Tuesday, October 4, 2016

The Neon Demon (2016)

Pengarah: Nicolas Winding Refn
Pelakon: Elle Fanning, Karl Glusman, Jena Malone, Bella Heathcote, Abbey Lee, Christina Hendricks, Keanu Reeves
Tarikh tayang: 20 Mei 2016 (Cannes)
Pengedar: Amazon Studios, Broad Green Pictures, Scanbox Entertainment, The Jokers
IMDBwww.imdb.com/title/tt1974419/

Ulasan:

Filem terburuk yang saya tonton untuk tahun ini setakat ini.

Kisahnya melibatkan gadis muda yang berpindah ke bandar untuk mencapai cita-citanya menjadi model. Dia berjumpa kawan baru, tuan motel yang psiko. Dan ada harimau, lampu tiga segi, biji mata... malas nak cerita sebab tak ada coherence. Silalah ke Wikipedia untuk detail ceritanya. Jimat masa dari menonton filem sampah ini.

Pengarahnya Nicolas Winding Refn pernah menghasilkan karya yang baik dalam Drive (2011), tapi dengan filem ini, beliau hanya menonjolkan diri sebagai pengarah yang poyo dan perasan bagus. Opening credits pun ada initial dia NWR. Visual cantik tapi isi hampas.

Skor: 1/10

Mohd Zafri Osman

Aliff Dalam 7 Dimensi (2016)

Pengarah: Faisal Ishak
Pelakon: Julianna Evans, Izzue Islam, Alif Satar, Aliff Aziz, Kaka Azraff
Tarikh tayang: 8 September 2016
Pengedar: Astro Shaw
IMDBwww.imdb.com/news/ni60164117/

Ulasan:

Di dalam novel aku, aku ada timbulkan persoalan mana yang lebih haram antara anjing dan hantu raya. Mungkin ia bukan soalan perbandingan yang wajar, tetapi kewajaran itulah yang sering bermain di minda orang-orang tua zaman dahulu. Dan rentet dari itu, muda-mudi yang lebih percaya kuasa logik dan sains akan menyalahkan betapa singkat fikir orang dahulu sedangkan apa yang orang dahulu lakukan adalah untuk orang muda masa kini juga.

Kenapa aku katakan begini? Kerana filem ini membawa semangat orang muda dalam kerangka imbauan kenangan orang 'lama'.

Aliff Dalam Tujuh Dimensi (AD7D). Sinopsis ringkas. Aliff adalah seorang pemuda yang mampu melihat mahkluk halus. Dalam masa yang sama dia berkawan dengan Anna dan Naim yang gemar dengan aktiviti entiti paranormal. Sehinggalah Aliff menyertai aktiviti Naim dan Anna, telah berlaku sesuatu yang tidak dijangka oleh Aliff.

Ada dua perkara yang aku ingin sentuh perihal AD7D. Pertama kesan. Aku gembira filem ini memberikan contoh kesan pada tindakkan. Ia seolah memberi kita bayangan pada apa yang bakal berlaku pada kereta sekiranya kita tidak menukar timing belt yang walau masih kelihatan elok tetapi sudah digunakan melebihi 10 tahun. Dan sekali ia putus, rosaknya akan melarat dari enjin menuju ke radiator atau mungkin ke gearbox. Malah mungkin akan berlakunya kerosakkan berulang! Bagi aku itulah yang cuba diberi di dalam filem ini. (Salah satu contoh, rujuk babak Naim makan tanpa membaca Bismillah). Ia cukup selesa menekankan serta memberitahu secara tidak kesan tindakkan.

Keduanya, aras filem ini. Agak ramai sebenarnya yang mengatakan filem ini tidak menarik kerana kelemahan kesan khas. Dan aku juga akui perkara itu kerana kita sudah disuap dengan aras kesan khas yang begitu dahsyat sehingga menganggap filem ini seolah bikinan pelajar amatur. Namun bagi aku sendiri secara peribadi, filem ini sedang meletakkan benchmark pada filem-filem hantu atau supernatural tempatan lain walau ia bukan filem yang sempurna.

Mengapa aku katakan begitu?

