Wednesday, April 25, 2007

36 Quai des Orfèvres (2004)

Filem aksi polis adalah antara genre filem kegemaran penulis. Hendak lagi apabila ia berkaitan dengan hal-hal 'dalaman' yang tidak dihebahkan kepada masyarakat. Politik dan tikam belakang di sebalik entiti yang sepatutnya melindungi orang awam begitu menarik sekali untuk dieksploit. Apa yang hendak dihairankan, mereka juga manusia yang mempunyai nafsu dan keinginan.

Léo Vrinks (Daniel Auteuil) dan Denis Klein (Gérard Depardieu) adalah chiefs di dalam unit mereka, iaitu BRI (Brigade de Recherche et d'Intervention = Search and Action Squad, skuad "anti-gangs") dan BRB (Brigade de Répression du Banditisme = Crime Repression Squad, anti rompakan dan sebagainya. Mereka mempunyai satu misi penting iaitu menghalang sekumpulan perompak dengan metodologi ganas yang setelah beberapa lama masih lagi tidak tertangkap. Misi itu bertambah penting kerana 'stake' yang dihidangkan, iaitu jawatan apabila ketua mereka telah dinaikkan pangkat dan posisi itu akan menjadi kosong untuk salah seorang dari mereka mengisinya. Dengan lain perkataan, jika geng tersebut ditangkap, pemenangnya bukan sahaja akan disanjung sebagai anggota polis yang cekap malah dinaikkan pangkat ke posisi yang tertinggi yang boleh dibayangkan oleh anggota polis.

Persaingan ini makin mengeruhkan hubungan mereka yang sebelum ini tidak baik pun. Ada sesuatu yang peribadi antara mereka yang menyebabkan masing-masing berat untuk berkata-kata, melainkan jika sudah terpaksa.

Persaingan ini bukan sahaja peribadi tetapi memberi kesan kepada team BRI dan BRB sendiri sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk 'memenangkan' boss mereka.
Salah seorang dari mereka akan berjaya dan pastinya ia dilakukan dengan taktik kotor. Adakah lawannya bertindak balas dengan taktik yang sama? Itu adalah klimaks filem. Tetapi jalan ceritanya memang menarik dan emosi yang diperlukan untuk filem sebegini berjaya diluahkan oleh watak utama filem ini.

SKOR : 9/10
Ulasan: Bentara

Lucky Number Slevin (2006)

Slevin (Josh Hartnett) ialah seorang manusia malang. Beliau bekerja yang dia tidak minat. Apabila beliau pulang ke rumah, teman wanitanya sedang berasmara dengan orang lain. Kemudian semasa dia pergi ke rumah rakannya, Nick (Sam Jaeger), dia telah dirompak.

Tidak cukup dengan itu, oleh kerana rakannya tiada di rumah, dia masuk ke rumah rakannya dan kumpulan gengster menyerbu rumah tersebut dan menyangkakan Slevin ialah Nick. Slevin yang telah dirompak sebelumnya tidak mempunyai ID untuk meyakinkan yang beliau bukannya Nick. Rupa-rupanya Nick berhutang puluhan ribu ringgit dengan kongsi gelap.

Slevin dibawa berjumpa dengan The Boss (Morgan Freeman) yang akhirnya menawarkan ganti wang yang tidak mampu dibayar dengan satu misi khas. Misi membunuh anak lelaki musuh The Boss, iaitu Yitzchok (Michael Rubenfeld). Sebelum itu musuh The Boss, The Rabbi (Ben Kingsley) telah membunuh anak lelaki The Boss. Hmmm...

Tidak berakhir dengan itu, Slevin telah ditangkap oleh The Rabbi yang menawarkan ganjaran dua kali ganda dari apa yang ditawarkan oleh The Boss untuk tidak melakukan misi tersebut.
Bagaimana keadaan Slevin selepas itu diolah dengan kemas dan baik sekali. Filem thriller dengan unsur dark comedy ini seperti genre filem The Usual Suspect dan Se7en kerana ia 'memeningkan' kepala. Memeningkan kepala dalam erti mengajak penonton untuk sentiasa prihatin dengan plot persembahan dan guessing game yang disediakan.

