Jet Li (ada sesiapa yang tak kenal?) melakonkan watak Danny, seorang yang seakan hilang ingatan dan 'dibela' oleh tuannya Bart (Bob Hoskins). Agak tidak jelas bagaimana 'rantai' yang dipakai oleh Danny boleh mengawal perilaku beliau tetapi yang nyata, apabila ia dicabut dari leher beliau, Danny akan menjadi seorang pembunuh dengan ilmu lawannya. Apabila rantai itu dipakaikan semula, Danny seperti menjadi seorang yang belum mumayyiz.
Danny digunakan untuk memukul 'klien' Bart yang tidak melunaskan bayaran, kemungkinan bayaran untuk perlindungan. Hinggalah pada satu hari Bart ditawarkan oleh seorang promoter bawah tanah untuk pertandingan seni pertahanan diri yang mesti berakhir dengan kematian. Fight to the death. Pada perlawanan pertama, Danny menunjukkan skil dan kekuatan luar biasa dengan membunuh juara bertahan dengan tiga das pukulan dalam masa kurang dari 3 saat.
Maka Bart sudah berkira-kira untuk menamatkan karier beliau sebagai gangster peras ugut dan memberi tumpuan kepada pertandingan sampai mati itu kerana hadiahnya teramat lumayan. Namun begitu, angan-angan Bart terhalang apabila beliau terlibat dalam kemalangan yang dirancang oleh musuhnya dan Danny hilang dari genggaman beliau.
Danny telah diselamatkan oleh seorang buta pembaik piano bernama Sam (Morgan Freeman) dan anak buahnya yang sedang menuntut kursus muzik piano, Victoria (Kerry Condon). Semasa dalam jagaan Sam, Danny mula mengenali apa itu 'perasaan'. Danny kembali kepada kehidupan manusia normal dan mula membenci perkara yang menyakitkan manusia. Mereka merancang untuk pulang ke New York (cerita berkisar sekitar sebuah bandar di UK) apabila selesai pembelajaran Victoria. Tetapi Bart mula kembali dalam kehidupan Danny dan mula mengancam kehidupan keluarga 'baru' Danny.
Scene lawan dalam filem ini menyeronokkan. Salah satu sebabnya ialah Jet Li tidak menggunakan kabel untuk terbang ke sana ke sini seperti kebanyakan filem beliau. Pukulan dan tendangan yang dibuat memang menyakitkan sepertimana filem-filem Jackie Chan yang menggunakan stunt yang sanggup menerima pukulan begitu. Tanpa disedari penulis, muka penulis berkerut apabila melihat lawan menerima penumbuk Jet Li. Ini untuk menggambarkan betapa 'brutal'nya scene lawan yang dibuat.
Skor : 7/10
Pengulas : Bentara
No comments:
Post a Comment