Sunday, November 2, 2014

Perempuan Berkalung Sorban (2009)


(Sebenarnya, aku ingin menonton Dollah Superstar dahulu, tapi entah kenapa aku memilih PBS tanpa sebab)

Sebelum itu, aku ingin mengimbau semangat Florence Nightingale (1820-1910). Cara fikirnya jauh dan bersifat humanisasi. Antara argumentasinya pada 'kuasa-kuasa' pada waktu itu ialah desakannya agar membenarkan hospital turut menerima pesakit yang berbeza akidah dan bangsa seperti Yahudi dan Islam (termasuklah katolik yang hanya berbeza mazhab). Dan kesan perjuangannya dapat dinikmati hingga kini. Dan semua itu atas dasar mahukan pembaharuan, kebebasan dan kemakmuran.
Dan bila melihat perjuangan Anissa, aku terbawa-bawa semangat Florence Nightingale. Bukan menentang agama, tapi cuba menyetarakan agama dengan kehendak zaman (seperti  meng'indonesia'kan Islam bukan meng'arab'kan Islam) tanpa mengorban kesyumulan dan kesucian Islam itu sendiri. Mungkin filem ini agak sensitif kerana seolah menganggap sekolah pondok (atau pesantren) itu jumud dan konservatif. Namun apa yang cuba dibawa dalam PBS ialah bahawa Islam tidak konservatif, cuma penganutnya yang membawa agama ke lembah jumud.

Aku gemar bila diwujudkan juga watak para antagonis agama. (Aku tak akan lupa wajah Samsudin yang ketika isterinya didalam pantang pun masih mengajak bersetubuh). Dan aku gemar bila watak warak pesantren itu dibawa ke Jakarta yang digambarkan secara sinis liberalisasinya. (Lihat di kota, tiada satu pun watak bertudung. Dan watak ingin bebas Ayu yang punya cowok yang mungkin berzina).

Bagi aku, ada beberapa big turning point yang menonjolkan sisi kontradiksi. Saat Kiyai besar datang dan kelihatan para pelajar berebut-rebut ingin menghambakan diri (Ya. Bagi aku ini sinis terhadap syiah) seolah kiyai itu manusia sacred yang tanpa dosa. Juga adegan rejam (tanpa dibicarakan, awam terus merejam batu atas nama agama) dan Nyai Muthmainnah terus mengambil batu sambil berkata "sesiapa yang tidak berdosa boleh merejam". Ah! Itu ialah sisi manis sebuah perjuangan.

Filem ini jika dilihat secara literalnya seperti mengangkat tema diskriminasi wanita, namun ianya jauh dan lebih dari itu. (Kredit buat Abidah El Khaleiqy selaku penulis novel asalnya). Kekuatan tema serta lakonan bagi aku menenggelamkan mungkin beberapa kelemahan (bagi aku filem ini agak padat seolah dipaksa sumbat keseluruhan novel didalamnya). Dan Reza Rahardian. He's such an actor! Honestly bagi aku, dia jauh lebih jahat dari Tailong dalam KL Gangster 2 tanpa perlu membunuh dan bermandi darah!

SKOR: 8/10

Hatta Kain Kapan

 

No comments: