dari mereka akan berjaya dan pastinya ia dilakukan dengan taktik kotor. Adakah lawannya bertindak balas dengan taktik yang sama? Itu adalah klimaks filem. Tetapi jalan ceritanya memang menarik dan emosi yang diperlukan untuk filem sebegini berjaya diluahkan oleh watak utama filem ini.

SKOR : 9/10
Ulasan: Bentara

Lucky Number Slevin (2006)

Slevin (Josh Hartnett) ialah seorang manusia malang. Beliau bekerja yang dia tidak minat. Apabila beliau pulang ke rumah, teman wanitanya sedang berasmara dengan orang lain. Kemudian semasa dia pergi ke rumah rakannya, Nick (Sam Jaeger), dia telah dirompak.

Tidak cukup dengan itu, oleh kerana rakannya tiada di rumah, dia masuk ke rumah rakannya dan kumpulan gengster menyerbu rumah tersebut dan menyangkakan Slevin ialah Nick. Slevin yang telah dirompak sebelumnya tidak mempunyai ID untuk meyakinkan yang beliau bukannya Nick. Rupa-rupanya Nick berhutang puluhan ribu ringgit dengan kongsi gelap.

Slevin dibawa berjumpa dengan The Boss (Morgan Freeman) yang akhirnya menawarkan ganti wang yang tidak mampu dibayar dengan satu misi khas. Misi membunuh anak lelaki musuh The Boss, iaitu Yitzchok (Michael Rubenfeld). Sebelum itu musuh The Boss, The Rabbi (Ben Kingsley) telah membunuh anak lelaki The Boss. Hmmm...

Tidak berakhir dengan itu, Slevin telah ditangkap oleh The Rabbi yang menawarkan ganjaran dua kali ganda dari apa yang ditawarkan oleh The Boss untuk tidak melakukan misi tersebut.
Bagaimana keadaan Slevin selepas itu diolah dengan kemas dan baik sekali. Filem thriller dengan unsur dark comedy ini seperti genre filem The Usual Suspect dan Se7en kerana ia 'memeningkan' kepala. Memeningkan kepala dalam erti mengajak penonton untuk sentiasa prihatin dengan plot persembahan dan guessing game yang disediakan.

Intro dan outro filem ini adalah isinya sementara isi filem ini adalah metodologinya. Pening? Apa pula peranan Bruce Willis dan Lucy Liu dalam filem ini? Jika ditulis kesemuanya, sudah tentu ulasan ini menjadi rumit dan anda bosan membacanya. Nasihat penulis, ini filem WAJIB anda tonton!


SKOR: 10/10
Pengulas: Bentara

Spanglish (2004)

Keluarga yang 'kurang' berfungsi (dysfunctional) adalah antara satu topik yang selalu dikupas di dalam filem. Mana tidak, untuk mencari satu keluarga yang benar-benar berfungsi sebagai sebuah keluarga itu satu perkara yang rumit. Lebih-lebih lagi apabila definisi keluarga itu sendiri berbeza antara satu-satu budaya. Filem ini cuba mengupas persoalan ini.

Dua keluarga berbeza di dalam sebuah rumah. Satunya pada kategori mewah, 'berjaya' dari kacamata material dan satu laginya pada kategori tidak mewah, kurang berjaya dari kacamata material.

Flor Moreno (Paz Vega) ialah seorang imigran dari Mexico yang berhijrah ke USA bersama anak perempuan beliau, Cristina (Shelbie Bruce). Flor, bersusah payah dalam menampung kehidupan mereka yang baru di USA yang kemudiannya menerima kerja sebagai orang gaji di dalam keluarga John Clasky (Adam Sandler). John ialah seorang chef yang berjaya dengan restorannya yang telah diulas oleh sebuah akhbar terkenal sebagai sebuah restoran yang mempunyai chef terbaik dunia! Walaupun mendapat pengiktirafan sebegitu rupa, berjaya pada John bukanlah pada restorannya tetapi pada keluarganya.

Sebenarnya, John menghadapi masalah di dalam keluarga, terutama isterinya yang merupakan seorang yang 'modern' dan mengikut peredaran zaman. Antara lain, isterinya, Deborah Clasky (Téa Leoni) beranggapan bahawa badan anak perempuannya yang gempal bukanlah satu contoh yang baik dan usaha yang lebih perlu dilakukan untuk menguruskannya. Ini mengguris hati anak perempuan beliau yang meningkat remaja kerana ibunya tidak menerima beliau seadanya yang seterusnya mengguris hari John sendiri kerana John begitu menyayangi anaknya.

Flor yang selama ini sekadar menjadi pemerhati, mengambil keputusan untuk masuk campur. Masalahnya, beliau tidak boleh berbahasa Inggeris! Masalah bertambah rumit apabila Flor dan Christina tinggal serumah di dalam rumah 'cuti summer' John selama tiga bulan. Deborah yang kecewa dengan anak perempuannya mula memberi perhatian kepada Christina yang lebih 'slim' dan cantik.
Kesimpulan filem ini nyata. Dua budaya yang berbeza memerlukan 'kenal baru cinta' untuk ia boleh selari. Dan beberapa definisi di dalam kehidupan itu berbeza, menurut kacamata sendiri. Yang menjadi matlamat ialah, bagaimana persoalan-persoalan itu dapat dijawab dengan realiti yang sedia ada.

SKOR: 8/10
Pengulas: Bentara

The Haunted Drum (2007)

Sukar utk Penulis mendefinasi keseluruhan filem Thailand , tapi Penulis lebih suka melihatnya secara rawak dahulu sebelum dapat melihat kedalam arena filem Thailand yg seringkali tampil dengan filem-filem yg bermutu. Perm Mang:"The Haunted Drum" merupakan genre seram terbaru daripada Thailand . Ianya baru sahaja berada dipanggung wayang pada 19 April diseluruh Thailand , dan tentunya The Haunted Drum sepertimana filem Thailand lain, berdiri dengan naratif dan pengarahan yg menarik.

Ia sebenarnya kisah disekitar pada zaman dahulu, melihat kepada cara berpakaian . Perm Mang sendiri merupakan sebuah drum tradisioal yg dimainkan bersama beberapa ahli muzik lain dengan ditarikan seorang penari tradisional. Permulaan setiap saat filem ini merupakan gambaran penting utk plot yg bakal difahami dalam filem ini nanti , ia bukanlah filem yg mudah kerana gaya begini mmg akan membuatkan kita terfikir utk setiap hubungkait pada pertengahan dan penghujung filem nanti.

Ia menumpukan tentang seorang anak muda iaitu Ping, yg sepertimana datok moyangnya yg belajar muzik tradisional datang ke sebuah daerah Pathumthani utk belajar dengan lebih mendalam daripada Guru Duang, yg merupakan Ketua kumpulan muzik yg dihormati . Malah nenek moyang Ping merupakan antara orang yg mengasaskan kumpulan muzik tersebut. Dan sebenarnya cerita ini merupakan tentang sebuah drum yg berpuaka dan akan menjaga kumpulan muzik Guru Duang dari sebarang masalah . Malah Ping juga sepertimana ahli kumpulan lain telah mengangkat sumpah utk tidak membelakangkan dan meninggalkan kumpulan muzik tersebut dengan apa cara sekalipun, jika tidak mereka akan ditimpa padah . Dilihat Pengarah memberikan suasana dan gambaran yg cemerlang walaupun filem ini kelihatan agak perlahan.

Sumpahan ini bermula apabila salah seorang daripada anggota kumpulan muzik telah menjadi tamak, utk mencuri batu pemata yg ditempatkan di drum tersebut , maka seterusnya berlakulah tragedi. Walaupun setiap ahli telah mengangkat sumpah , mereka seperti kurang yakin ia adalah kerana sesuatu yg puaka ini kerana hanya Guru Duang sahaja yg tahu cerita sebenarnya. Dan kalau diikut dari cerita ini , ketamakan yg seringkali menjadi satu masalah .

Tapi ia bukanlah dari satu sudut kejahatan manusia sahaja , kumpulan pimpinan Guru Duang terus ditimpa masalah demi masalah pembunuhan yg dilakukan oleh Penunggu Drum akibat telah melanggar sumpah telah menyebabkan mereka kehilangan pemain dan semangat ahli kumpulan yg semakin lemah akibat daripada kehidupan mereka yg serba kurang, menyebabkan Deputy Muen seorang pemerintah tempatan dan juga mempunyai kumpulan muziknya sendiri dan mana-mana ahli yg masuk kumpulan muziknya akan hidup dengan senang. Malah kesempatan ini digunakan Deputy Muen utk terus menarik setiap ahli kumpulan Guru Duang dan menyimpan impian utk terus memiliki drum Perm Mang yg dianggap suci oleh kumpulan Guru Duang.

Ping yg mula berguru , kelihatan berminat utk bermain drum Perm Mang. Namun disebalik kisah seram . Beliau mula berkenalan seorang gadis yg telah memberikan beliau peluang utk belajar drum Perm Mang. Dengan setiap hari dan malam berjumpa telah membuatkan Ping dan gadis tersebut ,Thip ... mula saling jatuh cinta. Filem ini mula menyelitkan kisah romantik tapi bagi Penulis inilah sebenarnya mesej yg ingin disampai secara halus . Mengenai kasih sayang dan juga hubungan keluarga . Bagaimana gadis misteri spt Thip mula diketahui oleh Ping selepas beberapa kejadian dan juga daripada Guru Duang disaat menghampiri kematian sebelum dibunuh oleh Thip kerana gagal mempertahankan kumpulan muzik yg diketuainya dan sempat menyerahkan kumpulan kepada Ping dan memberitahu kisah sebenar mengenai Perm Mang .

Ia sebenarnya kisah yg tragis dan penuh harapan jika dihalusi . Thip yg selalu mengharap bapa angkatnya utk menyayangi beliau sebagai seorang anak namum bapa angkatnya terlalu asyik utk membuat drum dan bersama kumpulan muziknya , dan akhirnya beliau mengambil keputusan utk mengorbankan diri dengan rela dan kulitnya dibuat drum Perm Mang agar beliau terus bersama ayahnya dan dapat menjaga kumpulan muzik.

Filem ini mempunyai sedikit unsur gore , pembunuhan yg dilakukan cuba diterapkan secara jelas dan yg mengejutkan penulis gambaran telanjang ketika dirasuk juga tidak ditapis utk tayangan di Thailand , Penulis seperti terkena kejutana budaya , mungkin filem ini akan dipotong berkali-kali utk tayangan Malaysia atau mungkin tidak ditayang langsung. Namun bagi penulis filem ini menarik disebabkan berjaya memainkan emosi dan naratif yg menarik , tidak terlalu mendatar tapi utk filem seram ianya agak biasa , sentuhan realsitik pembunuhan pun boleh kita jangka kalau anda pernah melihat Art Of The Devil 2.

SKOR: 7/10
Pengulas: Fairuz

Tuesday, April 10, 2007

Scanners (1981)

David Cronenberg terkenal dengan filem seram yang pelik. Penulis mula mengenali beliau melalui filem The Fly (1986) yang seingat penulis ditonton di dalam panggung wayang. Filem itu memberi kesan kepada penulis dengan gaya ceritanya yang agak sains fiksyen tetapi pada masa yang sama penuh dengan situasi seram yang meremangkan bulu roma. Seterusnya filem eXistenZ (1999) yang juga berada dalam genre seram tetapi dengan twist yang pelik, menggunakan video game ala Playstation alaf baru untuk membangkitkan elemen seram yang dikehendaki.

Filem ini ditonton semata-mata kerana Cronenberg adalah pengarahnya. Untuk menonton pelakonnya, semuanya tidak dikenali.

Scanners ialah satu terma yang diberikan kepada sebilangan manusia yang mempunyai kemampuan untuk mengeksploitasi fikiran manusia lain. Terma saintifiknya ialah telepathic. Seperti yang dinyatakan dalam dialog, scanners akan meransang urat saraf manusia lain supaya menjadi urat saraf scanners sendiri lantas dapat mengawal keadaan manusia 'host' tersebut.

Sudah tentu apabila mempunyai kuasa yang luar biasa, ia akan disalahgunakan. Darryl Revok (Michael Ironside) ialah seorang scanners yang mengetahui kelebihannya. Namun begitu beliau menghadapi masalah untuk mengawal kelebihannya pada masa muda sehingga beliau ditahan di dalam sanctuary. Entah macamana, beliau berfikiran bahawa scanners perlu memberontak. Beliau juga faham bahawa punca asal sesetengah manusia menjadi scanner adalah disebabkan ketidakseimbangan kimia semasa di dalam rahim.

Maka Revok bekerja dengan sebuah syarikat kimia yang menghasilkan Ephemerol, satu bahan kimia yang membolehkan manusia scanners terbentuk. Ephemerol perlu disuntik kepada ibu yang sedang mengandung untuk ia berkesan. Revok melancarkan gerakan agar Ephemerol menjadi ubat asas bagi ibu-ibu yang mengandung. Dan Ephemerol ini akan disebarkan ke seluruh Amerika melalui syarikat kimia tersebut.

Komplot Revok cuba dihalang oleh Dr. Paul Ruth (Patrick McGoohan), seorang pakar dalam fenomena scanners. Melalui prodigee beliau, Cameron Vale (Stephen Lack), mereka bergerak untuk mula-mula mencari di mana Revok sedang menyorok dan kemudiannya menghalang (atau memusnahkan) Revok sebelum Ephemerol tersebar luas.

Kita tidak boleh mengharap efek yang canggih di dalam filem ini kerana ia diterbitkan pada tahun 1981. Lagipun, ini kemungkinan filem yang tinggi sikit dari filem grad B. Tetapi idea Cronenberg agak original dan kemas. Kepada peminat filem 'gore' pasti tertunggu-tunggu scene yang mana kepala manusia 'diletupkan' (sekurang-kurangnya penulis menunggu scene ini).

Adalah difahamkan bahawa Dimension Film sedang dalam proses terakhir untuk membuat 'remake' untuk filem ini. Namun, penulis merasakan bahawa adalah penting untuk filem asal ditonton dahulu kerana yang asal itu yang terbaik, selalunya.

Skor : 8/10
Pengulas : Bentara

Monday, April 9, 2007

Lady in the Water (2006)

M. Night Shyamalan terkenal dengan filem The Sixth Sense dan penulis merasakan filem tersebut adalah antara filem genre seram yang sangat baik. Atas dasar itu penulis sentiasa menanti-nanti filem arahan beliau. Filem-filem yang seterusnya tidak pernah jatuh dalam kategori 'boleh-la' pada kacamata penulis.

Namun terdapat kegentaran pada filem terakhir beliau, The Village. Peminat beliau merasakan sentuhan ajaib beliau makin meluntur. Sebelum menonton filem tersebut, penulis agak terkesan dengan 'vibe' yang negatif tersebut. Ternyata, filem The Village walaupun tidaklah sehebat filem-filem sebelumnya, tetapi masih berada di dalam kategori menarik. Gaya 'twist' pada klimaks beliau amat mengagumkan.

Filem Lady In The Water ini pada penulis agak lari sikit dari tema biasa. Tidak boleh dikatakan sebagai seram mahupun 'twisted'. Barangkali mungkin kerana ianya ditulis oleh beliau untuk anak beliau maka filem ini lebih bercorak 'happy ending'. Mungkin juga beliau mahu mencuba sesuatu yang baru tetapi malangnya ia gagal menambat hati penulis.

