Monday, March 26, 2007

I Heart Huckabees (2004)

Albert Markovski (Jason Schwartzman) ialah seorang aktivis alam sekitar yang telah membuka satu kumpulan pro-alam sekitar bernama Open Spaces. Beliau menggunakan teknik yang luar biasa, iaitu menggunakan sajak. Sedangkan partner beliau, Brad Stand (Jude Law) menggunakan teknik yang lebih konvensional iaitu melalui media. Ini menyebabkan Albert, yang sememangnya neurotik, bertambah neurotik apatah lagi bila dia mula dipinggirkan oleh kumpulan tersebut disebabkan teknik beliau yang begitu tidak masuk akal.

Satu peristiwa yang menyebabkan Albert pening kepala ialah apabila dalam satu hari beliau telah terserempak dengan seorang yang tidak dikenali sebanyak tiga kali berturut-turut. Beliau yakin bahawa peristiwa ini ada mesejnya yang tertentu. Ini membawa beliau kepada sebuah syarikat 'existential detective agency', yang bisnesnya ialah, menyiasat 'apakah makna hidup' kepada kliennya. Syarikat ini yang diselenggarakan oleh Bernard (Dustin Hoffman) dan Vivian (Lily Tomlin) mula melakukan siasatan ala detektif terhadap kehidupan Albert dalam menghuraikan peristiwa 'terserempak' beliau.

Kita juga dibawa kepada watak Tommy Corn (Mark Wahlberg) yang merupakan bekas klien Bernard dan Vivian tetapi telah kecewa dengan prinsip dan konsep syarikat tersebut dan beralih kepada khidmat syarikat 'Nihilist Existentialist' bernama Caterine Vauban (Isabelle Huppert). Syarikat Caterin menggunakan teknik yang bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Bernard dan Vivian.

Maka berlakulah situasi huru hara, pelik dan 'odd' antara watak-watak yang bersimpang siur dalam filem ini. Ini pada saya begitu menarik sekali kerana jalan cerita yang dinamik dan sentiasa memberikan elemen-elemen yang diluar jangkaan. Ditambah pula dengan elemen kelakar yang di luar dari kebiasaan menyebabkan kita tertawa sendiri. Mark Wahlberg dan Jude Law begitu mengesankan bersama dengan lakonan Jason Schwartzman yang neurotik.

SKOR : 8/10
Pengulas : Bentara

No comments: