Friday, August 21, 2015

The Man From U.N.C.L.E (2015)


http://www.imdb.com/title/tt1638355/

Sebelum aku melangkah dan duduk di seat bernombor di J6 di GSC malam tadi, aku sedikit gusar. Berbeza dengan David Fincher yang aku ikuti setiap naskah layarnya atau Majid Majidi yang aku santuni pemikirannya di dalam filem, Guy Ritchie pula aku lebih kenal sebagai suami Madonna, bukan sebagai pengarah Snatch (2000). Itu sudah agak menggusarkan hati. Jadi aku menonton dengan perasaan, menonton apa yang ada dan bukan mencari apa yang tiada dalam tontonan.

Aku ingin katakan dua perkara mengenai The Man from U.N.C.L.E (TMFU). Pertama, 'kemesraan' Guy Ritchie dengan audien. Aku gemar mengatakan yang TMFU bukan filem untuk semua. Maksud aku, sekiranya anda punya rakan-rakan yang menonton Fantastic 4 baru-baru ini dan mereka mengatakan F4 itu best, (aku sendiri belum menonton F4 jadi aku tak tahu adakah ia benar best seperti yang dikata) maka orang yang sama mengatakan F4 best itu mungkin akan mengatakan TMFU tidak best. Dan aku agak yakin juga dalam 10 orang penonton yang menonton TMFU, mungkin lima daripadanya akan mengatakan Kingsman : The Secret Service (2014) adalah lebih baik dan best. Ini kerana Guy Ritchie punya stail dan cara penyampaian tersendiri yang bagi aku agak 'kurang mesra' dengan audien biasa yang sekadar mahu menonton wayang kerana mahu menghabiskan masa atau salah satu aktiviti ketika bercinta. Ya. Cara lucu 'kelabu' bersama sirat surat scene yang seolah mahukan audien 'sesat' dalam rasa dan telahan bagi aku memang sukar untuk mengakrab dan memesrakan diri dengan audien yang 'tidak sabar' dan telah terbiasa dengan suapan dialog dan visual secara literal. (Jika menontonnya, sila perhatikan scene anggur dikupas dan scene Napoleon Solo (Henry Carvill) enak makan roti di dalam lori). Dan mujur aku telah menghadam Snatch yang tidak membuatkan aku asing ketika menonton TMFU.

Keduanya, stail dan gaya filem Guy Ritchie. Filem ini mengambil latar perang dingin. Dan U.N.C.LE ialah badan berkecuali yang menggabungkan agen-agen walau dari negara berseteru antaranya Soviet Union dan USA. (Sesuatu yang aku agak gemar, persaingan bakat, kepandaian serta teknologi di suntik sihat di dalam naskah ini. Dan U.N.C.L.E seolah badan pendamai demi kedamaian walau setiap negara punya agenda sendiri).

Begini. Aku terasa seolah singgah di RnR milik Guy Ritchie dalam perjalanan melalui highway 'aksi' dan menuju ke bandar 'efek dan teknologi'. Di RnR itu aku dihidang pula kopi O di dalam cawan kopitiam lama dan disuap pula alunan lagu R. Azmi melalui radio lama yang kadangkala jelas kadangkala tidak. Itu yang aku rasa Guy Ritchie lakukan. Guy Ritchie seolah faham dan mengarahkan filem ini seolah dia di zaman 60an juga padahal dia berada di zaman teknologi. Ini kerana, aksi filem ini minima namun berada di paras logik manusia seolah 'refresh' untuk minda kita yang telah terbuai dengan lambakkan letup dan terbang melampau. (Rujuk scene kejar mengejar dua buah kereta 'lama' yang tidak perlu sport rim pun. Klasik!). Latar muzik pula bagi aku bijak membuai rasa kenangan di blend dengan papar visual yang kelihatan suci dari CGI (aku cukup gemar kredit nama filem dalam warna kuning. Aroma 70an!). Dan gaya karisma setiap watak, Ah! Ini mungkin aku katakan gaya Guy Ritchie. Tonton Snacth dan lihat setiap gaya dan karisma setiap watak yang dibina. Ia juga seolah ada di dalam TMFU. Seolah Guy Ritchie mengatakan kepada Henry Carvill dan Armie Hammer, "Jangan cuba jadi Jason Statham atau Brad Pitt, tapi jadilah apa yang Guy Ritchie mahu! Gaya Guy Ritchie!". Dan ia menjadi RnR manis untuk aku segarkan diri.

Cumanya, filem ini terlalu mudah. Seperti biasa di RnR, bukan semua makanannya sedap. Berbanding Snatch, aku terasa sedikit ringan pada binaan cerita yang aku rasa 'safe play'. Ia sedikit sebanyak membuatkan aku agak ternanti sesuatu yang 'wow' dan 'thrill' namun ia tidak berapa ada. (Mungkin kerana aku dah selalu dengan genre heist atau insane crazy twist? Atau adakah kerana memori Snatch aku terlalu kuat?).

Ringkasnya, mahu singgah di RnR Guy Ritchie? Serius aku katakan RnR ini tidak lewa dan cincai dalam menjalankan tugas walau secara peribadi aku lebih gemar pada Snatch. Cuma, bak kata dua rakan yang turut sama menonton mengatakan, 'kadang-kadang terasa Tarantino' dan 'kalau bila pejam, ia masih terbayang di mata', maka itu sudah cukup membayangkan kekuatan binaan memori visual dan stail filem ini. Dan jika mereka berkata begitu, maka aku pula katakan aku agak berangan membawa kereta seperti si manis Gaby Teller saat mahu pulang ke rumah usai tayangan!
Oh ya. Ramai mengatakan, Lock, Stock and two Barrel adalah filem terbaik Guy Ritchie. Aku belum lagi menontonnya. Di mana agaknya aku akan letakkan TMFU selepas menontonnya?

SKOR: 7.5/10

Hatta Kain Kapan

No comments: