Saya teringat akan satu esei yang pernah saya baca dulu, yang antara lain menyebut betapa ada dua tema karya yang selalu dekat dengan audiens. Pertama, adalah tentang kehidupan: di mana kita semua berada sekarang. Sementara yang kedua, adalah kematian: yang belum ada manusia ke sana dan pulang untuk bercerita. The Sea Inside saya kira adalah filem tentang sempadan antara keduanya, tentang euthanasia (tindakan menamatkan hidup untuk terlepas dari kesengsaraan - ya, bunuh diri), namun saya merasakan ianya dihasilkan oleh pengarah yang mengimani kepercayaan betapa tidak ada sesiapa pun patut memilih untuk mati, walau dalam situasi Ramon Sampedro - protagonis filem ini lakonan Javier Bardem.
Kisahnya berdasarkan figura sebenar Ramon Sampedro yang mana dulunya adalah seorang pemuda tampan dan ceria, pada satu hari ditimpa kecelakaan selepas terjun di pantai berdekatan rumahnya. Pada Ramon, dia puas dengan usia mudanya. kehidupan sosial dan memori indah percintaan. Hidup memang best tapi dia tidak ralat jika detik itu adalah penamat untuk dirinya. Tapi dah tentulah bukan itu yang berlaku, Ramon sebaliknya lumpuh hampir seluruh badan. Hidupnya selama 30 tahun terlantar di atas katil, dia menolak untuk menggunakan kerusi roda kerana padanya benda itu semacam parodi kepada kebebasan yang pernah dia nikmati dulu.
"Hidup dalam kondisi rupa ini tak ada maknanya", kata Ramon. Dia mahu segera menamatkan hidup, bunuh diri, tapi mana mungkin dengan keadaannya yang begitu. Dan menurut undang-undang, kau tak boleh meminta bantuan orang lain untuk membunuh diri tanpa dia disabitkan dengan jenayah membunuh. Jadi kita melihat filem ini dibuka dengan usaha Ramon melawan perlembagaan, cuba memenangkan hak beliau untuk menamatkan hidupnya sendiri.
Walaupun sebuah filem mengenai satu manusia yang mengharapkan mati, saya melihat The Sea Inside sangat bertegas soal kehidupan. Banyak persoalan berat tentang kehidupan yang filem ini bawa. Antaranya soal makna kehidupan itu sendiri, dan bagaimana jika kehidupan seseorang dirasakan tidak punya makna? Adakah kehidupan itu hanya tentang kita, dengan mengabaikan orang lain di sekeliling? Ramon pula seorang yang bijak, beliau faham akan semua persoalan itu yang mana melahirkan pendapat beliau mengenai kematiannya sendiri. Lakonan Javier Bardem sebagai Ramon sangat mengagumkan, saya dapat merasa keletihan dan kesengsaraan beliau dalam setiap suara dan senyumannya. Ramon berjaya melahirkan empati audiens - kita boleh faham kesengsaraan dan tindakan beliau tanpa kita bersetuju dengannya.
The Sea Inside pada saya bukanlah sebuah filem yang memberi inspirasi, ia sangat depressing. Namun dengan sifatnya yang begitulah filem ini berjaya menjentik saya, memberi kesedaran yang jelas tentang nilai hidup sebelum mati. Jika filem ini bercakap dengan saya, saya rasa persoalan pokok yang ia tanya direct dengan saya adalah; apa yang menjadi motivasi untuk saya bangun pagi esok?
SKOR 8.5/10
No comments:
Post a Comment