Soalan aku kenapa dan kenapa Hanung Bramantyo? Tidak adakah pengarah tempatan yang boleh mengarahkan filem direct to TV ini? Dengan cerita asal juga diilhamkan oleh pengkarya tempatan, (dan cuma shooting di Jakarta), kenapa perlukan Hanung Bramantyo untuk naskah bertaraf telemovie ini? Lagi pula setakat seperti Cinta Paling Agung (CPA) ini, ia seolah telah terlalu biasa di TV kita. Tonton sahaja saban minggu di kaca TV.
Okay. Aku rasakan kenapa Hanung ialah kerana dua sebab. Pertama, cara berpesan. Aku antara yang sering mengikuti filem arahan Hanung. Dan apa yang aku amat gemar ialah, Hanung gemar berpesan dengan caranya. Maksud aku jika menonton filem-filemnya seperti Doa Yang Mengancam, Perempuan Berkalong Sorban ataupun ? (Tanda Tanya), Hanung gemar memberi pesan yang mampu membuat audien berfikir dan terfikir. Ia tidak seolah kita sedang menghadiri sebuah kursus poligami dan melalui proses brainwash oleh fasilitator wanita, (walau mahu bermula seperti itu) tetapi lebih kepada pesanan seorang teman untuk temannya yang mahu berpoligami.
Keduanya, style dan cara Hanung. Ini merupakan antara karya paling lemah Hanung bagi aku. Dialog yang kurang mencengkam, lakonan yang biasa-biasa dan gabung jalin babak yang kadang berchemistry, terkadang tak. Namun disebalik itu, Hanung masih memberi beberapa 'Indonesian style and signature' yang bagi aku pengikat untuk aku terus tonton sehingga tamat. Kerana itu apabila ia bermula dengan layar hitam bertulisan mutiara kata kemudian baru disusuli visual, aku terus terdetik, hah! Ini memang berbau Hanung!
Ringkasnya, CPA bukan sesuatu yang terbaik dan boleh aku katakan ia sekadar berkualiti telemovie. Tetapi siapa pula mahu nafikan pesanan CPA sebagai pesan yang baik? Kita juga punya beberapa pengarah berpesan yang baik seperti Khir Rahman atau Raja Mukhriz. Kerana bagi aku sisi pesan dalam sinema Malaysia semakin agak suram dengan pesan. Jika ada pun, kerana terlalu banyak mungkar hingga mengaburi mesej makrufnya. Dan kerana itu aku memuji naskah ini.
Dan naskah ini bercerita perihal sesuatu yang amat sensitif pada wanita, namun akhirnya berjaya memenangi hati wanita! Dan maaf. Aku tak tahu idea dukung itu idea siapa tetapi ia agak... Urghh!
SKOR: 6.5/10
No comments:
Post a Comment