Wednesday, August 26, 2015

Mad Max : Fury Road (2015)

Pengarah: George Miller
Pelakon: Tom Hardy, Charlize Theron, Nicholas Hoult, Hugh Keays-Byrne, Zoë Kravitz, Rosie Huntington-Whiteley
Tarikh tayang: 14 Mei 2015
Pengedar: Warner Bros Pictures (Malaysia) 
IMDB: www.imdb.com/title/tt1392190/

Ulasan:

Alhamdulillah, sebagai insan yang tidak berapa 90'an, dapat juga saya menonton berturut-turut kesemua episod Mad Max dalam masa 4 hari tanpa terputus momentum dan ini membenarkan mata saya terbeliak ketika meneliti seni kolektifnya. Nicholas Hoult (Nux) bak Ironbar di Thunderdome, berjaya mencuci darah lama saya bertukar baru (O yang lebih universal) dengan pembawakan wataknya yang dinamik. Tanpa berhenti menggelikan hati, dia juga menyedapkan mata para penonton dengan aksinya yang persisten ala budak-budak yang tidak mahu berhenti berguling sehingga mendapat gula-gula dan ya, apa yang dia suruh kita saksikan akhirnya memang TIDAK mediocre. Bane pula tidak menjadi racun untuk francais ini apabila dia menggantikan Conrad Stonebanks sebagai Max Gila, akan tetapi kostumnya yang sepatutnya berkonsep koyak berganti di dalam setiap sambungan siri ini seakan-akan berganti terus di Fury Road apabila material kulitnya (leather) bertukar ke kain. Jambang Bane juga menghodohkan dirinya dan gagal menampakkan dia semakin tua dan ini semua di mata saya ialah silap yang minor daripada para penerbit. Dari segi lakonan hero ini pula, tidak terlihat sebarang kekurangan melainkan suara dubbingnya yang agak lemah. Walaubagaimanapun, seperti Daniel Craig untuk 007, dia berjaya membuktikan dia layak memegang obor Mad Max. Ada dua babak yang menarik perhatian saya. Pertama, apabila tersenyumnya Angharad The Splendid mendapat satu thumbs up daripada Mad Max kerana berjaya mengelak serangan musuhnya dan masih memegang pintu trak, memberikan harapan palsu untuk para penonton naif seperti saya. Kedua, apabila Max balik bermandikan darah musuhnya di kawasan berlumpur untuk mendapatkan bekalan peluru; babak ini satu-satunya yang saya nampak di dalam francais Mad Max setakat ini di mana usaha Max tidak dipertontonkan namun ini masih tidak merendahkan standard keseluruhannya yang anti-montaj. Di samping itu, redup hati saya mengetahui masih tiada aksi berahi yang mencemari filem berprestij ini walaupun masih tidak gagal para pelakon wanita rupawan digunakan.Tidak lupa juga rasa kesyukuran saya yang tak terhingga apabila TIADA bayi, anjing, kuda mahupun apa-apa lagi makhluk yang tidak berdosa dipaparkan dan kemudian dibunuh dengan kejam seperti di dalam tiga filem Mad Max yang terdahulu. Ini membuatkan saya ingin mencium dahi George Miller lebih daripada meminta autografnya ketika berpeluang bersua kelak. Sebagai bungkusan, What A Lovely Day to Die Hard on a Fury Road merangkul 10.1/10 bintang kerana tiada kelemahan dalam cerita ini yang mampu tonjol untuk membusukkan ke'certified-freshan'nya.

SKOR: 10/10

Ahmad Syafiq Radzali

No comments: