Friday, March 30, 2007

Walk the Line (2005)

Johnny Cash mungkin adalah idola bagi sesetengah orang tetapi penulis bukanlah peminat beliau. Malah penulis tidak kenal pun siapa itu Johnny Cash melainkan sekadar tahu bahawa beliau adalah penyanyi dari Amerika. Ini memberikan sedikit keinginan untuk menonton filem biografi ini dengan dua matlamat; 1. Mengenali siapa itu Johnny Cash dan 2. Menonton lakonan Joaquin Phoenix sebagai Johnny Cash (penulis meminati lakonan beliau dalam Gladiator).

Johnny Cash ialah seorang penyanyi country dan rock n roll yang disanjungi sezaman dengan Elvis Presley yang mana ketika itu bentuk muzik dengan 'attitude' rebel mula berkembang. Berbeza dengan lagu-lagu konvensional seperti gospel dan country biasa, Johnny Cash membawa muzik yang bertemakan luahan hati yang penuh dengan ketidakpuashatian selain dari menyindir golongan konservatif di dalam liriknya. Penulis mungkin silap tetapi ada kemungkinan pergerakan muzik punk ada mengandungi 'influence' dari beliau.

Filem biografi ini mengisahkan sedikit tentang kehidupan beliau sebagai kanak-kanak yang kehilangan abangnya di dalam satu 'freak accident'. Ini mengecewakan ayahnya yang begitu menyayangi abangnya lantas menyimpan satu perasaan seolah-olah Johnny tidak akan dapat menandingi abangnya. Perasaan ini berlarutan sehinggalah Johnny menjadi penyanyi terkenal. Walaupun begitu, ia tidak menukar pandangan ayahnya terhadap beliau.

Perkahwinan pertama Johnny tidak kekal disebabkan keadaan isterinya yang tidak memahami keadaan beliau (ataupun sebaliknya?). Ditambah pula dengan kemunculan penyanyi yang diidola oleh Johnny sejak kecik lagi June Carter (Reese Witherspoon) sebagai sebahagian di dalam siri tour beliau serata Amerika. Pujaan bertukar menjadi kasih dan ini makin memburukkan keadaan keluarga Johnny.

Walaupun Johnny mempunyai segalanya; populariti, duit dan pengaruh namun hatinya tidak tenang disebabkan masalah peribadi beliau.

Filem ini dicalonkan beberapa kategori di dalam Academy Awards dan Reese Witherspoon menang dalam kategori pelakon wanita utama dalam filem ini dan sememangnya beliau berhak di atas lakonan beliau yang begitu meyakinkan. Pada pihak penulis pula, filem ini mengajar penulis tentang diri Johnny Cash dan lebih-lebih lagi diperkenalkan kepada muzik Johnny Cash. Mungkin selepas ini Johnny Cash menjadi playlist penulis pula.

Skor : 7/10
Pengulas : Bentara

Wednesday, March 28, 2007

Good Night, and Good Luck. (2005)

Jurnalisme, pada suatu ketika merupakan satu instrumen yang sangat tajam. Bak kata pepatah mata pena itu lebih tajam dari pedang. Bergantung kepada siapa yang memegang mata pena terebut, hasilnya mungkin baik dan buruk, tetapi efektif jika dilakukan dengan etika yang betul.

Filem ini membawa kita beberapa dekad yang lampau, atau lebih tepat lagi pada tahun 1950an, di Amerika, di mana pada ketika satu jenis 'witch-hunt' sedang dijalankan. Witch-hunt ke atas pro-komunis. Joseph McCarthy adalah seorang senator yang mengelapai satu badan kerajaan yang menyiasat dan menghukum mereka yang disyaki sebagai pro-komunis. Metodnya sangat kabur dan penghukuman dijalankan tanpa bicara dan hanya berdasarkan kepada khabar yang tidak jelas.

Atas sebab metod sebegini, rakyat Amerika secara amnya ditakutkan-takutkan. Apa sahaja kaitan dengan pergerakan komunisme boleh dijadikan sebab untuk dihukum. Sebagai contoh, jika anda pernah berbual dengan seorang kawan 10 tahun dahulu yang merupakan seorang komunis, WALAUPUN anda tidak menjadi komunis, tetap ada kemungkinan anda boleh didakwa.

Edward R. Murrow (David Strathairn) adalah jurnalis di dalam program Good Night and Good Luck yang ditayangkan di stesen CBS ketika membangkitkan metod 'peras ugut' Senator McCarthy. Walaupun mendapat sokongan padu dari team jurnalis beliau termasuk produsernya, Fred Friendly (George Clooney) namun tidak pada golongan sponsor rancangan tersebut. Ini terus membawa dilema kepada stesen CBS tersebut yang memerlukan sokongan sponsor untuk pulangan wang. Boss CBS pada ketika amat prihatin atas rancangan yang kontroversi seperti itu.
Persoalan samada etika jurnalism lebih penting atau sponsor lebih penting menjadi tolak-tarik antara team jurnalis tersebut dengan pihak pengurusan stesen CBS. Bukan itu sahaja, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan juga makin 'meminati' rancangan tersebut atas dasar mahu menutup 'pekung' (jika ada) masing-masing. Isu kewangan dan politikal melawan etika jurnalisme menjadi mesej penting dalam filem ini.

Filem ini merupakan filem hitam putih kedua dicalonkan untuk Academy Awards selepas The Elephant Man (1980). Cinematography yang sungguh menarik dan dilakonkan dengan begitu baik sekali oleh pelakon-pelakon utama dan juga pelakon tambahan. Hampir 80% shot untuk filem ini berkisar di ruang ofis CBS tetapi masih memberikan 'engagement' yang kuat untuk saya menontonnya. Tahniah George Clooney sebagai direktor filem yang begitu menarik ini.

SKOR : 8/10
Pengulas : Bentara

Borat: Cultural Learnings of America for Make Benefit Glorious Nation of Kazakhstan (2006)

Ini filem spoof dokumentari. Paling dekat yang boleh penulis letak ialah bersama-sama dengan filem This Is Spinal Tap (1984). Cuma berbeza dari segi karektor. Borat (Sacha Baron Cohen) ialah seorang wartawan dari negara Kazakhstan yang ditugaskan untuk pergi ke USA untuk belajar budaya Amerika untuk dibawa ke Kazakhstan dengan harapan ini akan dapat 'memajukan' budaya Kazakhstan.

Maka pergilah beliau ditemani oleh kameraman (tanpa nama) dan pengarah, Azamat Bagatov (Ken Davitian). Bermula dari New York tetapi berkahir di Malibu gara-gara Borat jatuh cinta terhadap Pamela Anderson yang ditontonnya di dalam hotel ketika di New York. Plot yang mudah tetapi isi di antaranya yang penting.

Cohen meletakkan karektor Borat sebagai seorang yang naive dan lurus bendul - tidak pernah mengenali budaya di Amerika - merasakan bahawa untuk maju, beliau harus mempelajari cara dan moraliti Amerika. Logik yang mudah, jika budaya itu dari negara yang maju dan berkuasa; dipelajari dan dipraktikkan, maka negara beliau juga akan menjadi sebegitu.

Dengan sebab itu, apabila beliau mengambil kelas-kelas seperti kelas adab makan yang betul ataupun adab dalam membuat 'jokes', beliau sebenarnya cuba 'mengeluarkan' ketidakbetulan adab tersebut dari orang yang dipelajarinya. Ini dengan cara menunjukkan bahawa budaya Kazakhstan adalah primitif. Atau dengan lain perkataan, 'spoof' terhadap realiti sebenar.

Dan yang peliknya, mereka yang masuk dalam filem ini (mereka tidak sedar bahawa ianya hanyalah lakonan) percaya bahawa Borat mewakili budaya Kazakhstan. Pelik kerana mereka dengan serius percaya bahawa budaya Kazakhstan ialah mendiskriminasi wanita ke tahap hamba dan seks di dalam keluarga adalah sesuatu kelaziman di Kazakhstan. Ini membawa kita berfikir, siapa sebenar yang maju dalam fikirannya? Mungkinkah mereka yang maju itu sebenarnya naive kerana berpandangan sebegitu terhadap negara yang tidak maju?

Namun begitu Borat membawakan mesej ini dengan penuh ketawa. Awas, ada lawak beliau yang mungkin menjijikkan (pastikan ini bukan tontonan bersama keluarga). Scene yang mana beliau berbogel dan bergusti dengan Azamat memang menjijikkan.

Special Features di dalam DVD ini pun sungguh menghiburkan. Deleted scenes di dalam DVD ini adalah klip-klip yang dikatakan tak sesuai untuk tayangan di dalam panggung wayang. Amat jarang penulis melihat special features tetapi untuk DVD ini saya memberikan diri penulis ruang dan masa dan sesungguhnya penulis merasakan terhibur.

SKOR : 9/10
Pengulas : Bentara


Monday, March 26, 2007

The Three Burials of Melquiades Estrada (2005)

Filem sulung arahan pelakon Tommy Lee Jones menarik hati penulis untuk menonton filem ini. Mungkin filem ini sebaik filem arahan pelakon lain seperti Mystic River (Clint Eastwood) dan Braveheat (Mel Gibson). Dan dari CV Tommy Lee Jones sendiri beliau membintangi filem-filem yang agak menarik seperti The Hunted, The Fugitive dan Blown Away makin menarik-narik hati penulis untuk menonton filem ini.

The Three Burials of Melquiades Estrada adalah sebuah drama 'dendam'. Berbeza dengan genre yang lain dengan topik yang sama (balas dendam dengan pistol, senapang, pedang etc), filem ini 'membalas dendam' dengan cara menunaikan hajat si kawan yang telah mati.

Pete Perkins (Tommy Lee Jones) adalah seorang penggembala yang mempunyai kawan rapat, seorang Mexican bernama Melquiades Estrada (Julio Cedillo). Sebenarnya Estrada adalah seorang pendatang yang diselamatkan dan diberi posisi kerja di ladang Perkins sehinggalah hubungan pekerja-tuan menjadi kawan rapat. Dan suatu ketika Estrada berpesan kepada Perkins, iaitu andaikata beliau meninggal dunia, hendaklah beliau dikebumikan di kampung halamannya di Mexico.

Mike Norton (Barry Pepper) pula ialah seorang polis sempadan yang baru ditempatkan di kawasan yang sama bersama Perkins. Dalam menjalankan tugasnya, beliau agak aggresif di dalam tindakannya. Beliau tidak teragak-agak melakukan kekerasan terhadap pendatang yang datang menceroboh.

Karektor Perkins dan Norton bertemu apabila suatu hari di dalam rondaan umum di sempadan yang dilakukan oleh Norton beliau tertembak (sehingga mati) Estrada. Di dalam kelam kabut dan tidak sengaja itu, beliau telah menanam mayat Estrada dengan harapan tiada siapa menemui mayat tersebut. Namun mayat itu telah ditemui. Dan ianya diberi nama 'pengkebumian pertama Estrada'.

Apabila mayat Estrada ditemui, pihak berkuasa telah mengkebumikan kembali Estrada di tanah perkuburan awam. Perkins yang tidak puashati kerana pihak berkuasa (yang tahu cerita sebenar) tidak mahu mengambil tindakan terhadap Norton dan merahsiakan identiti pembunuh Estrada. Ini adalah 'pengkebumian kedua Estrada'.

Perkins akhirnya mengetahui identiti Norton melalui teman wanita beliau. Beliau mengorek kembali mayat Estrada yang hampir busuk, dan dengan berpandukan dengan lakaran peta yang diberi oleh Estrada tentang kampung halamannya, Perkins bertindak mahu menunaikan hajat Estrada. Tetapi tidak selepas beliau membawa Norton bersamanya.

Bermulalah perjalanan panjang Perkins, Norton (yang dipaksa) dan mayat Estrada (yang dilambatkan proses pereputan dengan menempekkan garam) ke kampung halaman Estrada. Namun lakaran yang diberi sangat kasar dan ia memberikan persoalan samada mereka akan sampai atau tidak ke tempat tersebut. Itulah tajuk 'pengkebumian ketiga Estrada'.

Jalan cerita filem ini menarik tetapi agak perlahan untuk saya. Lakonan Barry Pepper sangat meyakinkan sebagai seorang yang egoistik tetapi hilang segala-galanya apabila perjalanan tersebut bermula.

SKOR : 6/10
Pengulas : Bentara

Love Actually (2003)

Penulis bukanlah peminat filem cinta. Entah kenapa penulis membuat keputusan untuk menyewa filem ini. Mungkin tarikan pelakon-pelakon popular di dalamnya (sebenarnya, penulis meminati Rowan Atkinson hahaha). Dan adalah menjadi kebiasaan penulis, selepas pulang bersama-sama dengan DVD yang disewa, penulis akan terus merujuk kepada laman imdb.com untuk melihat ulasan-ulasan terdahulu untuk membuat keputusan filem apa yang patut ditonton malam itu.

Penulis akhirnya membuat keputusan untuk menonton filem ini. Keputusan yang dibuat memang tepat!

Love Actually mengisahkan hubungan cinta sesama manusia, samada pasangan lelaki perempuan dalam talian perkahwinan, di luar perkahwinan; antara orang tua dengan anaknya dan sebagainya. Dengan lain perkataan, filem ini cuba menggambarkan, di sebalik kesimpulan umum sekarang bahawa dunia dipenuhi dengan sengsara, benci dan kemusnahan, sebenarnya, di mana sahaja kita akan mendapati bahawa cinta itu tetap ada, bahkan merebak samada kita sedar atau tidak.

Beberapa karektor di dalam filem ini:

1. Hugh Grant melakonkan watak Perdana Menteri Britain yang baru dan beliau masih bujang. Hari pertama beliau masuk ke dalam pejabatnya, beliau terpikat dengan orang gajinya Natalie (Martine McCutcheon). Bagaimana cara PM ini mendapatkan idaman hatinya ini?

2. Seorang penulis novel yang sedang dalam proses menyiapkan bukunya bercuti ke negara luar (Spain kemungkinan) yang mana dia dijaga oleh orang gajinya. Mereka terpikat sesama sendiri cuma masalahnya masing-masing tidak mengetahui bahasa yang dilafazkan. Seorang berbahasa Inggeris dan seorang berbahasa Spanish.

3. Seorang suami yang berjaya dalam kariernya mempunyai sebuah syarikat yang berjaya telah digoda oleh pekerjanya sedangkan isterinya tahu beliau sedang digoda, dan mungkin jatuh ke tangan pekerja tersebut. Lihat betapa sengsaranya si isteri memujuk hati sambil berharap si suami sedar akan kesilapannya.

4. Seorang suami kematian isteri dan mengalami penderitaan rindu yang tak tertanggung sedangkan anak tirinya sedang mengalami cinta pandang pertama bersama rakan sekolah (skim pertukaran pelajar). Jenis rindu yang berlainan tetapi kesan yang sama. Bagaimana masing-masing mencuba mengubati rindu tersebut.

Dan beberapa lagi karektor yang pasti membuat kita terfikir bahawa memang sebenarnya dunia ini masih penuh dengan perasaan cinta (terus membuatkan penulis terfikir tentang kekuasaan Pencipta yang meletakkan perasaan cinta ini secara umum kepada hati-hati manusia. Andaikata perasaan ini tiada, apa akan jadi?). Semua karektor-karektor tersebut menghadapi masalah dalam misi percintaan mereka dan akhir filem ini menunjukkan cara masing-masing menyelesaikannya.

Jalan cerita filem ini agak mudah tetapi persembahannya menarik. Walaupun terdapat banyak subplot di dalam filem ini tetapi mesej sebenarnya berjaya disampaikan. Dan kemunculan Rowan Atkinson dalam dua scene kecil dalam filem ini sangat saya tunggukan dan ia sangat melucukan.

SKOR : 9/10
Pengulas : Bentara

I Heart Huckabees (2004)

Albert Markovski (Jason Schwartzman) ialah seorang aktivis alam sekitar yang telah membuka satu kumpulan pro-alam sekitar bernama Open Spaces. Beliau menggunakan teknik yang luar biasa, iaitu menggunakan sajak. Sedangkan partner beliau, Brad Stand (Jude Law) menggunakan teknik yang lebih konvensional iaitu melalui media. Ini menyebabkan Albert, yang sememangnya neurotik, bertambah neurotik apatah lagi bila dia mula dipinggirkan oleh kumpulan tersebut disebabkan teknik beliau yang begitu tidak masuk akal.

Satu peristiwa yang menyebabkan Albert pening kepala ialah apabila dalam satu hari beliau telah terserempak dengan seorang yang tidak dikenali sebanyak tiga kali berturut-turut. Beliau yakin bahawa peristiwa ini ada mesejnya yang tertentu. Ini membawa beliau kepada sebuah syarikat 'existential detective agency', yang bisnesnya ialah, menyiasat 'apakah makna hidup' kepada kliennya. Syarikat ini yang diselenggarakan oleh Bernard (Dustin Hoffman) dan Vivian (Lily Tomlin) mula melakukan siasatan ala detektif terhadap kehidupan Albert dalam menghuraikan peristiwa 'terserempak' beliau.

Kita juga dibawa kepada watak Tommy Corn (Mark Wahlberg) yang merupakan bekas klien Bernard dan Vivian tetapi telah kecewa dengan prinsip dan konsep syarikat tersebut dan beralih kepada khidmat syarikat 'Nihilist Existentialist' bernama Caterine Vauban (Isabelle Huppert). Syarikat Caterin menggunakan teknik yang bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Bernard dan Vivian.

Maka berlakulah situasi huru hara, pelik dan 'odd' antara watak-watak yang bersimpang siur dalam filem ini. Ini pada saya begitu menarik sekali kerana jalan cerita yang dinamik dan sentiasa memberikan elemen-elemen yang diluar jangkaan. Ditambah pula dengan elemen kelakar yang di luar dari kebiasaan menyebabkan kita tertawa sendiri. Mark Wahlberg dan Jude Law begitu mengesankan bersama dengan lakonan Jason Schwartzman yang neurotik.

SKOR : 8/10
Pengulas : Bentara

Caché (2005)

Kehidupan satu keluarga berada di dalam keadaan huru hara apabila mereka mula menerima videotape yang merakam pergerakan mereka. Georges Laurent (Daniel Auteuil) bersama pasangannya, Anne Laurent (Juliette Binoche) dan seorang anak diintip oleh sepasang mata ketika mereka tidak sedari dan kemudiannya videotape tersebut dihantar bersama lukisan tangan yang menandakan sesuatu yang buruk akan berlaku ke atas mereka.

Filem ini menggarapkan elemen psikologi dan tanda tanya terhadap perlakuan lampau yang mungkin akan menghantui kehidupan seseorang. Georges terpaksa memeriksa peristiwa silam disebabkan mesej yang dihantar kepadanya cuba mengingatkan kembali perlakuan beliau yang mungkin pada dirinya kecil tetapi amat besar terhadap diri si penghantar videotape.

Anne pula seorang wanita yang tertanya-tanya apakah maksudnya disebalik peristiwa misteri tersebut dan menghadapi keadaan Georges yang tidak mahu membuka rahsia. Anak mereka pula mungkin berada di dalam keadaan bahaya kerana dia adalah elemen paling 'fragile' di antara mereka bertiga.

Siapakah yang menghantar videotape tersebut, mungkin bukanlah elemen terpenting dalam filem ini. Pengarahnya, Michael Haneke, tidak memberi kata putus tentang persoalan ini dan membiarkan penonton membuat kesimpulan tersendiri. Sebaliknya yang cuba dihasilkan adalah konflik antara dua pasangan dalam menghadapi situasi yang menekan seperti ini. Siapa yang hendak dipercayai? Cukupkah dengan perkahwinan itu bersatu semua emosi antara pasangan yang berjanji untuk sehidup semati.

Dalam filem ini kita akan dipandu dengan gaya cinematografi yang menarik. Juga sebuah filem yang mengajar kita untuk bersabar dalam mencari jawapan yang sebenar. Namun begitu, jawapan yang anda berikan terhadap penamat filem ini masih boleh diperbincangkan. Kalau anda peminat filem tembak-tembak mahupun filem detektif, anda bukanlah target filem ini. Tetapi jika anda seorang yang inginkan kelainan dan berharap sesuatu yang kekal lama dalam fikiran, ini adalah filemnya!
SKOR : 8/10
Pengulas : Bentara

Metallica: Some Kind of Monster (2004)

Apakah yang membuatkan seseorang itu, atau dalam kes ini, satu band ini menjadi raksasa? Adakah jualan keseluruhan album yang mencecah 85 juta unit seluruh dunia, ataupun ego yang melebihi segala ego yang ada? Kedua-duanya adalah jawaban yang betul dan ianya terjawab dengan DVD ini.

METALLICA, satu nama yang sudah memasuki semua lingkup ruang yang ada. Tiada tempat yang bebas dari nama ini. Baik yang tua maupun yang muda. Baik yang peminat setia, pembenci setia ataupun yang menyalah labelkan mereka sebagai pengasas muzik Black Metal. Semua kenal akan nama ini.

Persoalannya, sejauh manakah perkenalan itu?

DVD ini seolah-olah merangkap segala persoalan tentang band rock terbesar di dunia ini. Hubungan persahabatan bermula sejak album Kill Em All dengan persembahan kecil di pub-pub hinggalah melewati arena yang terbesar di dunia, etika sebagai satu band rock n roll, harapan golongan korporat untuk album batu yang bakal terjual sejumlah jutaan unit, krisis dalaman yang menghantui individu berkenaan dan, pelbagai lagi jenis persoalan (perkenalan); hampir terjawab dengan DVD ini.

Ini adalah dokumentari yang berkisar tentang pembikinan album St Anger yang samada percaya atau tidak mengambil masa hampir dua tahun untuk siap. Begitulah juga proses rakaman dokumentari ini mengambil masa yang sama. Dari permulaan studio yang dipilih di bangunan tentera, kemudian berpindah ke lokasi lain akibat vibe yang tidak selari dengan nafas Metallica, kita dibawa bersama untuk menikmati, hari-hari yang berlalu bersama mereka.

Produser dan orang tengah (seorang pakar motivasi, yang dilantik oleh label) menjadi ‘integral part’ di dalam Metallica. Walaupun ianya sebagai pelakon tambahan tetapi kemunculan mereka begitu penting sekali demi untuk siapnya album St Anger. Produser, Bob Rock juga meletakkan line bassnya dalam album ini sementara ‘pakar motivasi’ bertindak sebagai penyejuk bicara, juru runding dan tukang pujuk jika berlakunya perbalahan antara Lars dan Hetfield.

Hubungan persahabatan kadang-kadang boleh menjadi begitu ‘superficial’ seolah-seolah mereka tidak kenal-mengenal sesame sendiri walaupun berada di dalam sebuah band yang sama melebih 20 tahun akibat dari satu fitrah manusia, iaitu ego. Ego ini hampir memusnahkan band ini dan bagaimana ianya boleh menyebabkan kerosakan yang sebegitu besar, dapat dianalisis melalui DVD ini.

Manakan tidak, apabila menawarkan jawatan bassist sebagai pengganti Jason Newsted kepada Robert Trujillo, mereka meletakkan harga US$1 juta dengan selamba. Jika wang ringgit sudah tidak menjadi masalah lagi kepada mereka, bolehlah kita agak-agak ego mereka sebesar mana.

Namun di sebalik itu, masih kelihatan semangat yang mendalam dalam diri mereka untuk melaksanakan tanggungjawab mereka kepada label yang mereka telah letakkan janji dan juga kepada peminat yang setia menunggu. Album St Anger, yang penuh dengan suka duka, termasuklah kehilangan hampir setahun Hetfield di dalam pusat pemulihan akhirnya terjual juga. Bolehlah dikatakan bahawa intipati album St Anger ini adalah kronologi kepada dua tahun pembikinannya dengan bayangan lebih dari 20 tahun evolusi band ini.

Konflik, suka duka, ego dan satu pencapaian adalah antara elemen yang boleh disimpulkan dalam DVD ini yang merungkai apa itu sebenarnya METALLICA!
SKOR : 9/10
Pengulas : Bentara

Sliding Doors (1998)

Apakah yang akan berlaku jika anda terlepas train dan naik teksi? Dan sebaliknya, apakah yang akan berlaku jika anda menaiki train dan tidak menaiki teksi?

Dua persoalan tentang dua keadaan yang berbeza yang pasti menghasilkan dua keputusan yang berbeza. Inilah jalan cerita secara paralel Sliding Doors dengan watak utama Helen Quilley (Gwyneth Paltrow), seorang wanita yang pada kemungkinan pertama (naik train) berkenalan dengan pemuda James Hammerton (John Hannah) dan balik ke apartmentnya dan mendapati teman lelakinya -seorang penulis amatur - Gerry (John Lynch) sedang berasmara dengan bekas teman wanita Gerry, Lydia (Jeanne Tripplehorn).

Pada kemungkinan yang kedua, Helen terlepas train tersebut dan menaiki teksi tetapi sebelum sempat sampai ke apartment, beliau telah mengalami kecederaan akibat diragut dan terpaksa mendapatkan rawatan. Akibatnya, beliau lambat kembali ke apartment dan Lydia sempat pergi dan Gerry 'agak' selamat dari situasi kayu tiga yang sekian lama dimainkannya.

Kedua-dua kemungkinan ini dimainkan dengan baik sekali oleh pengarah Peter Howitt. Jalan cerita paralel dibawa secara berasingan sehinggalah kepada penghujungnya yang menumpu kepada persoalan, apakah pilihan anda tepat, sebagai penonton, samada menaiki train ataupun teksi?

Walaupun Gwyneth Paltrow adalah pelakon utama filem ini tetapi pada saya situasi Gerry yang banyak memberi kesan. Lakonan John Lynch amat melucukan kerana watak beliau yang terpaksa 'juggle' antara Helen dan Lydia dan pada waktu yang sama cuba menyembunyikan hubungan beliau dari Helen.

SKOR : 9/10
Pengulas: Bentara

Sunday, March 25, 2007

JFK (1991)

Pembunuhan Presiden Kennedy mungkin tidak memberi kesan apa-apa bagi masyarakat kita tetapi untuk USA ianya satu tragedi yang penuh dengan misteri. Filem JFK ini cuba menyelongkar kembali persoalan kenapa dan mengapa di dalam pembunuhan ini yang telah ditutup kesnya. Persoalan yang diberi oleh filem ini dijawab dengan fakta yang pasti mengejutkan, walaupun sebelum ini anda tidak ambil kisah pun tentang pembunuhan sensasi ini.

Impak filem ini sangat besar sehinggakan ketika Oliver Stone (pengarah) menayangkan filem ini kepada di hadapan Kongres, langsung Assassinations Disclosure Act diperkenalkan pada tahun 1992. Apakah ianya? Lihat dan fahami sendiri.

JFK mengisahkan tentang seorang District Attorney, Jim Garrison (Kevin Costner) yang merasakan terdapat sesuatu yang pelik berlaku tatkala Presiden Kennedy dikatakan secara rasmi dibunuh oleh Lee Harvey Oswald (Gary Oldman). Apa yang diwar-warkan oleh agensi kerajaan FBI banyak bercanggah dengan fakta yang ditemui oleh beliau.

Dalam membongkar kisah sebenar pembunuhan ini, Garrison mendapat pelbagai halangan termasuk dari media dan agensi kerajaan sendiri yang seolah-olah cuba mahu menutup kebenaran. Hampir-hampir beliau berputus asa disebabkan gangguan yang dihadapi hingga masuk ke dalam hal ehwal rumahtangga beliau.

Filem ini cuba mengaitkan pembunuhan Presiden Kennedy dengan keadaan semasa ketika itu iaitu pengaruh ekonomi dan peperangan Vietnam. Janji dan usaha Presiden Kennedy dalam merombak sistem politik USA ketika itu agak bercanggah dengan 'kehendak' umum politik yang pada pandangan filem ini berpihak kepada sebilangan kecil 'golongan' yang berpengaruh.

Diadaptasi dari buku karangan Jim Garrison sebenar yang kemudiannya dilakonkan dengan baik sekali oleh Kevin Costner, filem ini bakal merubah pandangan anda terhadap pembunuhan misteri Presiden Kennedy. Dengan bantuan barisan pelakon handalan seperti Tommy Lee Jones, Kevin Bacon, Joe Pesci dan lain-lain, filem ini sendiri diakui oleh Oliver Stone sebagai filem terbaik arahan beliau.


SKOR : 10/10
Pengulas: Bentara

Henry: Portrait of a Serial Killer (1986)

Ini ganas punya cerita! Filem ini mengambil kisah (secara longgar) tentang pembunuh bersiri Henry Lee Lucas (Michael Rooker) yang sekarang (barangkali) menunggu untuk hukuman bunuh ke atasnya dijalankan. Mengikut wikipedia, beliau mengaku melakukan 3000 pembunuhan bermula dari keluarnya beliau dari penjara pada tahun 1975 hinggalah tertangkapnya beliau pada tahun 1983.

