Tuesday, October 4, 2016

Aliff Dalam 7 Dimensi (2016)

Pengarah: Faisal Ishak
Pelakon: Julianna Evans, Izzue Islam, Alif Satar, Aliff Aziz, Kaka Azraff
Tarikh tayang: 8 September 2016
Pengedar: Astro Shaw
IMDBwww.imdb.com/news/ni60164117/

Ulasan:

Di dalam novel aku, aku ada timbulkan persoalan mana yang lebih haram antara anjing dan hantu raya. Mungkin ia bukan soalan perbandingan yang wajar, tetapi kewajaran itulah yang sering bermain di minda orang-orang tua zaman dahulu. Dan rentet dari itu, muda-mudi yang lebih percaya kuasa logik dan sains akan menyalahkan betapa singkat fikir orang dahulu sedangkan apa yang orang dahulu lakukan adalah untuk orang muda masa kini juga.

Kenapa aku katakan begini? Kerana filem ini membawa semangat orang muda dalam kerangka imbauan kenangan orang 'lama'.

Aliff Dalam Tujuh Dimensi (AD7D). Sinopsis ringkas. Aliff adalah seorang pemuda yang mampu melihat mahkluk halus. Dalam masa yang sama dia berkawan dengan Anna dan Naim yang gemar dengan aktiviti entiti paranormal. Sehinggalah Aliff menyertai aktiviti Naim dan Anna, telah berlaku sesuatu yang tidak dijangka oleh Aliff.

Ada dua perkara yang aku ingin sentuh perihal AD7D. Pertama kesan. Aku gembira filem ini memberikan contoh kesan pada tindakkan. Ia seolah memberi kita bayangan pada apa yang bakal berlaku pada kereta sekiranya kita tidak menukar timing belt yang walau masih kelihatan elok tetapi sudah digunakan melebihi 10 tahun. Dan sekali ia putus, rosaknya akan melarat dari enjin menuju ke radiator atau mungkin ke gearbox. Malah mungkin akan berlakunya kerosakkan berulang! Bagi aku itulah yang cuba diberi di dalam filem ini. (Salah satu contoh, rujuk babak Naim makan tanpa membaca Bismillah). Ia cukup selesa menekankan serta memberitahu secara tidak kesan tindakkan.

Keduanya, aras filem ini. Agak ramai sebenarnya yang mengatakan filem ini tidak menarik kerana kelemahan kesan khas. Dan aku juga akui perkara itu kerana kita sudah disuap dengan aras kesan khas yang begitu dahsyat sehingga menganggap filem ini seolah bikinan pelajar amatur. Namun bagi aku sendiri secara peribadi, filem ini sedang meletakkan benchmark pada filem-filem hantu atau supernatural tempatan lain walau ia bukan filem yang sempurna.

Mengapa aku katakan begitu?

Begini. Sejak bertahun lamanya, kita asyik terkenang dan bualkan bagaimana Aziz M. Osman menjadi halimunan di dalam XX-Ray, dan kita telah lihat bagaimana Aziz M.Osman mencabar sendiri benchmark yang dia sendiri letakkan dengan menzahirkan Hang Tuah melakukan Kame Hame Ha seperti Son Goku di dalam Dragon Ball melalui XX-Ray 2. Dan apa manfaat yang kita perolehi dari cabaran Aziz M.Osman pada dirinya sendiri ini selain dari perang kualiti?

Dan filem ini, telah meletakkan aras baru dalam cara seram, aksi dan paranormal setelah bertahun kita diberikan seram komedi, seram cinta dan seram thriller dari kutipan mencecah jutaan hingga akhirnya tak sampai pun 100k! Dan setelah menonton AD7D, adakah kita tidak terfikir yang mahukan ada filem seperti ini yang lebih hebat dan mampu mencabar AD7D? Bukankah ia suatu perkembangan yang amat sihat untuk industri?

Lihat bagaimana Geng Pengembaraan Upin Ipin meletakkan aras animasi dan dicabar oleh Boboiboy The Movie dan dicabar sekali lagi oleh Upin Ipin Jeng Jeng Jeng dengan cara animasi yang berbeza? Persaingan kualiti seperti inilah yang penonton tempatan amat mahukan.

Seperti Syafiq Yusof memberikan aksi Bumblebee di dalam Abang Long Fadil, siapa pula yang akan mencabar apa yang Syafiq Buat? Orang lain atau dirinya sendiri? Dan siapa pula yang akan mencabar Aliff sebagai ghostbuster paranormal ini? Adakah terpaksa Faisal Ishak sendiri atau orang lain?

Kerana itu aku amat meraikan filem ini.

Aku enggan mengulas lanjut perihal lakonan atau suntingan mahupun runut bunyi. Tetapi aku amat gemar dengan wajah Izzue Islam ketika dikuasai 'kuasanya'. Begitu juga dengan jenaka Aliff Satar sebagai sidekick natural. Cuma maaf, aku kurang faham apa kepentingan Kaka Azraff di dalam poster.

Ringkasnya, aku rasakan tahun ini ialah tahun yang meriah dengan peningkatan kualiti filem tempatan. Ini kerana aku terasa usaha itu sebenarnya memang wujud walau kita seperti tidak nampak dan rasakan, seperti Anna dan Naim yang tak nampak apa yang Aliff nampak!

Jemputlah makan pop corn ini. Ia mungkin tak akan mengenyangkan tapi mungkin mampu mengilhamkan perasa baru untuk pop corn seterusnya!

Skor: 7/10

Hatta Kain Kapan

No comments: