Monday, March 26, 2007

The Three Burials of Melquiades Estrada (2005)

Filem sulung arahan pelakon Tommy Lee Jones menarik hati penulis untuk menonton filem ini. Mungkin filem ini sebaik filem arahan pelakon lain seperti Mystic River (Clint Eastwood) dan Braveheat (Mel Gibson). Dan dari CV Tommy Lee Jones sendiri beliau membintangi filem-filem yang agak menarik seperti The Hunted, The Fugitive dan Blown Away makin menarik-narik hati penulis untuk menonton filem ini.

The Three Burials of Melquiades Estrada adalah sebuah drama 'dendam'. Berbeza dengan genre yang lain dengan topik yang sama (balas dendam dengan pistol, senapang, pedang etc), filem ini 'membalas dendam' dengan cara menunaikan hajat si kawan yang telah mati.

Pete Perkins (Tommy Lee Jones) adalah seorang penggembala yang mempunyai kawan rapat, seorang Mexican bernama Melquiades Estrada (Julio Cedillo). Sebenarnya Estrada adalah seorang pendatang yang diselamatkan dan diberi posisi kerja di ladang Perkins sehinggalah hubungan pekerja-tuan menjadi kawan rapat. Dan suatu ketika Estrada berpesan kepada Perkins, iaitu andaikata beliau meninggal dunia, hendaklah beliau dikebumikan di kampung halamannya di Mexico.

Mike Norton (Barry Pepper) pula ialah seorang polis sempadan yang baru ditempatkan di kawasan yang sama bersama Perkins. Dalam menjalankan tugasnya, beliau agak aggresif di dalam tindakannya. Beliau tidak teragak-agak melakukan kekerasan terhadap pendatang yang datang menceroboh.

Karektor Perkins dan Norton bertemu apabila suatu hari di dalam rondaan umum di sempadan yang dilakukan oleh Norton beliau tertembak (sehingga mati) Estrada. Di dalam kelam kabut dan tidak sengaja itu, beliau telah menanam mayat Estrada dengan harapan tiada siapa menemui mayat tersebut. Namun mayat itu telah ditemui. Dan ianya diberi nama 'pengkebumian pertama Estrada'.

Apabila mayat Estrada ditemui, pihak berkuasa telah mengkebumikan kembali Estrada di tanah perkuburan awam. Perkins yang tidak puashati kerana pihak berkuasa (yang tahu cerita sebenar) tidak mahu mengambil tindakan terhadap Norton dan merahsiakan identiti pembunuh Estrada. Ini adalah 'pengkebumian kedua Estrada'.

Perkins akhirnya mengetahui identiti Norton melalui teman wanita beliau. Beliau mengorek kembali mayat Estrada yang hampir busuk, dan dengan berpandukan dengan lakaran peta yang diberi oleh Estrada tentang kampung halamannya, Perkins bertindak mahu menunaikan hajat Estrada. Tetapi tidak selepas beliau membawa Norton bersamanya.

Bermulalah perjalanan panjang Perkins, Norton (yang dipaksa) dan mayat Estrada (yang dilambatkan proses pereputan dengan menempekkan garam) ke kampung halaman Estrada. Namun lakaran yang diberi sangat kasar dan ia memberikan persoalan samada mereka akan sampai atau tidak ke tempat tersebut. Itulah tajuk 'pengkebumian ketiga Estrada'.

Jalan cerita filem ini menarik tetapi agak perlahan untuk saya. Lakonan Barry Pepper sangat meyakinkan sebagai seorang yang egoistik tetapi hilang segala-galanya apabila perjalanan tersebut bermula.

SKOR : 6/10
Pengulas : Bentara

No comments: