Penulis akhirnya membuat keputusan untuk menonton filem ini. Keputusan yang dibuat memang tepat!
Love Actually mengisahkan hubungan cinta sesama manusia, samada pasangan lelaki perempuan dalam talian perkahwinan, di luar perkahwinan; antara orang tua dengan anaknya dan sebagainya. Dengan lain perkataan, filem ini cuba menggambarkan, di sebalik kesimpulan umum sekarang bahawa dunia dipenuhi dengan sengsara, benci dan kemusnahan, sebenarnya, di mana sahaja kita akan mendapati bahawa cinta itu tetap ada, bahkan merebak samada kita sedar atau tidak.
Beberapa karektor di dalam filem ini:
1. Hugh Grant melakonkan watak Perdana Menteri Britain yang baru dan beliau masih bujang. Hari pertama beliau masuk ke dalam pejabatnya, beliau terpikat dengan orang gajinya Natalie (Martine McCutcheon). Bagaimana cara PM ini mendapatkan idaman hatinya ini?
2. Seorang penulis novel yang sedang dalam proses menyiapkan bukunya bercuti ke negara luar (Spain kemungkinan) yang mana dia dijaga oleh orang gajinya. Mereka terpikat sesama sendiri cuma masalahnya masing-masing tidak mengetahui bahasa yang dilafazkan. Seorang berbahasa Inggeris dan seorang berbahasa Spanish.
3. Seorang suami yang berjaya dalam kariernya mempunyai sebuah syarikat yang berjaya telah digoda oleh pekerjanya sedangkan isterinya tahu beliau sedang digoda, dan mungkin jatuh ke tangan pekerja tersebut. Lihat betapa sengsaranya si isteri memujuk hati sambil berharap si suami sedar akan kesilapannya.
4. Seorang suami kematian isteri dan mengalami penderitaan rindu yang tak tertanggung sedangkan anak tirinya sedang mengalami cinta pandang pertama bersama rakan sekolah (skim pertukaran pelajar). Jenis rindu yang berlainan tetapi kesan yang sama. Bagaimana masing-masing mencuba mengubati rindu tersebut.
Dan beberapa lagi karektor yang pasti membuat kita terfikir bahawa memang sebenarnya dunia ini masih penuh dengan perasaan cinta (terus membuatkan penulis terfikir tentang kekuasaan Pencipta yang meletakkan perasaan cinta ini secara umum kepada hati-hati manusia. Andaikata perasaan ini tiada, apa akan jadi?). Semua karektor-karektor tersebut menghadapi masalah dalam misi percintaan mereka dan akhir filem ini menunjukkan cara masing-masing menyelesaikannya.
Jalan cerita filem ini agak mudah tetapi persembahannya menarik. Walaupun terdapat banyak subplot di dalam filem ini tetapi mesej sebenarnya berjaya disampaikan. Dan kemunculan Rowan Atkinson dalam dua scene kecil dalam filem ini sangat saya tunggukan dan ia sangat melucukan.
SKOR : 9/10
Pengulas : Bentara
No comments:
Post a Comment