Cleveland Heep (Paul Giamatti) ialah seorang pengurus sebuah apartment yang kerjanya meliputi segala jenis hal dalam menyelenggarakan apartment tersebut. Pada satu malam beliau diziarahi oleh seorang wanita misteri, Story (Bryce Dallas Howard). Apabila dibuat siasatan lanjut didapati bahawa Story ialah seorang karakter dalam sebuah cerita dongeng lama. Penjelmaan Story mengharapkan Cleveland agar dapat membantu Story dalam menyelesaikan masalah. Penyelesaian masalah tersebut akan 'menyelamatkan' tamadun manusia (?). Untuk itu Cleveland perlu menurut cerita asal dongeng tersebut dan perlu melaksanakan kehendak Story termasuklah menggembeleng tenaga beberapa penduduk apartment itu untuk menjadi karektor-karektor yang dikehendaki oleh cerita dongeng itu.

Penulis merasakan logik filem ini melampau. Too good to be true. Karektor Cleveland begitu mempercayai filem dongeng tersebut tanpa ada perasaan was-was. Itu masih boleh dimaafkan tetapi apabila karektor yang lain yang terlibat sama dalam 'cerita' dongeng tersebut juga berkelakuan seperti Cleveland, iaitu mempercayai terus maka ini sudah melampau.

Penulis bersangka baik. Mungkin ini yang dikehendaki oleh Shyamalan, sebagai sebuah cerita dongeng untuk tontonan anaknya. Dalam cerita dongeng pun tiada persoalan tentang logik atau tidak. Namun loncatan Shyamalan, agak tidak menyenangkan kepada peminatnya yang sudah kenal dengan cara penceritaan beliau yang sebelumnya. Mungkin juga boleh rasa tertipu.

Selepas menonton filem ini, barulah penulis faham kenapa DVD ini mempunyai rating PG.

Skor : 6/10
Pengulas : Bentara

High Fidelity (2000)

Rob Gordon (John Cusack) ialah seorang loser di dalam percintaan. Satu watak yang sangat sesuai, kena sangat dengan rupa John Cusack. Dalam filem yang berbentuk 'narration' ini, Rob menceritakan kegagalan beliau dalam lima set percintaan termasuk satu yang sedang berada di dalam prosesnya. Walaupun Rob agak berjaya dengan kedai muziknya; menjual LP termasuk yang rare dan sering menjadi carian peminat LP. Apa itu LP? Sila semak google.

Di dalam kedai, beliau dibantu oleh Barry (Jack Black) yang melakonkan watak pakar dalam hal LP yang rare dan muzik yang 'sebenarnya' muzik dalam definisinya sendiri. Watak tersebut juga antara sebab menjadikan Jack Black pelakon paling panas masa kini. Watak stereotaip beliau yang 'over-obsessed' dengan apa sahaja bidang yang dilakonkan beliau mula menyerlah pada filem ini.

Kita dibawa di dalam setiap episod kegagalan percintaan Rob, yang mula merasa semakin tidak ada harapan dalam percintaan tetapi pada yang sama bersungguh-sungguh untuk menjadikan hubungan beliau yang terkini supaya menjadi. Mungkin juga untuk mengubat penyakit 'depressive' beliau kerana ubat untuk kegagalan itu adalah kejayaan. Mungkin juga bukan sebenarnya cinta yang beliau cari tetapi ubat bagi penyakit 'gagal' beliau.

Jalan cerita yang lancar diselangi dengan lawak bersahaja yang dibuat di dalam kedai rekod Rob menjadi senjata utama filem ini. Ditambah dengan narration Rob yang selalu mempersalahkan diri sendiri akibat kegagalan beliau seolah-olah menjadi refleksi kepada penonton yang mempunyai perasaan yang sama. Tetapi mesejnya jelas, kegagalan demi kegagalan belum tentu berakhir dengan kegagalan selama-lamanya. Atau mungkinkah begitu?

Untuk mereka yang meminati muzik sudah pasti enjoy dengan soundtrack yang ada dalam filem ini disamping meleleh air liur melihat koleksi peribadi LP Rob. Penulis pun bersangka, alangkah bahagianya jika penulis ada sebuah kedai rekod dan koleksi LP yang sama. Meleleh!

Skor : 9/10
Pengulas : Bentara

Casino Royale (2006)

Penulis bukanlah peminat filem James Bond. Ikut ingatan penulis, mungkin penulis pernah menonton filem franchise ini sehingga ia dilakonkan oleh Pierce Brosnan tetapi tidak mengikutinya kerana berpendapat Brosnan agak lembut untuk watak tersebut. Lagi pula ditambah dengan kekartunan jalan filem James Bond.

Tetapi berbeza dengan Casino Royale, penulis terasa bersemangat sedikit. Pertamanya ramai meragui keupayaan Daniel Craig sebagai James Bond (muka tak kena, rambut blonde?) dan keduanya setelah membaca beberapa kritikan yang mengatakan filem ini lebih aksi dan kurang 'kartun'.

Setelah menontonnya, penulis berpendapat memang ini antara filem James Bond yang terbaik. Aksi-aksinya yang pantas ditambah dengan Daniel Craig yang nampak lasak sesuai dengan aksi-aksi yang dilakonkannya. Oh ya, kebanyakan stunt dilakukan sendiri oleh Craig dan ini menambahkan lagi kredibiliti filem ini.

Casino Royale mengisahkan tentang usaha kerajaan Britain untuk menghalang kegiatan terrorist (tajuk popular zaman ini) dan James Bond telah diberi tugasan ini. Jalan ceritanya agak kompleks tetapi apa yang penting musuh Bond kali ini ialah seorang kaki judi, dan begitu pakar dalam kegiatan tersebut.



Plotnya bertambah kompleks dengan subplot tikam belakang dan khianat. Bond yang asalnya mempunyai perasaan 'percaya' kepada seseorang bertukar kepada 'trust no one' di penghujungnya. Ini seperti tarbiyah yang telah dilakukan oleh kerajaan British disebalik khianat dan tikam belakang yang berlaku (sekurang-kurangnya itulah yang penulis rasakan). Manakan tidak, penulis seakan tidak percaya yang seorang agen rahsia seperti Bond boleh jatuh cinta dan mempunyai perhubungan sulit dengan wanita? Ini, seperti yang diajar di dalam filem-filem genre yang sama mengatakan bahawa agen rahsia tidak mempunyai kehidupan selain kehidupan sebagai 'anjing' kerajaan.

Mungkin selepas ini penulis perlu menonton filem-filem James Bond yang sebelumnya untuk membuat perbandingan semula. Tetapi setakat ini, penulis merasakan bahawa Casino Royale adalah filem aksi yang menarik, sekalipun jika watak Jamed Bond itu bukan James Bond.

Skor : 10/10
Pengulas : Bentara

Sunday, April 8, 2007

Unleashed (2005)

Filem aksi (martial arts) bukanlah citarasa penulis. Mungkin disebabkan sudah muak dengan filem sebegini kerana telah disajikan dengan filem sebegini begitu banyak semasa usia muda. Apatah lagi, rancangan televisyen memang dipenuhi dengan tayangan gambar filem aksi Hong Kong satu masa dahulu. Tetapi entah kenapa, penulis terasa seperti mahu menonton kembali dan mahu melihat apa yang penulis tertinggal selama filem sebegini ditinggalkan.

Jet Li (ada sesiapa yang tak kenal?) melakonkan watak Danny, seorang yang seakan hilang ingatan dan 'dibela' oleh tuannya Bart (Bob Hoskins). Agak tidak jelas bagaimana 'rantai' yang dipakai oleh Danny boleh mengawal perilaku beliau tetapi yang nyata, apabila ia dicabut dari leher beliau, Danny akan menjadi seorang pembunuh dengan ilmu lawannya. Apabila rantai itu dipakaikan semula, Danny seperti menjadi seorang yang belum mumayyiz.


Danny digunakan untuk memukul 'klien' Bart yang tidak melunaskan bayaran, kemungkinan bayaran untuk perlindungan. Hinggalah pada satu hari Bart ditawarkan oleh seorang promoter bawah tanah untuk pertandingan seni pertahanan diri yang mesti berakhir dengan kematian. Fight to the death. Pada perlawanan pertama, Danny menunjukkan skil dan kekuatan luar biasa dengan membunuh juara bertahan dengan tiga das pukulan dalam masa kurang dari 3 saat.

Maka Bart sudah berkira-kira untuk menamatkan karier beliau sebagai gangster peras ugut dan memberi tumpuan kepada pertandingan sampai mati itu kerana hadiahnya teramat lumayan. Namun begitu, angan-angan Bart terhalang apabila beliau terlibat dalam kemalangan yang dirancang oleh musuhnya dan Danny hilang dari genggaman beliau.

Danny telah diselamatkan oleh seorang buta pembaik piano bernama Sam (Morgan Freeman) dan anak buahnya yang sedang menuntut kursus muzik piano, Victoria (Kerry Condon). Semasa dalam jagaan Sam, Danny mula mengenali apa itu 'perasaan'. Danny kembali kepada kehidupan manusia normal dan mula membenci perkara yang menyakitkan manusia. Mereka merancang untuk pulang ke New York (cerita berkisar sekitar sebuah bandar di UK) apabila selesai pembelajaran Victoria. Tetapi Bart mula kembali dalam kehidupan Danny dan mula mengancam kehidupan keluarga 'baru' Danny.

Scene lawan dalam filem ini menyeronokkan. Salah satu sebabnya ialah Jet Li tidak menggunakan kabel untuk terbang ke sana ke sini seperti kebanyakan filem beliau. Pukulan dan tendangan yang dibuat memang menyakitkan sepertimana filem-filem Jackie Chan yang menggunakan stunt yang sanggup menerima pukulan begitu. Tanpa disedari penulis, muka penulis berkerut apabila melihat lawan menerima penumbuk Jet Li. Ini untuk menggambarkan betapa 'brutal'nya scene lawan yang dibuat.

Skor : 7/10
Pengulas : Bentara

Animal House (1978)

Animal House banyak mengingatkan penulis dengan filem Gila-Gila Remaja atau Ali Setan kerana filem ini berkisar tentang kehidupan remaja di alam kolej. Disebabkan filem ini berkemungkinan antara filem pertama di dalam genre 'kolej' maka ia mendapat status 'kult' di kalangan peminatnya. Mungkin ada filem sebelumnya dalam genre yang sama tetapi filem ini banyak membawa tema 'absurd' dan melampau untuk jalan ceritanya.

Animal House membawa kisah tentang sebuah 'fraternity' di dalam sebuah kolej yang terletak paling bawah dalam senarai fraternity yang ada iaitu Delta fraternity. 'Markaz' Delta terletak bersebelahan dengan Omega yang merupakan fraternity terbaik di dalam kolej tersebut. Walaupun begitu, masing-masing mempunyai cara tersendiri dalam menonjolkan keunggulan fraternity masing-masing. Omega dengan kecermelangan mereka di dalam akademik dan aktiviti ko-kurikulum sedangkan Delta terkenal dengan err... kehancuran akademik dan lingkupnya aktiviti ko-kurikulum.

Namun begitu, Delta tetap ada penyanjungnya terutama golongan yang 'who cared less' dan golongan pemberontak. Antara agenda pertemuan mereka ialah parti, parti dan parti yang tak habis-habis. Disebabkan itu, ia memeningkan pihak pengurusan kolej dan mereka mahukan agar Delta dimansuhkan kerana Delta telah berada di dalam status 'gantung'. Oleh kerana secara rasmi ini tidak dapat dilakukan dengan mengikut undang-undang kolej maka pihak pengurusan berpakat dengan Omega untuk dapat memansuhkan Delta.

Filem ini pada zamannya dilihat sebagai satu 'pemberontakan' terhadap golongan yang kononnya 'berjaya' di dalam kolej. Mereka yang cemerlang dalam pelajaran digambarkan sebagai angkuh sedangkan mereka yang malas sebagai 'cool'. Pada pandangan penulis ini satu gambaran yang agak bias tetapi itulah yang memuaskan citarasa penonton. Sudah tentu kita tidak mahu menonton sebuah filem yang menonjolkan golongan yang cemerlang sebagai baik segala-galanya.

Penulis boleh faham kenapa filem yang tidak seberapa ini mendapat status kult pada pandangan peminatnya. Jika penulis juga berada pada zaman itu dan menuntut di kolej sudah pasti ini menjadi seolah-olah filem wajib tonton dan menjadi perbualan hangat. Malangnya filem ini ditonton ketika jiwa penulis tidak sebegitu. Dari segi jalan cerita, ia tersangat lurus dan monotonik. Adegan lucunya melampau dan tidak masuk akal. Tetapi filem dalam siri National Lampoon ini memang disaji dengan sebegitu rupa.

Skor : 6/10
Pengulas : Bentara

Saturday, April 7, 2007

Closer (2004)

Filem Closer menyuruh kita melihat dengan lebih fokus, apa yang sebenarnya sedang berlaku. Yang zahir di mata, malah di dalam fikiran belum tentu realiti sebenar. Lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan perasaan cinta yang sememangnya sudah ada perumpamaan yang dibuat untuknya iaitu 'cinta itu buta'. Apabila sudah buta bukankah yang zahir itu bukan sahaja tidak nampak, malah boleh menjadi berlawanan dengan apa yang disangka.

Dalam satu insiden yang tidak dirancang, Dan (Jude Law) mengenali Alice (Natalie Portman) dan hubungan 'strangers' mereka bertukar menjadi sepasang kekasih yang berbahagia. Tetapi ianya tidak lama apabila Dan mengenali Anna (Julia Roberts) hati Dan mula berubah. Apabila Anna mengetahui bahawa Dan sudah berpasangan dengan Alice, Anna menolak dengan baik. Zahirnya ditolak tetapi realitinya Anna sendiri ada hati terhadap Dan.

Zahir tolakan Anna itu tidak dapat diterima oleh Dan dengan baik. Dan melakukan satu lawak praktikal terhadap Anna. Suatu malam Dan berseks di alam siber dan berjaya menggoda Larry (Clive Owen) untuk bertemu dengan 'beliau' pada keesokan harinya. Larry tidak menyangka beliau tertipu dan Dan sebenarnya telah 'setup' pertemuan tersebut dengan Anna dengan harapan Anna terkena. Sebaliknya apa yang berlaku, pertemuan setup Larry dan Anna itu mula memutikkan cinta antara mereka berdua.

Hinggalah setahun kemudia apabila Dan bertemu kembali dengan Anna, masing-masing mula merasakan bahawa pasangan masing-masing bukanlah cinta mereka sebenar dan mereka mula berikrar untuk hidup bersama. Sudah tentu ini bukan keputusan yang baik. Larry dan Alice tidak menyetujuinya kerana merasa masing-masing tertipu oleh 'lakonan' setahun sebagai pasangan yang dicintai sedangkan sebenarnya ia tidak. Dalam menang pasti ada yang kalah dan yang kalah dikenali sebagai seorang 'loser'. Filem ini menampilkan seorang 'loser' antara mereka berempat yamg mana si loser hilang segala-galanya. Bukan sahaja beliau hilang di akhirnya, tetapi beliau ialah seorang loser sejak dari awal lagi.

Filem adaptasi dari produksi pentas ini dilakonkan dengan baik sekali di bawah arahan Mike Nichols (juga pengarah filem The Graduate - sila lihat ulasan filem ini dalam blog ini). Clive Owen dan Natalie Portman dicalonkan untuk anugerah Academy untuk kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Tambahan Terbaik.

Skor : 9/10
Pengulas : Bentara

The Graduate (1967)

Dustin Hoffman melakonkan watak Benjamin Braddock, seorang graduan yang baru keluar dari universiti dan sudah bersedia (pada pandangan kedua ibu bapanya) untuk menjadi manusia yang berjaya. Bukan sahaja di universiti para graduan dirai malah untuk keluarga Benjamin, beliau juga dirai dengan mengadakan parti. Sebenarnya ia bercabang dua, pertamanya untuk meraikan Benjamin dan kedua untuk 'memasarkan' kredibiliti Benjamin. Bukan Benjamin itu tidak berupaya cuma tampak tidak berminat.

Sememangnya Benjamin agak kurang berminat. Sapaan tahniah dari rakan keluarganya semasa majlis tersebut disambut dengan hambar dan cuba dielak dengan baik. Parti yang tidak parti itu (pada Benjamin) sangat merimaskan. Nasib menyebelahi beliau apabila beliau terpaksa menghantar seorang rakan keluarga beliau Mrs. Robinson (berpangkat makcik lakonan jelitawan Anne Bancroft) ke rumah. Cumanya, Benjamin tidak menjangka yang Mrs. Robinson tersebut sebenarnya mahu menggodanya setiba mereka di rumah.

Maka permainan 'rahsia' ini berlarutan. Dari seorang yang 'clueless' pada godaan pertama (yang melucukan) hinggalah kepada seorang yang expert (permainan yang kerap berlaku di sebuah hotel). Sememangnya, Benjamin ialah 'graduan' yang berjaya! Apa yang dipelajarinya di universiti tidak dipraktikkan hingga beliau dimarahi keluarga kerana masih tidak bekerja tetapi sebaliknya Benjamin 'bekerja' hampir setiap malam di bilik hotel. Kekerapan Benjamin dan Mrs. Robinson menginap di hotel hingga menyebabkan hampir keseluruhan pekerja hotel tersebut mengenali mereka.




Masalah mula timbul apabila anak perempuan Mrs. Robinson, Elaine (Katharine Ross), pulang bercuti dari universiti. Keluarga Benjamin dan suami makcik tersebut yang sememangnya tidak mengetahui permainan rahsia tersebut begitu bercita-cita agar Benjamin dapat disatukan bersama dengan Elaine. Benjamin yang pada mulanya menolak, akhirnya jatuh cinta kepada Elaine. Sebenarnya, dengan Mrs Robinson itu sekadar eksperimentasi tetapi cinta sebenarnya adalah kepada Elaine.

Situasi menjadi bertambah kompleks apabila Elaine mengetahui perkara sebenar sementara Mrs. Robinson pula menghalang perhubungan Benjamin-Elaine. Penyelesaian yang perlu dibuat oleh Benjamin begitu drastik sekali. Kerana beliau bukan lagi clueless. Bahkan tidak pula sekadar expert di atas katil. Sekarang beliau perlu menghadapi realiti sebenar dan penangan 'cinta' dalam erti yang sahih. Mike Nichols memenangi anugerah Academy untuk arahan filem ini disamping dicalonkan untuk beberapa kategori lain antaranya, Pelakon Lelaki dan Wanita terbaik.

Skor : 9/10
Pengulas : Bentara

Friday, April 6, 2007

Quadrophenia (1979)

'Lifestyle' mengikut attitude muzik sentiasa menjadi ikutan. Apabila terjadi sesuatu trend muzik, maka akan tercipta attitude. Apabila sudah ada attitude ia menjadi lifestyle. Sebutkan apa sahaja jenis muzik yang ada, pasti ada attitude dan sudah pasti adanya lifestyle. Masalah akan timbul apabila jenis lifestyle yang berbeza ini mula bertembung. Walaupun kawan boleh jadi lawan disebabkan lifestyle yang artificial ini.

Quadrophenia membawa kita kepada lifestyle 'mod' yang menular sekitar akhir 60an dahulu. Pada masa itu, kita disuakan dengan lifestyle mod yang bertembung dengan lifestyle rocker di Britain. Walaupun mempunyai beberapa persamaan (antaranya, mereka bermotosikal dan suka berparti) tetapi perbezaan yang kecil menjadi besar bagi mereka. Perbezaan ini tidak boleh diselesaikan dengan rundingan tetapi 'mesti' diselesaikan dengan penumbuk ataupun dibelasah.


Jimmy (Phil Daniels) menjadi fokus di dalam filem ini sebagai seorang mod tersohor dengan grupnya di sebuah suburb di Britain. Beliau adalah seorang 'working class citizen' yang menjalankan kerja 'budak suruhan' di dalam ofisnya sekadar cukup untuk berbelanja dan menghabiskan wangnya untuk pakaian mod yang mahal pada pandangan penulis (full suit) dan skuter Vespa beliau.

Walaupun seorang mod yang kental, sedikit konflik mula berlaku apabila kawan beliau yang agak rapat pula adalah seorang rocker. Persahabatan mereka secara sembunyi dan apabila kawan beliau itu dibelasah oleh grup mod, beliau menjadi seorang yang mengatakan 'tidak' kepada grupnya itu. Tetapi itu bukanlah masalah yang besar. Masalah besar beliau ialah beliau mencintai seorang gadis di dalam grup mod beliau.

Namun dalam meneruskan lifestyle mod yang berskuter, berparti dan menelan pil khayal, beliau mula dibuka terhadap 'kepalsuan' lifestyle tersebut. Manakan tidak. Lifestyle yang diasaskan dengan muzik bukanlah satu lifestyle yang kukuh kerana ia tidak terbina atas realiti. Sebaliknya ianya terbina atas platform imaginasi yang berubah-ubah mengikut pandangan orang yang mempeloporinya. Bahkan ia bisa terubah oleh pengikutnya sendiri.

Filem ini baik dari segi menonjolkan lifestyle mod kerana ia mendapat 'backing' dari kumpulan The Who yang (mungkin) terkenal dengan muzik mod tersebut. Dari segi autentiknya saya tidak pasti tapi gambaran asas mungkin berjaya dijelaskan. Tetapi mesej filem ini jelas, jiwa anak-anak remaja sentiasa bergelora dan lifestyle 'alternatif' sebegini menjadi ikutan walaupun sekadar untuk beberapa ketika yang akhirnya ditolak setelah menyedari bahawa ianya tidak sesuai dengan realiti kehidupan sebenar.

Filem ini terletak pada status 'kult' pada peminatnya. Kumpulan The Who sendiri menjalani tour Quadrophenia sebanyak dua kali dalam dua dekad iaitu pada tahun 1973/74 dan pada tahun 1996/97 menunjukkan betapa relevannya filem ini terhadap album The Who (atau sebaliknya - pilih mana yang sesuai).

Skor : 7/10
Pengulas : Bentara

Children of Men (2006)

Tiada siapa pun tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Atas sebab persoalan ini pelbagai andaian boleh dibuat, samada masuk akal ataupun tidak. Dalam filem, ia disajikan dalam genre fiksyen sains. Selain menjadi petunjuk bahawa manusia memang kurang ilmunya, ia juga menunjukkan bahawa imaginasi manusia seolah-olah tiada garis pemisah.

Children Of Men membawa kita pada zaman akan datang. Tidaklah jauh dari sekarang, cuma beberapa tahun sahaja kehadapan, iaitu di tahun 2027. Dunia ketika itu berada di dalam keadaan yang kaotik. Pemberontakan (dari konteks filem ini, pengganas) berlaku di seluruh dunia. Apabila TV dipasang, berita tentang kematian, pengeboman dan huru hara menjadi intisari utama.

Kita dikejutkan dengan klip berita pada masa itu yang mengatakan bahawa manusia paling muda telah mati dibunuh. Nanti sekejap. Manusia paling muda? Baca sekali lagi. Manusia paling muda? Mana mungkin ada manusia paling muda? Bukankah bayi dilahirkan setiap minit?

Rupa-rupanya, pada zaman itu, manusia menghadapi bencana paling besar. Lebih besar (pada pandangan filem ini) dari kematian. Bencana itu ialah, manusia menjadi mandul kesemuanya! Kelahiran terakhir berlaku kira-kira 19 tahun yang lampau. Selepas itu tiada lagi kelahiran. Disebabkan manusia paling muda telah mati, tempat tersebut telah diganti oleh orang kedua paling muda di dunia.

Keadaan dunia yang melampau huru haranya menjadikan Britain sebuah negara yang dihurungi pelarian. Oleh sebab kedatangan imigran yang tidak terkawal, kerajaan Britain membuat satu undang-undang ketat yang mana tiada lagi imigran dibenarkan masuk walau dengan apa sebab. Mereka di tahan dan diletakkan di dalam khemah pelarian yang pada pandangan penulis, seperti khemah pelarian Palestin. Wujudlah golongan penentang dengan taktik gerila yang menentang polisi kejam tersebut.

Dalam keadaan yang huru hara tersebut suatu kejadian pelik telah berlaku iaitu seorang wanita telah hamil. Hamil! Setelah 19 tahun ketandusan zuriat untuk keseluruhan manusia. Masalahnya, wanita tersebut ialah pelarian. Dan beliau mesti dibawa ke Britain untuk di hantar ke satu projek rahsia, The Human Project, yang menggembeleng tenaga untuk menyelesaikan masalah kemandulan manusia ini. Dengan harapan, suatu hari nanti, tamadun kemanusian dapat diteruskan.

Imej pos-apokalips yang cuba dipaparkan dalam filem ini sungguh berkesan. Keadaan tamadun manusia yang telah hampir dengan kehancurannya. Ini semua berlaku tanpa peperangan nuklear. Sebaliknya, berlaku atas sebab daya usaha manusia itu sendiri dan siapa tahu apa jenis penyakit yang menyebabkan keseluruhan manusia menjadi mandul? Ini mungkin boleh atau mungkin tidak berlaku. Menunjukkan bahawa manusia ini lemah sebenarnya. Dan harapan dalam menyelesaikan masalah ini BUKAN berada di tangan manusia sebenarnya.

SKOR : 9/10
Pengulas : Bentara