Intro dan outro filem ini adalah isinya sementara isi filem ini adalah metodologinya. Pening? Apa pula peranan Bruce Willis dan Lucy Liu dalam filem ini? Jika ditulis kesemuanya, sudah tentu ulasan ini menjadi rumit dan anda bosan membacanya. Nasihat penulis, ini filem WAJIB anda tonton!


SKOR: 10/10
Pengulas: Bentara

Spanglish (2004)

Keluarga yang 'kurang' berfungsi (dysfunctional) adalah antara satu topik yang selalu dikupas di dalam filem. Mana tidak, untuk mencari satu keluarga yang benar-benar berfungsi sebagai sebuah keluarga itu satu perkara yang rumit. Lebih-lebih lagi apabila definisi keluarga itu sendiri berbeza antara satu-satu budaya. Filem ini cuba mengupas persoalan ini.

Dua keluarga berbeza di dalam sebuah rumah. Satunya pada kategori mewah, 'berjaya' dari kacamata material dan satu laginya pada kategori tidak mewah, kurang berjaya dari kacamata material.

Flor Moreno (Paz Vega) ialah seorang imigran dari Mexico yang berhijrah ke USA bersama anak perempuan beliau, Cristina (Shelbie Bruce). Flor, bersusah payah dalam menampung kehidupan mereka yang baru di USA yang kemudiannya menerima kerja sebagai orang gaji di dalam keluarga John Clasky (Adam Sandler). John ialah seorang chef yang berjaya dengan restorannya yang telah diulas oleh sebuah akhbar terkenal sebagai sebuah restoran yang mempunyai chef terbaik dunia! Walaupun mendapat pengiktirafan sebegitu rupa, berjaya pada John bukanlah pada restorannya tetapi pada keluarganya.

Sebenarnya, John menghadapi masalah di dalam keluarga, terutama isterinya yang merupakan seorang yang 'modern' dan mengikut peredaran zaman. Antara lain, isterinya, Deborah Clasky (Téa Leoni) beranggapan bahawa badan anak perempuannya yang gempal bukanlah satu contoh yang baik dan usaha yang lebih perlu dilakukan untuk menguruskannya. Ini mengguris hati anak perempuan beliau yang meningkat remaja kerana ibunya tidak menerima beliau seadanya yang seterusnya mengguris hari John sendiri kerana John begitu menyayangi anaknya.

Flor yang selama ini sekadar menjadi pemerhati, mengambil keputusan untuk masuk campur. Masalahnya, beliau tidak boleh berbahasa Inggeris! Masalah bertambah rumit apabila Flor dan Christina tinggal serumah di dalam rumah 'cuti summer' John selama tiga bulan. Deborah yang kecewa dengan anak perempuannya mula memberi perhatian kepada Christina yang lebih 'slim' dan cantik.
Kesimpulan filem ini nyata. Dua budaya yang berbeza memerlukan 'kenal baru cinta' untuk ia boleh selari. Dan beberapa definisi di dalam kehidupan itu berbeza, menurut kacamata sendiri. Yang menjadi matlamat ialah, bagaimana persoalan-persoalan itu dapat dijawab dengan realiti yang sedia ada.

SKOR: 8/10
Pengulas: Bentara

The Haunted Drum (2007)

Sukar utk Penulis mendefinasi keseluruhan filem Thailand , tapi Penulis lebih suka melihatnya secara rawak dahulu sebelum dapat melihat kedalam arena filem Thailand yg seringkali tampil dengan filem-filem yg bermutu. Perm Mang:"The Haunted Drum" merupakan genre seram terbaru daripada Thailand . Ianya baru sahaja berada dipanggung wayang pada 19 April diseluruh Thailand , dan tentunya The Haunted Drum sepertimana filem Thailand lain, berdiri dengan naratif dan pengarahan yg menarik.

Ia sebenarnya kisah disekitar pada zaman dahulu, melihat kepada cara berpakaian . Perm Mang sendiri merupakan sebuah drum tradisioal yg dimainkan bersama beberapa ahli muzik lain dengan ditarikan seorang penari tradisional. Permulaan setiap saat filem ini merupakan gambaran penting utk plot yg bakal difahami dalam filem ini nanti , ia bukanlah filem yg mudah kerana gaya begini mmg akan membuatkan kita terfikir utk setiap hubungkait pada pertengahan dan penghujung filem nanti.

Ia menumpukan tentang seorang anak muda iaitu Ping, yg sepertimana datok moyangnya yg belajar muzik tradisional datang ke sebuah daerah Pathumthani utk belajar dengan lebih mendalam daripada Guru Duang, yg merupakan Ketua kumpulan muzik yg dihormati . Malah nenek moyang Ping merupakan antara orang yg mengasaskan kumpulan muzik tersebut. Dan sebenarnya cerita ini merupakan tentang sebuah drum yg berpuaka dan akan menjaga kumpulan muzik Guru Duang dari sebarang masalah . Malah Ping juga sepertimana ahli kumpulan lain telah mengangkat sumpah utk tidak membelakangkan dan meninggalkan kumpulan muzik tersebut dengan apa cara sekalipun, jika tidak mereka akan ditimpa padah . Dilihat Pengarah memberikan suasana dan gambaran yg cemerlang walaupun filem ini kelihatan agak perlahan.

Sumpahan ini bermula apabila salah seorang daripada anggota kumpulan muzik telah menjadi tamak, utk mencuri batu pemata yg ditempatkan di drum tersebut , maka seterusnya berlakulah tragedi. Walaupun setiap ahli telah mengangkat sumpah , mereka seperti kurang yakin ia adalah kerana sesuatu yg puaka ini kerana hanya Guru Duang sahaja yg tahu cerita sebenarnya. Dan kalau diikut dari cerita ini , ketamakan yg seringkali menjadi satu masalah .

Tapi ia bukanlah dari satu sudut kejahatan manusia sahaja , kumpulan pimpinan Guru Duang terus ditimpa masalah demi masalah pembunuhan yg dilakukan oleh Penunggu Drum akibat telah melanggar sumpah telah menyebabkan mereka kehilangan pemain dan semangat ahli kumpulan yg semakin lemah akibat daripada kehidupan mereka yg serba kurang, menyebabkan Deputy Muen seorang pemerintah tempatan dan juga mempunyai kumpulan muziknya sendiri dan mana-mana ahli yg masuk kumpulan muziknya akan hidup dengan senang. Malah kesempatan ini digunakan Deputy Muen utk terus menarik setiap ahli kumpulan Guru Duang dan menyimpan impian utk terus memiliki drum Perm Mang yg dianggap suci oleh kumpulan Guru Duang.

Ping yg mula berguru , kelihatan berminat utk bermain drum Perm Mang. Namun disebalik kisah seram . Beliau mula berkenalan seorang gadis yg telah memberikan beliau peluang utk belajar drum Perm Mang. Dengan setiap hari dan malam berjumpa telah membuatkan Ping dan gadis tersebut ,Thip ... mula saling jatuh cinta. Filem ini mula menyelitkan kisah romantik tapi bagi Penulis inilah sebenarnya mesej yg ingin disampai secara halus . Mengenai kasih sayang dan juga hubungan keluarga . Bagaimana gadis misteri spt Thip mula diketahui oleh Ping selepas beberapa kejadian dan juga daripada Guru Duang disaat menghampiri kematian sebelum dibunuh oleh Thip kerana gagal mempertahankan kumpulan muzik yg diketuainya dan sempat menyerahkan kumpulan kepada Ping dan memberitahu kisah sebenar mengenai Perm Mang .

Ia sebenarnya kisah yg tragis dan penuh harapan jika dihalusi . Thip yg selalu mengharap bapa angkatnya utk menyayangi beliau sebagai seorang anak namum bapa angkatnya terlalu asyik utk membuat drum dan bersama kumpulan muziknya , dan akhirnya beliau mengambil keputusan utk mengorbankan diri dengan rela dan kulitnya dibuat drum Perm Mang agar beliau terus bersama ayahnya dan dapat menjaga kumpulan muzik.

