Monday, September 29, 2014

The Raid 2: Berandal (2014)


http://www.imdb.com/title/tt2265171/


Cerita pertarungan abad ini yg hebat!

Itu saja yang mampu saya ungkapkan terhadap filem Indonesia ini. Malah jika nak dibanding dengan negara jiran yang satu lagi, filem ini mampu menyaingi Ong Bak malah boleh mengatasi filem tersebut dari segi slot pertarungan bela diri. Walaupun Ong Bak mempunyai stunt pertarungan, diselit dengan seni parkour ala Yamakasi filem Perancis mahupun filem2 aksi Jackie Chan, filem The Raid: Berandal ini tetap mempunyai keunikan seni bela tersendiri dan amat mengujakan. Berkisar perebutan kuasa, ketamakan kuasa,pangkat dan wang, aktiviti jenayah yang membunuh kehidupan rakyat, jiwa muda yang memberontak, ketaatan dan kekeluargaan, serta pembalasan dendam, filem ini walau dianggap biasa dari sudut penceritaan, namun luarbiasa dari sudut kepadatan aksinya.

Menonton setelah membeli Bluray Disc(BD) kerana filem ini langsung tidak lepas penayangannya di Malaysia kerana aksi pertarungannya sememang amat ganas untuk tontonan semua kategori. Mungkin kerana banyak aksi pecah kepala, kerosakan banyak anggota dan organ badan, penggunaan banyak senjata berbahaya seperti penukul(hammer), kayu besbol, kerambit, parang, tidak kurang juga pistol dan senjatapi serta sedikit scene industri porno, bakal mendedahkan perkara yang dichop negatif kepada masyarakat. Pertarungan tanpa senjatanya juga kelihatan amat ganas. Itu jika dikira dari segi faktor penapisan terutama di Malaysia, tetapi jika dikira dari faktor ‘pertarungan’, filem ini amat lengkap dan masa yang diambil berdurasi 150 minit amat memuaskan hati bagi penggemar filem aksi. Jika hendak dibandingkan dengan The Raid 1: Redemption, filem kedua ini jauh lebih hebat aksi pertarungannya kerana kebanyakan pertarungan mengetengahkan lebih aksi pertarungan bela diri, silat dan seni menggunakan peralatan berbanding senjatapi.

Sedikit sinopsis (berhati2 dengan kemungkinan spoiler yg banyak..hehehe), filem ini bermula dengan pembunuhan yang dilakukan Bejo, ke atas Andi (jika anda tidak pernah menonton Raid 1,anda tidak akan kenal) iaitu abang kepada Rama (lakonan Iko Uwais) serta pertemuan dan perancangan oleh seorang pegawai polis yg anti rasuah, anti gangsterism Indonesia iaitu Bunawar yang akhirnya membawa kepada Rama (atau nama lain penyamarannya, Yuda) diarahkan menjalankan misi yang amat besar,berisiko tinggi dan berbahaya iaitu, perlu masuk penjara selama 3 thn, membuat jenayah dalam lokap, menyiasat dan menganggotai kumpulan gangster besar diketuai Bangun. Perancangan rapi ini adalah bagi ‘menyusup masuk’ ke dalam tiga kuasa besar yang berkuasa pada masa itu dan amat dikehendaki polis iaitu empayar Bangun, Reza dan seorang Jepun bernama Goto. Manakala Bejo yang membunuh Andi pd awal filem merupakan salah serang penjenayah maha jahat pada ketika itu yang mempunyai kuncu-kuncu paling ganas. Adrenalin mula terasa terganggu dan cemas semasa bermulanya aksi pertarungan dalam penjara lagi dan ini mengingatkan aku seperti cerita pertarungan dalam penjara Undisputed lakonan Scott Adkins.

Garapan yang dibuat oleh pengarah Gareth Evans yang telah mengangkat pencak silat moden dan pelakon Iko Uwais termasuk filem2nya sebelum ini seperti The Raid, Merantau Warrior,semakin berkembang selepas aksi-aksi dalam penjara, sehinggalah aksi selepas Rama telah keluar penjara dan mula menyertai Uco dan ayahnya Bangun yang mempunyai empayar kongsi gelap yang berjaya. Badan mula tegang, degup jantung berlari kencang apabila satu demi satu pertarungan mula muncul di skrin TV lusuh saya, terutama apabila kemunculan Prakoso (lakonan hebat Yayan Ruhian) dan juga The Assasin (lakonan Cecep Arif Rahman), di mana ketiga-tiga mereka termasuk Iko Uwais merupakan pesilat malah jurulatih silat Indonesia yang hebat yang memiliki Seni Cimandi, Penglipur Garut, Silat Harimau, Minang dan sebagainya. Tidak hairan filem ini penuh bertenaga dan buat kita berpeluh. Itu belum watak sampingan yang tidak kurang juga hebatnya seperti Bejo yang cukup antagonis, Eka seorang bekas polis yang setia terhadap Bangun, Hammer Girl (gadis tangkas guna hammer utk membunuh), Baseball Bat Man, dan watak jepun-jepun yang pd saya hanya sumbangan kecil sahaja dlm filem ini. Uco sebagai anak kepada Bangun tidak mempunyai kesabaran dalam mengambil alih empayar dari ayahnya dan akibat ketamakan dan sifat darah muda yg panas, beliau telah meruntuhkan empayar besar yg dibina bapanya sekian lama. Gabungan padu watak-watak yang disebut tadi telah berjaya menjadikan padatnya kisah ‘perang empayar’ dalam filem ini. Filem ini juga ada aksi stunt kejar-mengejar di jalanraya bandar sibuk dan macet Jakarta di Indonesia yang saya kira,digarap dengan baik dan rasanya filem Indonesia malah filem kita pon masih belum ada garapan baik sedemikian rupa tapi biasa kita lihat dlm filem Thailand dan luar negara antaranya filem Ronin. Kamera shot yang baik dr segi komposisi dan angle,memainkan peranan yang banyak dalam aksi ini. Apa yang saya dapat agak adalah penggunaan kamera GoPro banyak digunakan dek kerana itu ada komposisi menarik terhasil. Ada aksi pelanggaran motorsikal, kereta, stunt bergayut pada kenderaan sambil tembak-menembak, bertarung dalam MPV dan kemalangan sana sini. Aksi di jalanraya juga cukup membuatkan kita tidak senang duduk dan mulut ternganga. Namun aksi paling sempurna dan terbaik serta bakal diingati penonton adalah aksi pertarungan di antara Rama dan The Assassin di dalam dapur restoran yang penuh dengan seni kaki dan tangan serta penggunaan peralatan dan senjata kerambit yang amat berbahaya, satu koreografi yang mantap dan ending pertarungan yang teman kira cukup-cukup puas hati.

