Blog ini adalah blog ulasan rasmi untuk group facebook "MOVIE ADDICT" (https://www.facebook.com/groups/movvie.addict/). Dalam bahasa rojak, mahupun bahasa standard.
Thursday, September 18, 2014
The Maze Runner (2014)
http://www.imdb.com/title/tt1790864/
Sejak kebelekangan ini, filem remaja atau dikenali sebagai filem Young Adult,YA menjadi genre kegilaan Hollywood untuk meraih pulangan. Genre yang kebiasaannya diadaptasi dari novel bersiri ini mula mekar dengan francais Harry Porter, diikuti dengan Chronicles of Narnia sehingga lahir filem-filem baru seperti Hunger Games, Divergent, The Giver. Tidak dinafikan filem sebegini diambil dari karya novel remaja yang bermutu. Namun demikian akibat dari kekerapan filem ini cuba disogok oleh Hollywood, ia telah menyebabkan penonton seperti sudah boleh membaca resepi asas filem sebegini. Kebiasaannya filem ini akan bercerita tentang dunia asing, remaja terpilih yang akan menyelamatkan keadaan dan disusuli pengembaraan yang menarik ditemani dengan beberapa halangan sebelum mencapai misi terakhir dalam ceritanya.
The Maze Runner iaitu filem terbaru genre ini merupakan hasil karya dari pengarah baru Wes Ball. Diambil dari novel bersiri popular Amerika, filem ini masih lagi mengekalkan resepi tipikal filem remaja cuma temanya diberi sedikit kelainan dengan mengadunkan tema filem Lord of the Flies, Hunger Games, dan sedikit tema filem horror The Cube.
Plot - Mengisahkan Thomas yang mendapati dirinya terperangkap dalam sebuah lingkaran Maze yang besar bersama sekumpulan komuniti remaja lain. Beliau yang kehilangan memori seperti remaja yang lain, cuba mencari jalan keluar dari penjara maze tersebut disamping berusaha untuk menyesuaikan diri hidup bersama dalam komuniti itu. Berbekalkan mimpi yang menjadi pembayang kepada permasalahan yang dihadapinya, Thomas dan rakan-rakan remaja yang lain berusaha mencari jawapan dan jalan keluar dari penjara Maze tersebut.
Storytelling - Secara peribadinya, saya melangkah masuk ke pawagam tanpa memberi harapan yang tinggi cuma jauh disudut hati mengharapkan resepi filem sebegini dapat memberi kelainan. Pada permulaan cerita, filem ini berjalan dengan baik. Penonton dapat merasakan mood misteri filem ini dengan banyak persoalan yang timbul untuk diselesaikan protagonist. Sesuai dengan tajuk filem, rupabentuk Maze yang ditonjolkan sangat menakutkan dan misteri. Walau bagaimanpun, Maze sebagai subjek dalam penceritaan tidak dikembangkan dengan baik. Ia wujud sekadar pelengkap cerita. Siapa yang membinanya. Apa tujuannya. Atau bagaimana hubungan maze dengan watak seperti tidak ditekankan dengan baik. Jika kita ambil filem seperti The Ruins dan The Cube, subjek utama sangat ditekankan dalam penceritaan. Walaupun tujuan dan asal kejadian dijadikan misteri, namun hubungan subjek dengan watak sangat ditekankan. Filem ini hanya gemar memberi penekanan pada MAZE RUNNER bukan Maze itu sendiri. Dengan itu, elemen misteri pada subjek kelihatan tidak kuat. Semakin hampir ke penghujung cerita, filem ini menjadi semakin hambar.