Filem ini mempunyai sedikit unsur gore , pembunuhan yg dilakukan cuba diterapkan secara jelas dan yg mengejutkan penulis gambaran telanjang ketika dirasuk juga tidak ditapis utk tayangan di Thailand , Penulis seperti terkena kejutana budaya , mungkin filem ini akan dipotong berkali-kali utk tayangan Malaysia atau mungkin tidak ditayang langsung. Namun bagi penulis filem ini menarik disebabkan berjaya memainkan emosi dan naratif yg menarik , tidak terlalu mendatar tapi utk filem seram ianya agak biasa , sentuhan realsitik pembunuhan pun boleh kita jangka kalau anda pernah melihat Art Of The Devil 2.

SKOR: 7/10
Pengulas: Fairuz

Tuesday, April 10, 2007

Scanners (1981)

David Cronenberg terkenal dengan filem seram yang pelik. Penulis mula mengenali beliau melalui filem The Fly (1986) yang seingat penulis ditonton di dalam panggung wayang. Filem itu memberi kesan kepada penulis dengan gaya ceritanya yang agak sains fiksyen tetapi pada masa yang sama penuh dengan situasi seram yang meremangkan bulu roma. Seterusnya filem eXistenZ (1999) yang juga berada dalam genre seram tetapi dengan twist yang pelik, menggunakan video game ala Playstation alaf baru untuk membangkitkan elemen seram yang dikehendaki.

Filem ini ditonton semata-mata kerana Cronenberg adalah pengarahnya. Untuk menonton pelakonnya, semuanya tidak dikenali.

Scanners ialah satu terma yang diberikan kepada sebilangan manusia yang mempunyai kemampuan untuk mengeksploitasi fikiran manusia lain. Terma saintifiknya ialah telepathic. Seperti yang dinyatakan dalam dialog, scanners akan meransang urat saraf manusia lain supaya menjadi urat saraf scanners sendiri lantas dapat mengawal keadaan manusia 'host' tersebut.

Sudah tentu apabila mempunyai kuasa yang luar biasa, ia akan disalahgunakan. Darryl Revok (Michael Ironside) ialah seorang scanners yang mengetahui kelebihannya. Namun begitu beliau menghadapi masalah untuk mengawal kelebihannya pada masa muda sehingga beliau ditahan di dalam sanctuary. Entah macamana, beliau berfikiran bahawa scanners perlu memberontak. Beliau juga faham bahawa punca asal sesetengah manusia menjadi scanner adalah disebabkan ketidakseimbangan kimia semasa di dalam rahim.

Maka Revok bekerja dengan sebuah syarikat kimia yang menghasilkan Ephemerol, satu bahan kimia yang membolehkan manusia scanners terbentuk. Ephemerol perlu disuntik kepada ibu yang sedang mengandung untuk ia berkesan. Revok melancarkan gerakan agar Ephemerol menjadi ubat asas bagi ibu-ibu yang mengandung. Dan Ephemerol ini akan disebarkan ke seluruh Amerika melalui syarikat kimia tersebut.

Komplot Revok cuba dihalang oleh Dr. Paul Ruth (Patrick McGoohan), seorang pakar dalam fenomena scanners. Melalui prodigee beliau, Cameron Vale (Stephen Lack), mereka bergerak untuk mula-mula mencari di mana Revok sedang menyorok dan kemudiannya menghalang (atau memusnahkan) Revok sebelum Ephemerol tersebar luas.

Kita tidak boleh mengharap efek yang canggih di dalam filem ini kerana ia diterbitkan pada tahun 1981. Lagipun, ini kemungkinan filem yang tinggi sikit dari filem grad B. Tetapi idea Cronenberg agak original dan kemas. Kepada peminat filem 'gore' pasti tertunggu-tunggu scene yang mana kepala manusia 'diletupkan' (sekurang-kurangnya penulis menunggu scene ini).

Adalah difahamkan bahawa Dimension Film sedang dalam proses terakhir untuk membuat 'remake' untuk filem ini. Namun, penulis merasakan bahawa adalah penting untuk filem asal ditonton dahulu kerana yang asal itu yang terbaik, selalunya.

Skor : 8/10
Pengulas : Bentara