Sinematografi yang berbeza dan menarik, focus kamera jarak dekat(close-up), arial dan shot kemas dari angle tinggi (terutama pergaduhan ketika hujan di lumpur dalam penjara),aksi slo-mo gerak perlahan, berjaya menjadikan filem ini dilihat seolah-olah benar-benar terjadi di depan mata penonton. Efek air, lumpur dan hujan serta slo-mo pergaduhan di antara banduan dan warder penjara, sewaktu Prakoso berentap di kelab dan terbunuh di atas salji (apaaa??salji??) begitu memberi kesan. Adunan skor music yang tidak melampau (kali ini tiada skor music oleh Mike Shinoda Linkin Park seperti The Raid 1 bagi pasaran luar negara) dan efek bunyi yang bagus juga telah menjadikan speaker-speaker Jamo di teater rumah saya meletup-letup dan menyebabkan jiran-jiran memaki saya dalam diam.

Dari kacamata saya secara personal, walau terdapat beberapa ketidak logikan antaranya scene di mana Jakarta diliputi salji, tiada penggunaan senjatapi oleh Rama sewaktu menentang dan mengalahkan penjahat yang ramai (selalunya hero nak senang main tembak saja..heheh), samseng-samseng Jepun hanya datang di saat akhir dan setelah segala selesai, tiada CCTV tersorok kelihatan dalam rumah Rama (yg diberi Bangun,sebab teman kira Bangun mesti memantau segala pergerakan bawahannya), watak Bunawar yang hanya seketika selebihnya melalui panggilan dan tiada bantuan diberi kepada Rama di kala kesusahan, slot untuk keluarga Rama terutama anaknya yg makin membesar hanya sedikit, tiada juga serbuan polis ala SWAT berkumpulan dilakukan sebagaimana filem pertama yang kena dengan tajuk The Raid, melainkan serbuan oleh Rama seorang diri. Namun semua itu saya jamin tidak sedikit pun memberi impak dan mematahkan hati penonton dek kerana akibat terlalu puas menonton wayang gambar ini, kerana keutamaan filem ini adalah penuh dengan aksi. Ramainya penjahat dan samseng dalam filem ini adalah kena dengan tajuknya ‘Berandal’ yang membawa maksud ‘samseng’ oleh itu tiada aksi makan di restoran, cintan cintun, perempuan muda kejar lelaki tua kaya, cemburu buta, slanga samseng melayu pelat cina, lawak bodoh tiada dalam cerita ini. Kelihatan juga beberapa scenario yang serba sedikit menyamai filem Hong Kong dan Thailand seperti filem Election (scenario ketika di lombong tempat mayat dicampak), babak Rama naik ke hall di mana Bejo, Uco dan Reza sedang makan dan menghadapi rintangan kelihatan seperti babak dlm wayang Tom Yum Goong.

Saya kira filem ini adalah antara filem pertarungan bela diri yang kurang bersenjatapi paling terbaik pernah terhasil, malahan Matt Goldberg,seorang dari pengkritik filem yang amat ‘ketat’ juga memberikan quote "one of the greatest action movies ever made''. Filem ini juga filem Indonesia pertama yang telah tersenarai antara 250 filem top IMDb. Buat penonton yang meminati filem bergenre sebegini, anda tidak akan rugi memiliki sekeping BD filem aksi ini sebagai antara koleksi simpanan anda. Sekaligus filem ini mengangkat industri perfileman aksi Indonesia di mata dunia begitu juga para pelakonnya yang mula mendapat perhatian di hati peminat. Semoga selepas ini banyak lagi filem aksi moden terhasil oleh negara jiran kita ini dan semoga filem di Malaysia juga paling tidak boleh menyaingi filem negara luar. Thumbs up kepada pengarah yang berjaya dalam adunannya tersendiri dan mampu mengangkat filem ini sebagai filem aksi Asia antara yang terbaik di layar global. Lakonan Iko Uwais juga dilihat semakin membangun dan tidak hairan jika beliau boleh pergi jauh lagi sebagai mana Tony Jaa, Donnie Yen dan Jackie Chan. Akhir sekali saya memberikan rating agak tinggi iaitu 8/10 terhadap filem ini. Selamat menonton!
 
Ulasan oleh: Saiful Halim
 
SKOR: 8/10

No comments: