Sunday, March 25, 2007

JFK (1991)

Pembunuhan Presiden Kennedy mungkin tidak memberi kesan apa-apa bagi masyarakat kita tetapi untuk USA ianya satu tragedi yang penuh dengan misteri. Filem JFK ini cuba menyelongkar kembali persoalan kenapa dan mengapa di dalam pembunuhan ini yang telah ditutup kesnya. Persoalan yang diberi oleh filem ini dijawab dengan fakta yang pasti mengejutkan, walaupun sebelum ini anda tidak ambil kisah pun tentang pembunuhan sensasi ini.

Impak filem ini sangat besar sehinggakan ketika Oliver Stone (pengarah) menayangkan filem ini kepada di hadapan Kongres, langsung Assassinations Disclosure Act diperkenalkan pada tahun 1992. Apakah ianya? Lihat dan fahami sendiri.

JFK mengisahkan tentang seorang District Attorney, Jim Garrison (Kevin Costner) yang merasakan terdapat sesuatu yang pelik berlaku tatkala Presiden Kennedy dikatakan secara rasmi dibunuh oleh Lee Harvey Oswald (Gary Oldman). Apa yang diwar-warkan oleh agensi kerajaan FBI banyak bercanggah dengan fakta yang ditemui oleh beliau.

Dalam membongkar kisah sebenar pembunuhan ini, Garrison mendapat pelbagai halangan termasuk dari media dan agensi kerajaan sendiri yang seolah-olah cuba mahu menutup kebenaran. Hampir-hampir beliau berputus asa disebabkan gangguan yang dihadapi hingga masuk ke dalam hal ehwal rumahtangga beliau.

Filem ini cuba mengaitkan pembunuhan Presiden Kennedy dengan keadaan semasa ketika itu iaitu pengaruh ekonomi dan peperangan Vietnam. Janji dan usaha Presiden Kennedy dalam merombak sistem politik USA ketika itu agak bercanggah dengan 'kehendak' umum politik yang pada pandangan filem ini berpihak kepada sebilangan kecil 'golongan' yang berpengaruh.

Diadaptasi dari buku karangan Jim Garrison sebenar yang kemudiannya dilakonkan dengan baik sekali oleh Kevin Costner, filem ini bakal merubah pandangan anda terhadap pembunuhan misteri Presiden Kennedy. Dengan bantuan barisan pelakon handalan seperti Tommy Lee Jones, Kevin Bacon, Joe Pesci dan lain-lain, filem ini sendiri diakui oleh Oliver Stone sebagai filem terbaik arahan beliau.


SKOR : 10/10
Pengulas: Bentara

No comments: