Friday, March 30, 2007

Walk the Line (2005)

Johnny Cash mungkin adalah idola bagi sesetengah orang tetapi penulis bukanlah peminat beliau. Malah penulis tidak kenal pun siapa itu Johnny Cash melainkan sekadar tahu bahawa beliau adalah penyanyi dari Amerika. Ini memberikan sedikit keinginan untuk menonton filem biografi ini dengan dua matlamat; 1. Mengenali siapa itu Johnny Cash dan 2. Menonton lakonan Joaquin Phoenix sebagai Johnny Cash (penulis meminati lakonan beliau dalam Gladiator).

Johnny Cash ialah seorang penyanyi country dan rock n roll yang disanjungi sezaman dengan Elvis Presley yang mana ketika itu bentuk muzik dengan 'attitude' rebel mula berkembang. Berbeza dengan lagu-lagu konvensional seperti gospel dan country biasa, Johnny Cash membawa muzik yang bertemakan luahan hati yang penuh dengan ketidakpuashatian selain dari menyindir golongan konservatif di dalam liriknya. Penulis mungkin silap tetapi ada kemungkinan pergerakan muzik punk ada mengandungi 'influence' dari beliau.

Filem biografi ini mengisahkan sedikit tentang kehidupan beliau sebagai kanak-kanak yang kehilangan abangnya di dalam satu 'freak accident'. Ini mengecewakan ayahnya yang begitu menyayangi abangnya lantas menyimpan satu perasaan seolah-olah Johnny tidak akan dapat menandingi abangnya. Perasaan ini berlarutan sehinggalah Johnny menjadi penyanyi terkenal. Walaupun begitu, ia tidak menukar pandangan ayahnya terhadap beliau.

Perkahwinan pertama Johnny tidak kekal disebabkan keadaan isterinya yang tidak memahami keadaan beliau (ataupun sebaliknya?). Ditambah pula dengan kemunculan penyanyi yang diidola oleh Johnny sejak kecik lagi June Carter (Reese Witherspoon) sebagai sebahagian di dalam siri tour beliau serata Amerika. Pujaan bertukar menjadi kasih dan ini makin memburukkan keadaan keluarga Johnny.

Walaupun Johnny mempunyai segalanya; populariti, duit dan pengaruh namun hatinya tidak tenang disebabkan masalah peribadi beliau.

Filem ini dicalonkan beberapa kategori di dalam Academy Awards dan Reese Witherspoon menang dalam kategori pelakon wanita utama dalam filem ini dan sememangnya beliau berhak di atas lakonan beliau yang begitu meyakinkan. Pada pihak penulis pula, filem ini mengajar penulis tentang diri Johnny Cash dan lebih-lebih lagi diperkenalkan kepada muzik Johnny Cash. Mungkin selepas ini Johnny Cash menjadi playlist penulis pula.

Skor : 7/10
Pengulas : Bentara

Wednesday, March 28, 2007

Good Night, and Good Luck. (2005)

Jurnalisme, pada suatu ketika merupakan satu instrumen yang sangat tajam. Bak kata pepatah mata pena itu lebih tajam dari pedang. Bergantung kepada siapa yang memegang mata pena terebut, hasilnya mungkin baik dan buruk, tetapi efektif jika dilakukan dengan etika yang betul.

Filem ini membawa kita beberapa dekad yang lampau, atau lebih tepat lagi pada tahun 1950an, di Amerika, di mana pada ketika satu jenis 'witch-hunt' sedang dijalankan. Witch-hunt ke atas pro-komunis. Joseph McCarthy adalah seorang senator yang mengelapai satu badan kerajaan yang menyiasat dan menghukum mereka yang disyaki sebagai pro-komunis. Metodnya sangat kabur dan penghukuman dijalankan tanpa bicara dan hanya berdasarkan kepada khabar yang tidak jelas.

Atas sebab metod sebegini, rakyat Amerika secara amnya ditakutkan-takutkan. Apa sahaja kaitan dengan pergerakan komunisme boleh dijadikan sebab untuk dihukum. Sebagai contoh, jika anda pernah berbual dengan seorang kawan 10 tahun dahulu yang merupakan seorang komunis, WALAUPUN anda tidak menjadi komunis, tetap ada kemungkinan anda boleh didakwa.

Edward R. Murrow (David Strathairn) adalah jurnalis di dalam program Good Night and Good Luck yang ditayangkan di stesen CBS ketika membangkitkan metod 'peras ugut' Senator McCarthy. Walaupun mendapat sokongan padu dari team jurnalis beliau termasuk produsernya, Fred Friendly (George Clooney) namun tidak pada golongan sponsor rancangan tersebut. Ini terus membawa dilema kepada stesen CBS tersebut yang memerlukan sokongan sponsor untuk pulangan wang. Boss CBS pada ketika amat prihatin atas rancangan yang kontroversi seperti itu.
Persoalan samada etika jurnalism lebih penting atau sponsor lebih penting menjadi tolak-tarik antara team jurnalis tersebut dengan pihak pengurusan stesen CBS. Bukan itu sahaja, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan juga makin 'meminati' rancangan tersebut atas dasar mahu menutup 'pekung' (jika ada) masing-masing. Isu kewangan dan politikal melawan etika jurnalisme menjadi mesej penting dalam filem ini.

Filem ini merupakan filem hitam putih kedua dicalonkan untuk Academy Awards selepas The Elephant Man (1980). Cinematography yang sungguh menarik dan dilakonkan dengan begitu baik sekali oleh pelakon-pelakon utama dan juga pelakon tambahan. Hampir 80% shot untuk filem ini berkisar di ruang ofis CBS tetapi masih memberikan 'engagement' yang kuat untuk saya menontonnya. Tahniah George Clooney sebagai direktor filem yang begitu menarik ini.

SKOR : 8/10
Pengulas : Bentara

Borat: Cultural Learnings of America for Make Benefit Glorious Nation of Kazakhstan (2006)

Ini filem spoof dokumentari. Paling dekat yang boleh penulis letak ialah bersama-sama dengan filem This Is Spinal Tap (1984). Cuma berbeza dari segi karektor. Borat (Sacha Baron Cohen) ialah seorang wartawan dari negara Kazakhstan yang ditugaskan untuk pergi ke USA untuk belajar budaya Amerika untuk dibawa ke Kazakhstan dengan harapan ini akan dapat 'memajukan' budaya Kazakhstan.

Maka pergilah beliau ditemani oleh kameraman (tanpa nama) dan pengarah, Azamat Bagatov (Ken Davitian). Bermula dari New York tetapi berkahir di Malibu gara-gara Borat jatuh cinta terhadap Pamela Anderson yang ditontonnya di dalam hotel ketika di New York. Plot yang mudah tetapi isi di antaranya yang penting.

Cohen meletakkan karektor Borat sebagai seorang yang naive dan lurus bendul - tidak pernah mengenali budaya di Amerika - merasakan bahawa untuk maju, beliau harus mempelajari cara dan moraliti Amerika. Logik yang mudah, jika budaya itu dari negara yang maju dan berkuasa; dipelajari dan dipraktikkan, maka negara beliau juga akan menjadi sebegitu.

Dengan sebab itu, apabila beliau mengambil kelas-kelas seperti kelas adab makan yang betul ataupun adab dalam membuat 'jokes', beliau sebenarnya cuba 'mengeluarkan' ketidakbetulan adab tersebut dari orang yang dipelajarinya. Ini dengan cara menunjukkan bahawa budaya Kazakhstan adalah primitif. Atau dengan lain perkataan, 'spoof' terhadap realiti sebenar.

Dan yang peliknya, mereka yang masuk dalam filem ini (mereka tidak sedar bahawa ianya hanyalah lakonan) percaya bahawa Borat mewakili budaya Kazakhstan. Pelik kerana mereka dengan serius percaya bahawa budaya Kazakhstan ialah mendiskriminasi wanita ke tahap hamba dan seks di dalam keluarga adalah sesuatu kelaziman di Kazakhstan. Ini membawa kita berfikir, siapa sebenar yang maju dalam fikirannya? Mungkinkah mereka yang maju itu sebenarnya naive kerana berpandangan sebegitu terhadap negara yang tidak maju?