Filem ini tidaklah membongkar kes pembunuhan yang beliau lakukan tetapi cuba menonjolkan pemikiran beliau yang sadistik terhadap wanita akibat dari sejarah lampau berkait dengan ibunya. Bersama beliau ialah teman serumah, Otis (Tom Towles) yang asalnya bukanlah pembunuh tetapi 'belajar' dengan Henry bagaimana 'kering'nya untuk mengambil nyawa seseorang.

Keadaan mula berubah apabila adik perempuan Otis, Becky (Tracy Arnold) duduk serumah bersama mereka. Otis yang banyak membuli adiknya menjadi perhatian Henry. Kasih sayang mula terjalin antara Henry dan Becky. Sementara itu, Otis mula menjadi semakin berani dalam melakukan sesuatu yang diluar jangkaan. Apa penyudahnya kisah mereka bertiga? Yang nyata, pertumpahan darah telah berlaku di luar rumah. Persoalannya adakah pertumpahan darah juga akan berlaku di dalam rumah?

Filem ini memang ganas dan memerlukan orang yang 'tabah' untuk melihatnya. Dalam satu scene yang mana mereka menceroboh masuk sebuah rumah dan melakukan pembunuhan dengan rakaman video kamera, anda akan dapat merasakan betapa gilanya manusia apabila hati bertukar menjadi sadistik.
Kepada peminat Death Metal, anda pasti akan 'gembira' apabila mendengar soundtrack intro filem ini yang kemudiannya diadaptasi oleh kumpulan Malevolent Creation sebagai intro di dalam album Retribution. Intro yang begitu signifikan selain dari intro filem The Exorcist yang diadaptasi oleh kumpulan Possessed dalam album Seven Churches.

SKOR: 8/10
Pengulas: Bentara

Still Crazy (1998)

Semenjak menonton filem ALMOST FAMOUS, saya seakan menjadi peminat genre filem sebegini. STILL CRAZY mengisahkan tentang sebuah band rock bernama STRANGE FRUIT yang pernah popular pada zaman 70'an dulu. 20 tahun selepas zaman kegemilangan mereka, Tony Costello (Stephen Rea), ditawarkan oleh anak kepada promoter sebuah festival rock pada zaman mereka untuk menghidupkan (reunion) kembali STRANGE FRUIT.

Maka bermulalah 'pengembaraan' Tony mengumpulkan ahli band yang sekarang sudah menjadi rakyat biasa. Kecuali Ray Simms (Bill Nighy), vokalis STRANGE FRUIT yang masih kekal dengan karier artis solo (walaupun sekarang berada dalam zaman kejatuhan - terpaksa menjual hartanah yang dimiliki), yang lain-lainnya bekerja sebagai tukang kebun dan kontraktor pembinaan.

Apabila sudah bersama, timbul kembali sejarah lama berkait dengan ego yang tidak reda-reda. Maka, berlakulah kekecohan, kelam kabut dan tidak puashati lantaran ego yang tidak mahu mengalah terutamanya antara Ray dan Les Wickes (Jimmy Nail). Ia makin menjadi sulit gara kehilangan gitaris asal, Brian Lovell (Bruce Robinson) yang menjadi tonggak utama STRANGE FRUIT ketika zaman kegemilangan mereka (tempatnya diganti dengan pemain gitar yang muda - atas dasar untuk menarik peminat baru yang muda).

Tour mereka menjelajah Europe, bermula dengan sebuah kelab di dalam sebuah bot (!) kemudian ke kelab punk menjadi tidak keruan, seakan memberi tanda awal bahawa tiada lagi tempat bagi STRANGE FRUIT sekarang. Namun hasil dari daya usaha Tony dan Karen Knowles (Juliet Aubrey) mereka meneruskan juga tour tersebut yang sepatutnya berakhir dengan festival asal yang menemukan STRANGE FRUIT dengan anak kepada promoter festival tersebut.

Berjayakah STRANGE FRUIT dalam reunion mereka?

Jikalau anda meminati zaman rock 70'an (Deep Purple, Led Zeppelin, Status Quo etc), jalan cerita ini menimbulkan kembali minat tersebut. Selain dari jalan cerita saya suka menyukai soundtrack filem ini yang menampilkan lagu-lagu nyanyian STRANGE FRUIT (!) bersama pelakon Jimmy Nail. Memang best!

SKOR: 6.5/10
Pengulas: Bentara