Begini. Sejak bertahun lamanya, kita asyik terkenang dan bualkan bagaimana Aziz M. Osman menjadi halimunan di dalam XX-Ray, dan kita telah lihat bagaimana Aziz M.Osman mencabar sendiri benchmark yang dia sendiri letakkan dengan menzahirkan Hang Tuah melakukan Kame Hame Ha seperti Son Goku di dalam Dragon Ball melalui XX-Ray 2. Dan apa manfaat yang kita perolehi dari cabaran Aziz M.Osman pada dirinya sendiri ini selain dari perang kualiti?

Dan filem ini, telah meletakkan aras baru dalam cara seram, aksi dan paranormal setelah bertahun kita diberikan seram komedi, seram cinta dan seram thriller dari kutipan mencecah jutaan hingga akhirnya tak sampai pun 100k! Dan setelah menonton AD7D, adakah kita tidak terfikir yang mahukan ada filem seperti ini yang lebih hebat dan mampu mencabar AD7D? Bukankah ia suatu perkembangan yang amat sihat untuk industri?

Lihat bagaimana Geng Pengembaraan Upin Ipin meletakkan aras animasi dan dicabar oleh Boboiboy The Movie dan dicabar sekali lagi oleh Upin Ipin Jeng Jeng Jeng dengan cara animasi yang berbeza? Persaingan kualiti seperti inilah yang penonton tempatan amat mahukan.

Seperti Syafiq Yusof memberikan aksi Bumblebee di dalam Abang Long Fadil, siapa pula yang akan mencabar apa yang Syafiq Buat? Orang lain atau dirinya sendiri? Dan siapa pula yang akan mencabar Aliff sebagai ghostbuster paranormal ini? Adakah terpaksa Faisal Ishak sendiri atau orang lain?

Kerana itu aku amat meraikan filem ini.

Aku enggan mengulas lanjut perihal lakonan atau suntingan mahupun runut bunyi. Tetapi aku amat gemar dengan wajah Izzue Islam ketika dikuasai 'kuasanya'. Begitu juga dengan jenaka Aliff Satar sebagai sidekick natural. Cuma maaf, aku kurang faham apa kepentingan Kaka Azraff di dalam poster.

Ringkasnya, aku rasakan tahun ini ialah tahun yang meriah dengan peningkatan kualiti filem tempatan. Ini kerana aku terasa usaha itu sebenarnya memang wujud walau kita seperti tidak nampak dan rasakan, seperti Anna dan Naim yang tak nampak apa yang Aliff nampak!

Jemputlah makan pop corn ini. Ia mungkin tak akan mengenyangkan tapi mungkin mampu mengilhamkan perasa baru untuk pop corn seterusnya!

Skor: 7/10

Hatta Kain Kapan

Stray Dogs (2013)

Pengarah: Tsai Ming-Liang
Pelakon: Kuei-Mei Yang, Lee Kang-sheng, Kang-sheng Lee, Shiang-chyi Chen, Yi-Ching Lu, Lee Yi-cheng
Tarikh tayang: 12 September 2014
Pengedar: The Cinema Guild
IMDBwww.imdb.com/title/tt3119416/

Ulasan:

Kisah seorang bapa dan dua orang anaknya yang hidup sebagai gelandangan di mana, pada siang hari ketika si bapa bekerja, dua orang anaknya akan menghabiskan masa di pusat membeli belah. Hingga satu hari, seorang wanita yang bekerja di pusat beli belah tersebut telah bertemu dengan anak bongsu perempuan lelaki tersebut dan mengambil keputusan untuk menjaga mereka.

Filem ini agak berat dan boleh jadi membosankan bagi penonton yang suka filem ringan disebabkan penggunaan long take dan single shot dalam hampir kesemua babak. Camera movement yang minimal dan perlahan. Dengan dialog yang sangat minimal dan tanpa menghiraukan kontinuiti, seperti yang Stephen Holden dari The New York Times sebut, filem ini lebih kepada sebuah art installation di mana saya juga bersetuju kerana dalam babak yang dipaparkan penonton akan dibiarkan dengan shot yang kaku, membawa rasa seperti sedang melihat sebuah lukisan. Walau bagaimanapun, sebahagian besar sinematografinya menarik untuk dilihat dan dapat menghilangkan perasaan bosan bagi yang tabah dan sabar. Ia memaparkan sisi kotor dan gelap bandar Taipei itu sendiri.

Disebabkan ini kali pertama saya menonton filem ini dan dari pengarah ini, maka penerimaan saya terhadap filem ini agak berbelah bahagi lagi. Jika dari sudut komersial filem ini boleh jadi sebuah filem yang sangat membosankan dan menimbulkan kekeliruan. Tetapi jika dilihat dari sudut artistik, filem ini adalah sebuah art yang perlu diterokai dengan kesabaran dan penuh penghayatan.

Skor: 8/10

Muhammad Hafiz Bin Rodzuan

Attack The Block (2011)

Pengarah: Joe Cornish
Pelakon: Jodie Whittaker, John Boyega, Alex Esmail, Franz Drameh, Leeon Jones, Simon Howard, Luke Treadaway, Jumayn Hunter, Nick Frost
Tarikh tayang: 23 Jun 2011
Pengedar: PLATINUM PICTURES SDN BHD
IMDBwww.imdb.com/title/tt1478964/

Ulasan:

Minat series Netflix - Strangers Thing? Boleh tengok filem ni.  Mengisahkan sekumpulan remaja yang bermasalah selalu buat kacau kawasan kejiranan dia orang. Masalah lagi besar selepas mereka membunuh alien yang datang entah dari mana jatuh dari langit sewaktu mereka merompak awek nurse dan secara tak langsung menjadi team mate melawan alien tersebut .Hujan meteor jatuh di block mereka membawa kepada lagi banyak alien "big alien gorilla wolf motherf*cker". Alamak macam mana ni!!.

Sebuah film Sci-fi menarik. Sila tonton.

Skor: 8/10

Mizie Caesar

The Untouchables (1987)

Pengarah: Brian De Palma
Pelakon: Kevin Costner, Charles Martin Smith, Andy García, Robert De Niro, Sean Connery
Tarikh tayang: 3Jun 1987 (US) 
Pengedar: Paramount Pictures
IMDBwww.imdb.com/title/tt0094226/

Ulasan:

Baru tengok filem ni beberapa hari lepas, ada lah ingat sikit isi filem ni.

Antara sebuah cerita berdasarkan kehidupan seorang lagenda bos mafia yang pernah wujud (info bagi yang belum tahu) pada era 30-40'an di bandar Chicago, Al Capone (Robert De Niro). Tetapi dalam cerita ni fokus utama adalah pada seorang ejen polis, Eliot Ness (Kevin Costner) sebagai teraju utama. Ia mengisahkan usaha Eliot dalam membawa Al Capone ke muka pengadilan atas kesalahan jenayah yang telah banyak dilakukan.

Saya tak pasti sama ada filem ni 100% berdasarkan kisah yang sebenar memandangkan saya pun tak adalah tahu menahu sangat kes sebenar Al Capone ni. Seterusnya, balik ke dalam movie ni. Dua jam yang diberikan agak mengenyangkan perasaan jugalah. Jalan cerita yang tenang dan tidak terburu-buru. Diberi peluang untuk merasai kerisauan dan perasaan gemuruh yang ada pada watak utama dan protagonis yang lain.

Pembangunan watak pada saya amat baik antaranya watak utama yang bergelut dengan prestasi kerja yang agak memalukan pada permulaan cerita dan mula bangkit dalam menjatuhkan Al Capone. Agak kecewa, watak Al Capone macam tak berapa diberi peluang sangat untuk menonjolkan kejahatannya dalam filem ni sebaliknya Frank Nitti (Billy Drago) yang nampak lebih jahat memandangkan Nitti hanyalah seorang sidekick yang dipertanggungjawabkan untuk mengotorkan tangannya bagi memastikan tangan big boss sentiasa bersih. Mungkin disebabkan ia kisah benar dan juga penghujung kekuasaan Al Capone di Chicago. Jadi sikit tu sajalah yang dapat disajikan. Tambahan pula pada babak awal, tangan kotor si Nitti inilah yang membuatkan saya terperanjat dan merasakan dia yang lagi patut kena beduk dari si Capone tu. Hahaha.

Aksi yang tetap diingati sudah semestinya pada babak tembak-menembak kat stesen kereta api yang dipaparkan dengan slow-motion yang mengagumkan. Sedap digaul dengan debarannya. Sinematografinya pula yang kena dengan fesyen omputeh pada latar masa 30-40'an membuatkan saya rasa macam menonton filem Hollywood berwarna zaman 60'an, perasaan saya ja.

Skor: 8/10

Ayyub Azalezah