Kehidupan satu keluarga berada di dalam keadaan huru hara apabila mereka mula menerima videotape yang merakam pergerakan mereka. Georges Laurent (Daniel Auteuil) bersama pasangannya, Anne Laurent (Juliette Binoche) dan seorang anak diintip oleh sepasang mata ketika mereka tidak sedari dan kemudiannya videotape tersebut dihantar bersama lukisan tangan yang menandakan sesuatu yang buruk akan berlaku ke atas mereka.
Filem ini menggarapkan elemen psikologi dan tanda tanya terhadap perlakuan lampau yang mungkin akan menghantui kehidupan seseorang. Georges terpaksa memeriksa peristiwa silam disebabkan mesej yang dihantar kepadanya cuba mengingatkan kembali perlakuan beliau yang mungkin pada dirinya kecil tetapi amat besar terhadap diri si penghantar videotape.
Anne pula seorang wanita yang tertanya-tanya apakah maksudnya disebalik peristiwa misteri tersebut dan menghadapi keadaan Georges yang tidak mahu membuka rahsia. Anak mereka pula mungkin berada di dalam keadaan bahaya kerana dia adalah elemen paling 'fragile' di antara mereka bertiga.
Siapakah yang menghantar videotape tersebut, mungkin bukanlah elemen terpenting dalam filem ini. Pengarahnya, Michael Haneke, tidak memberi kata putus tentang persoalan ini dan membiarkan penonton membuat kesimpulan tersendiri. Sebaliknya yang cuba dihasilkan adalah konflik antara dua pasangan dalam menghadapi situasi yang menekan seperti ini. Siapa yang hendak dipercayai? Cukupkah dengan perkahwinan itu bersatu semua emosi antara pasangan yang berjanji untuk sehidup semati.
Dalam filem ini kita akan dipandu dengan gaya cinematografi yang menarik. Juga sebuah filem yang mengajar kita untuk bersabar dalam mencari jawapan yang sebenar. Namun begitu, jawapan yang anda berikan terhadap penamat filem ini masih boleh diperbincangkan. Kalau anda peminat filem tembak-tembak mahupun filem detektif, anda bukanlah target filem ini. Tetapi jika anda seorang yang inginkan kelainan dan berharap sesuatu yang kekal lama dalam fikiran, ini adalah filemnya!
SKOR : 8/10
Pengulas : Bentara
No comments:
Post a Comment