Namun begitu Borat membawakan mesej ini dengan penuh ketawa. Awas, ada lawak beliau yang mungkin menjijikkan (pastikan ini bukan tontonan bersama keluarga). Scene yang mana beliau berbogel dan bergusti dengan Azamat memang menjijikkan.

Special Features di dalam DVD ini pun sungguh menghiburkan. Deleted scenes di dalam DVD ini adalah klip-klip yang dikatakan tak sesuai untuk tayangan di dalam panggung wayang. Amat jarang penulis melihat special features tetapi untuk DVD ini saya memberikan diri penulis ruang dan masa dan sesungguhnya penulis merasakan terhibur.

SKOR : 9/10
Pengulas : Bentara


Monday, March 26, 2007

The Three Burials of Melquiades Estrada (2005)

Filem sulung arahan pelakon Tommy Lee Jones menarik hati penulis untuk menonton filem ini. Mungkin filem ini sebaik filem arahan pelakon lain seperti Mystic River (Clint Eastwood) dan Braveheat (Mel Gibson). Dan dari CV Tommy Lee Jones sendiri beliau membintangi filem-filem yang agak menarik seperti The Hunted, The Fugitive dan Blown Away makin menarik-narik hati penulis untuk menonton filem ini.

The Three Burials of Melquiades Estrada adalah sebuah drama 'dendam'. Berbeza dengan genre yang lain dengan topik yang sama (balas dendam dengan pistol, senapang, pedang etc), filem ini 'membalas dendam' dengan cara menunaikan hajat si kawan yang telah mati.

Pete Perkins (Tommy Lee Jones) adalah seorang penggembala yang mempunyai kawan rapat, seorang Mexican bernama Melquiades Estrada (Julio Cedillo). Sebenarnya Estrada adalah seorang pendatang yang diselamatkan dan diberi posisi kerja di ladang Perkins sehinggalah hubungan pekerja-tuan menjadi kawan rapat. Dan suatu ketika Estrada berpesan kepada Perkins, iaitu andaikata beliau meninggal dunia, hendaklah beliau dikebumikan di kampung halamannya di Mexico.

Mike Norton (Barry Pepper) pula ialah seorang polis sempadan yang baru ditempatkan di kawasan yang sama bersama Perkins. Dalam menjalankan tugasnya, beliau agak aggresif di dalam tindakannya. Beliau tidak teragak-agak melakukan kekerasan terhadap pendatang yang datang menceroboh.

Karektor Perkins dan Norton bertemu apabila suatu hari di dalam rondaan umum di sempadan yang dilakukan oleh Norton beliau tertembak (sehingga mati) Estrada. Di dalam kelam kabut dan tidak sengaja itu, beliau telah menanam mayat Estrada dengan harapan tiada siapa menemui mayat tersebut. Namun mayat itu telah ditemui. Dan ianya diberi nama 'pengkebumian pertama Estrada'.

Apabila mayat Estrada ditemui, pihak berkuasa telah mengkebumikan kembali Estrada di tanah perkuburan awam. Perkins yang tidak puashati kerana pihak berkuasa (yang tahu cerita sebenar) tidak mahu mengambil tindakan terhadap Norton dan merahsiakan identiti pembunuh Estrada. Ini adalah 'pengkebumian kedua Estrada'.

Perkins akhirnya mengetahui identiti Norton melalui teman wanita beliau. Beliau mengorek kembali mayat Estrada yang hampir busuk, dan dengan berpandukan dengan lakaran peta yang diberi oleh Estrada tentang kampung halamannya, Perkins bertindak mahu menunaikan hajat Estrada. Tetapi tidak selepas beliau membawa Norton bersamanya.

Bermulalah perjalanan panjang Perkins, Norton (yang dipaksa) dan mayat Estrada (yang dilambatkan proses pereputan dengan menempekkan garam) ke kampung halaman Estrada. Namun lakaran yang diberi sangat kasar dan ia memberikan persoalan samada mereka akan sampai atau tidak ke tempat tersebut. Itulah tajuk 'pengkebumian ketiga Estrada'.

Jalan cerita filem ini menarik tetapi agak perlahan untuk saya. Lakonan Barry Pepper sangat meyakinkan sebagai seorang yang egoistik tetapi hilang segala-galanya apabila perjalanan tersebut bermula.

SKOR : 6/10
Pengulas : Bentara

Love Actually (2003)

Penulis bukanlah peminat filem cinta. Entah kenapa penulis membuat keputusan untuk menyewa filem ini. Mungkin tarikan pelakon-pelakon popular di dalamnya (sebenarnya, penulis meminati Rowan Atkinson hahaha). Dan adalah menjadi kebiasaan penulis, selepas pulang bersama-sama dengan DVD yang disewa, penulis akan terus merujuk kepada laman imdb.com untuk melihat ulasan-ulasan terdahulu untuk membuat keputusan filem apa yang patut ditonton malam itu.

Penulis akhirnya membuat keputusan untuk menonton filem ini. Keputusan yang dibuat memang tepat!

Love Actually mengisahkan hubungan cinta sesama manusia, samada pasangan lelaki perempuan dalam talian perkahwinan, di luar perkahwinan; antara orang tua dengan anaknya dan sebagainya. Dengan lain perkataan, filem ini cuba menggambarkan, di sebalik kesimpulan umum sekarang bahawa dunia dipenuhi dengan sengsara, benci dan kemusnahan, sebenarnya, di mana sahaja kita akan mendapati bahawa cinta itu tetap ada, bahkan merebak samada kita sedar atau tidak.

Beberapa karektor di dalam filem ini:

1. Hugh Grant melakonkan watak Perdana Menteri Britain yang baru dan beliau masih bujang. Hari pertama beliau masuk ke dalam pejabatnya, beliau terpikat dengan orang gajinya Natalie (Martine McCutcheon). Bagaimana cara PM ini mendapatkan idaman hatinya ini?

2. Seorang penulis novel yang sedang dalam proses menyiapkan bukunya bercuti ke negara luar (Spain kemungkinan) yang mana dia dijaga oleh orang gajinya. Mereka terpikat sesama sendiri cuma masalahnya masing-masing tidak mengetahui bahasa yang dilafazkan. Seorang berbahasa Inggeris dan seorang berbahasa Spanish.

3. Seorang suami yang berjaya dalam kariernya mempunyai sebuah syarikat yang berjaya telah digoda oleh pekerjanya sedangkan isterinya tahu beliau sedang digoda, dan mungkin jatuh ke tangan pekerja tersebut. Lihat betapa sengsaranya si isteri memujuk hati sambil berharap si suami sedar akan kesilapannya.

4. Seorang suami kematian isteri dan mengalami penderitaan rindu yang tak tertanggung sedangkan anak tirinya sedang mengalami cinta pandang pertama bersama rakan sekolah (skim pertukaran pelajar). Jenis rindu yang berlainan tetapi kesan yang sama. Bagaimana masing-masing mencuba mengubati rindu tersebut.

Dan beberapa lagi karektor yang pasti membuat kita terfikir bahawa memang sebenarnya dunia ini masih penuh dengan perasaan cinta (terus membuatkan penulis terfikir tentang kekuasaan Pencipta yang meletakkan perasaan cinta ini secara umum kepada hati-hati manusia. Andaikata perasaan ini tiada, apa akan jadi?). Semua karektor-karektor tersebut menghadapi masalah dalam misi percintaan mereka dan akhir filem ini menunjukkan cara masing-masing menyelesaikannya.

Jalan cerita filem ini agak mudah tetapi persembahannya menarik. Walaupun terdapat banyak subplot di dalam filem ini tetapi mesej sebenarnya berjaya disampaikan. Dan kemunculan Rowan Atkinson dalam dua scene kecil dalam filem ini sangat saya tunggukan dan ia sangat melucukan.

SKOR : 9/10
Pengulas : Bentara