Akibat dari penekanan pada watak dan bukan elemen misteri, filem ini cuba memberi fokus pada konflik antara protagonist dan antagonist yang pada saya sangat membosankan. Konflik yang wujud nampak tidak semulajadi dan sangat tipikal. Seperti kebiasaan filem remaja Hollywood, watak Thomas yang boleh dikatakan 'The Chosen One' secara kebetulan telah menjadi orang pertama yang berjaya mengatasi penjara Maze ini setelah bertahun-tahun dicuba oleh remaja yang lain. Setelah melepasi lingkaran Maze itu, jawapan kepada segala persoalan yang dihadapi Thomas dan rakan-rakan akhirnya terjawab. Namun, sebagai penonton, jawapan itu pada saya sangatlah hambar. Tujuan Maze itu wujud adalah tidak logik dan kelakar. Bagi melawan satu penyakit misteri yg menyerang otak manusia ketika itu, Maze itu dicipta bertujuan untuk mengasah minda manusia agar dapat mengatasi penyakit itu. Hmmmm. Begitulah ceritanya. Ibaratnya untuk mengatasi masalah penyakit AIDS, seseorang harus dihumban ke dalam loji kumbahan selama beberapa tahun dengan harapan dapat meningkatkan daya tahan bagi melawan virus HIV. Bunyi macam tidak munasabah dan kelakar bukan. Tidak cukup dengan itu, filem ini diakhiri dengan babak tipikal oleh seorang wanita teknokrat yang memberi arahan "bersedia untuk pusingan ke-2". Kononnya hendak memberitahu penonton akan ada filem sequel untuk mengembangkan lagi franchais filem ini. Saya tergelak kecil di dalam panggung ketika itu seolah-olah sedang menonton filem sequel Resident Evil.
Character development - Watak Thomas sebagai protagonist dikembangkan agak baik tetapi ia nampak sedikit tipikal dengan gaya ala-ala 'the chosen one' yang beriya-iya mahu menjadi hero dalam keadaan tempat yang asing baginya tanpa menyiasat terlebih dahulu sebelum bertindak. Watak antagonist, Gally pula agak sedikit hambar dimana wataknya wujud adalah untuk menghalang segala tindak tanduk Thomas tanpa motivasi yang kuat. Konflik antara mereka nampak tidak semulajadi apabila Gally membenci Thomas dalam segala segi tanpa penilaian yang kukuh sehinggakan ia diluahkan oleh Thomas dalam filem "kenapa engkau benci sangat pada aku". Watak-watak lain seperti Alby dan Minho dikembangkan sebagai pembantu kepada Thomas mencapai misinya.
Skrip dan lakonan - Skrip bagi filem ini agak biasa. Ia sesuai untuk tontonan remaja. Lakonan bagi watak utama juga agak biasa cuma lakonan bg watak Newt yang bersifat seperti org dewasa seperti tidak kena. Watak antagonist, si Gally juga seperti tidak kena dan agak sedikit kaku. Apa yang ketara, lakonan watak-watak tambahan dalam filem ini nampak seperti pak pacak yang dibayar untuk menjadi kayu. Mungkin pengarahnya sibuk memberi tumpuan kepada pelakon utama sehingga terlupa untuk memberi tumpuan kepada watak-watak tambahan.
Muzik dan lain-lain - Muziknya adalah tipikal filem hollywood. Filem misteri sebegini yang sepatutnya diadun dengan muzik minimal seperti biasa ditemani dengan muzik epik hollywood di setiap babak. Babak aksinya agak baik walaupun kelihatan banyak efek kamera bergoncang. Cinematografinya juga agak baik.
Kesimpulannya, The Maze Runner cuba menjanjikan sesuatu yang baru kepada filem bersiri remaja. Namun ia masih lagi tidak dapat lari dari tipikal filem remaja. Walaupun pengakhiran ceritanya agak sedikit hambar, namun agak awal bagi menilai filem ini sehingga sekuelnya keluar. Itupun bergantung kepada kutipan positif filem ini. Jika kutipannya teruk,jangan diharap sekuel kedua akan menyusul. Bagi mereka yang inginkan filem seperti The Hunger Games, filem ini sesuai untuk anda. Jika anda mahu merasakan pengalaman seperti terperangkap dalam lingkaran Maze, jangan tunggu lagi. Bergegas ke pawagam berhampiran dengan segera.
Official Site:
20th Century Fox Official FB Page: www.facebook.com/foxmovies.my
My Blog:
http://moviememoirsandmemorabilia.blogspot.com/
Movie Memoirs and Memorabilia
SKOR: 4/10
Labels:
aksi,
fiksyen sains
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment