Blog ini adalah blog ulasan rasmi untuk group facebook "MOVIE ADDICT" (https://www.facebook.com/groups/movvie.addict/). Dalam bahasa rojak, mahupun bahasa standard.
Kenduri darah dan organ badan yang bersepahan! Mengisahkan tentang sebuah bar yang diserang oleh raksasa ganas yang mahukan darah. Itu ajelah ceritanya. Yang penting, anda akan disajikan dengan darah yang memancut-mancut, kepala putus dan segala jenis kematian ngeri yang boleh difikirkan. Aku kira, cerita ini banyak mengambil idea dari filem Evil Dead dan Predator. Disamping kengerian yang nyata, sesekali diselitkan dengan humor yang membuatkan aku tersengih-sengih. Dari segi keganasan, aku bagi 9/10.
Siapapun Miss Potter sebenarnya yang riwayat hidupnya dilakonkan oleh Renee Zellweger, beliau tentunya wanita yang menarik. Mempunyai cita-cita dan jatidiri yang kuat, mempertahankannya di dalam zaman yang mana wanita sekadar menjadi penghias kepada lelaki. Miss Potter merupakan seorang andartu (umur 32 tahun tak kawin lagi) yang menolak semua calon suami yang dicadangkan oleh ibunya. Dalam masa yang sama beliau bercita-cita untuk menghasilkan buku kanak-kanak jesteru dari minat yang mendalam sejak kecil. Apabila bukunya mula dihasilkan hasil sokongan penerbit lakonan Ewan McGregor, rutin kerja langsung menghasilkan bibit-bibit cinta. Namun, pahit manis itu mainan kehidupan apabila cintanya hilang akibat dari kematian penerbitnya. Sebuah filem feel good yang hampir-hampir bersifat cerita kanak-kanak sesuai untuk seisi keluarga.
Apa kata kalau anda diberi kuasa untuk memberhentikan masa dan seterusnya membaiki kesalahan yang telah dilakukan ketika itu? Pastinya menarik dan best ye tak? Cuma, bila dah ada kuasa macam tu, datanglah tanggungjawab yang lebih besar. Itulah yang cuba ditekan di dalam filem ini.Michael Newman (Adam Sandler) bermasalah dengan keluarga dan kerja. Dan berlakulah perkara-perkara yang disesalkannya akibat fikiran dan tindakannya yang serabut. Apabila ditawarkan dengan sebuah remote control yang boleh memberhentikan masa oleh Morty (Christopher Walken), Michael merasakan segala masalahnya akan selesai. Tidak disangka, yang datang kemudiannya ialah masalah yang makin besar. Filem komedi yang agak menarik walaupun tak melekat di kepala.
Kita memang tidak sunyi dengan filem berbentuk zombie. Namun semuanya (kecuali beberapa filem) menggunakan situasi yang sama, iaitu manusia yang dijangkiti virus yang kemudiannya menyerang manusia yang terperangkap; samada di dalam kampung, bandar dan sebagainya. Yang belum ada mungkin, di dalam kapalterbang yang sedang terbang 30,000 kaki dari paras bumi. Inilah sedikit kelainan yang ada. Namun logiknya banyak yang tidak. Antara lain, zombie yang seolah-olah boleh berfikir dengan situasi aci nyorok. Sudah kalau jalan ceritanya diteruskan dengan zombie yang menyerang semberono akan menyebabkan filem ini berakhir dalam masa 15 minit saja. Tetapi disebabkan zombie yang boleh 'berfikir' filem ini boleh ditarik hingga ke 90 minit. Seperti biasa, kita disajikan dengan darah, otak bersepai, tangan putus dan pelbagai jenis kematian yang kreatif.
Politiking cashier? Itulah yang berlaku apabila seorang gadis jelita tiba di Super Club hypermart. Zack seorang pekerja ala-kadar tercabar dengan pekerja bulanan (17 bulan berturut-turut), Vince; dalam usaha mereka berdua untuk memikat gadis tersebut, Amy. Semuanya bermula apabila file Amy mengatakan bahawa beliau telah dibuang kerja akibat "obssessed" dengan pekerja bulanan. Berebutlah Zack dan Vince dengan taktik-taktik kotor selama sebulan untuk mendapatkan tempat sebagai pekerja terbaik bulanan. Jika korang familiar dengan filem Office Space dan Clerks, sudah tentu korang akan menyukai filem ini. Aku menyukainya sehinggakan hampir semua sections dalam Special Features aku tengok. Suatu yang jarang-jarang aku lakukan.