http://www.imdb.com/title/tt2265171/
Cerita pertarungan abad ini yg hebat!
Itu saja yang mampu saya ungkapkan terhadap filem Indonesia ini. Malah
jika nak dibanding dengan negara jiran yang satu lagi, filem ini mampu
menyaingi Ong Bak malah boleh mengatasi filem tersebut dari segi slot
pertarungan bela diri. Walaupun Ong Bak mempunyai stunt pertarungan,
diselit dengan seni parkour ala Yamakasi filem Perancis mahupun
filem2 aksi Jackie Chan, filem The Raid: Berandal ini tetap mempunyai
keunikan seni bela tersendiri dan amat mengujakan. Berkisar perebutan
kuasa, ketamakan kuasa,pangkat dan wang, aktiviti jenayah yang membunuh
kehidupan rakyat, jiwa muda yang memberontak, ketaatan dan kekeluargaan,
serta pembalasan dendam, filem ini walau dianggap biasa dari sudut
penceritaan, namun luarbiasa dari sudut kepadatan aksinya.
Menonton setelah membeli Bluray Disc(BD) kerana filem ini langsung tidak
lepas penayangannya di Malaysia kerana aksi pertarungannya sememang
amat ganas untuk tontonan semua kategori. Mungkin kerana banyak aksi
pecah kepala, kerosakan banyak anggota dan organ badan, penggunaan
banyak senjata berbahaya seperti penukul(hammer), kayu besbol, kerambit,
parang, tidak kurang juga pistol dan senjatapi serta sedikit scene
industri porno, bakal mendedahkan perkara yang dichop negatif kepada
masyarakat. Pertarungan tanpa senjatanya juga kelihatan amat ganas. Itu
jika dikira dari segi faktor penapisan terutama di Malaysia, tetapi jika
dikira dari faktor ‘pertarungan’, filem ini amat lengkap dan masa yang
diambil berdurasi 150 minit amat memuaskan hati bagi penggemar filem
aksi. Jika hendak dibandingkan dengan The Raid 1: Redemption, filem
kedua ini jauh lebih hebat aksi pertarungannya kerana kebanyakan
pertarungan mengetengahkan lebih aksi pertarungan bela diri, silat dan
seni menggunakan peralatan berbanding senjatapi.
Sedikit
sinopsis (berhati2 dengan kemungkinan spoiler yg banyak..hehehe), filem
ini bermula dengan pembunuhan yang dilakukan Bejo, ke atas Andi (jika
anda tidak pernah menonton Raid 1,anda tidak akan kenal) iaitu abang
kepada Rama (lakonan Iko Uwais) serta pertemuan dan perancangan oleh
seorang pegawai polis yg anti rasuah, anti gangsterism Indonesia iaitu
Bunawar yang akhirnya membawa kepada Rama (atau nama lain penyamarannya,
Yuda) diarahkan menjalankan misi yang amat besar,berisiko tinggi dan
berbahaya iaitu, perlu masuk penjara selama 3 thn, membuat jenayah dalam
lokap, menyiasat dan menganggotai kumpulan gangster besar diketuai
Bangun. Perancangan rapi ini adalah bagi ‘menyusup masuk’ ke dalam tiga
kuasa besar yang berkuasa pada masa itu dan amat dikehendaki polis iaitu
empayar Bangun, Reza dan seorang Jepun bernama Goto. Manakala Bejo yang
membunuh Andi pd awal filem merupakan salah serang penjenayah maha
jahat pada ketika itu yang mempunyai kuncu-kuncu paling ganas. Adrenalin
mula terasa terganggu dan cemas semasa bermulanya aksi pertarungan
dalam penjara lagi dan ini mengingatkan aku seperti cerita pertarungan
dalam penjara Undisputed lakonan Scott Adkins.
Garapan yang
dibuat oleh pengarah Gareth Evans yang telah mengangkat pencak silat
moden dan pelakon Iko Uwais termasuk filem2nya sebelum ini seperti The
Raid, Merantau Warrior,semakin berkembang selepas aksi-aksi dalam
penjara, sehinggalah aksi selepas Rama telah keluar penjara dan mula
menyertai Uco dan ayahnya Bangun yang mempunyai empayar kongsi gelap
yang berjaya. Badan mula tegang, degup jantung berlari kencang apabila
satu demi satu pertarungan mula muncul di skrin TV lusuh saya, terutama
apabila kemunculan Prakoso (lakonan hebat Yayan Ruhian) dan juga The
Assasin (lakonan Cecep Arif Rahman), di mana ketiga-tiga mereka termasuk
Iko Uwais merupakan pesilat malah jurulatih silat Indonesia yang hebat
yang memiliki Seni Cimandi, Penglipur Garut, Silat Harimau, Minang dan
sebagainya. Tidak hairan filem ini penuh bertenaga dan buat kita
berpeluh. Itu belum watak sampingan yang tidak kurang juga hebatnya
seperti Bejo yang cukup antagonis, Eka seorang bekas polis yang setia
terhadap Bangun, Hammer Girl (gadis tangkas guna hammer utk membunuh),
Baseball Bat Man, dan watak jepun-jepun yang pd saya hanya sumbangan
kecil sahaja dlm filem ini. Uco sebagai anak kepada Bangun tidak
mempunyai kesabaran dalam mengambil alih empayar dari ayahnya dan akibat
ketamakan dan sifat darah muda yg panas, beliau telah meruntuhkan
empayar besar yg dibina bapanya sekian lama. Gabungan padu watak-watak
yang disebut tadi telah berjaya menjadikan padatnya kisah ‘perang
empayar’ dalam filem ini. Filem ini juga ada aksi stunt kejar-mengejar
di jalanraya bandar sibuk dan macet Jakarta di Indonesia yang saya
kira,digarap dengan baik dan rasanya filem Indonesia malah filem kita
pon masih belum ada garapan baik sedemikian rupa tapi biasa kita lihat
dlm filem Thailand dan luar negara antaranya filem Ronin. Kamera shot
yang baik dr segi komposisi dan angle,memainkan peranan yang banyak
dalam aksi ini. Apa yang saya dapat agak adalah penggunaan kamera GoPro
banyak digunakan dek kerana itu ada komposisi menarik terhasil. Ada aksi
pelanggaran motorsikal, kereta, stunt bergayut pada kenderaan sambil
tembak-menembak, bertarung dalam MPV dan kemalangan sana sini. Aksi di
jalanraya juga cukup membuatkan kita tidak senang duduk dan mulut
ternganga. Namun aksi paling sempurna dan terbaik serta bakal diingati
penonton adalah aksi pertarungan di antara Rama dan The Assassin di
dalam dapur restoran yang penuh dengan seni kaki dan tangan serta
penggunaan peralatan dan senjata kerambit yang amat berbahaya, satu
koreografi yang mantap dan ending pertarungan yang teman kira
cukup-cukup puas hati.
Sinematografi yang berbeza dan menarik,
focus kamera jarak dekat(close-up), arial dan shot kemas dari angle
tinggi (terutama pergaduhan ketika hujan di lumpur dalam penjara),aksi
slo-mo gerak perlahan, berjaya menjadikan filem ini dilihat seolah-olah
benar-benar terjadi di depan mata penonton. Efek air, lumpur dan hujan
serta slo-mo pergaduhan di antara banduan dan warder penjara, sewaktu
Prakoso berentap di kelab dan terbunuh di atas salji (apaaa??salji??)
begitu memberi kesan. Adunan skor music yang tidak melampau (kali ini
tiada skor music oleh Mike Shinoda Linkin Park seperti The Raid 1 bagi
pasaran luar negara) dan efek bunyi yang bagus juga telah menjadikan
speaker-speaker Jamo di teater rumah saya meletup-letup dan menyebabkan
jiran-jiran memaki saya dalam diam.
Dari kacamata saya secara
personal, walau terdapat beberapa ketidak logikan antaranya scene di
mana Jakarta diliputi salji, tiada penggunaan senjatapi oleh Rama
sewaktu menentang dan mengalahkan penjahat yang ramai (selalunya hero
nak senang main tembak saja..heheh), samseng-samseng Jepun hanya datang
di saat akhir dan setelah segala selesai, tiada CCTV tersorok kelihatan
dalam rumah Rama (yg diberi Bangun,sebab teman kira Bangun mesti
memantau segala pergerakan bawahannya), watak Bunawar yang hanya
seketika selebihnya melalui panggilan dan tiada bantuan diberi kepada
Rama di kala kesusahan, slot untuk keluarga Rama terutama anaknya yg
makin membesar hanya sedikit, tiada juga serbuan polis ala SWAT
berkumpulan dilakukan sebagaimana filem pertama yang kena dengan tajuk
The Raid, melainkan serbuan oleh Rama seorang diri. Namun semua itu saya
jamin tidak sedikit pun memberi impak dan mematahkan hati penonton dek
kerana akibat terlalu puas menonton wayang gambar ini, kerana keutamaan
filem ini adalah penuh dengan aksi. Ramainya penjahat dan samseng dalam
filem ini adalah kena dengan tajuknya ‘Berandal’ yang membawa maksud
‘samseng’ oleh itu tiada aksi makan di restoran, cintan cintun,
perempuan muda kejar lelaki tua kaya, cemburu buta, slanga samseng
melayu pelat cina, lawak bodoh tiada dalam cerita ini. Kelihatan juga
beberapa scenario yang serba sedikit menyamai filem Hong Kong dan
Thailand seperti filem Election (scenario ketika di lombong tempat mayat
dicampak), babak Rama naik ke hall di mana Bejo, Uco dan Reza sedang
makan dan menghadapi rintangan kelihatan seperti babak dlm wayang Tom
Yum Goong.
Saya kira filem ini adalah antara filem pertarungan
bela diri yang kurang bersenjatapi paling terbaik pernah terhasil,
malahan Matt Goldberg,seorang dari pengkritik filem yang amat ‘ketat’
juga memberikan quote "one of the greatest action movies ever made''.
Filem ini juga filem Indonesia pertama yang telah tersenarai antara 250
filem top IMDb. Buat penonton yang meminati filem bergenre sebegini,
anda tidak akan rugi memiliki sekeping BD filem aksi ini sebagai antara
koleksi simpanan anda. Sekaligus filem ini mengangkat industri
perfileman aksi Indonesia di mata dunia begitu juga para pelakonnya yang
mula mendapat perhatian di hati peminat. Semoga selepas ini banyak lagi
filem aksi moden terhasil oleh negara jiran kita ini dan semoga filem
di Malaysia juga paling tidak boleh menyaingi filem negara luar. Thumbs
up kepada pengarah yang berjaya dalam adunannya tersendiri dan mampu
mengangkat filem ini sebagai filem aksi Asia antara yang terbaik di
layar global. Lakonan Iko Uwais juga dilihat semakin membangun dan tidak
hairan jika beliau boleh pergi jauh lagi sebagai mana Tony Jaa, Donnie
Yen dan Jackie Chan. Akhir sekali saya memberikan rating agak tinggi
iaitu 8/10 terhadap filem ini. Selamat menonton!
Ulasan oleh: Saiful Halim
SKOR: 8/10