Sunday, April 8, 2007

Animal House (1978)

Animal House banyak mengingatkan penulis dengan filem Gila-Gila Remaja atau Ali Setan kerana filem ini berkisar tentang kehidupan remaja di alam kolej. Disebabkan filem ini berkemungkinan antara filem pertama di dalam genre 'kolej' maka ia mendapat status 'kult' di kalangan peminatnya. Mungkin ada filem sebelumnya dalam genre yang sama tetapi filem ini banyak membawa tema 'absurd' dan melampau untuk jalan ceritanya.

Animal House membawa kisah tentang sebuah 'fraternity' di dalam sebuah kolej yang terletak paling bawah dalam senarai fraternity yang ada iaitu Delta fraternity. 'Markaz' Delta terletak bersebelahan dengan Omega yang merupakan fraternity terbaik di dalam kolej tersebut. Walaupun begitu, masing-masing mempunyai cara tersendiri dalam menonjolkan keunggulan fraternity masing-masing. Omega dengan kecermelangan mereka di dalam akademik dan aktiviti ko-kurikulum sedangkan Delta terkenal dengan err... kehancuran akademik dan lingkupnya aktiviti ko-kurikulum.

Namun begitu, Delta tetap ada penyanjungnya terutama golongan yang 'who cared less' dan golongan pemberontak. Antara agenda pertemuan mereka ialah parti, parti dan parti yang tak habis-habis. Disebabkan itu, ia memeningkan pihak pengurusan kolej dan mereka mahukan agar Delta dimansuhkan kerana Delta telah berada di dalam status 'gantung'. Oleh kerana secara rasmi ini tidak dapat dilakukan dengan mengikut undang-undang kolej maka pihak pengurusan berpakat dengan Omega untuk dapat memansuhkan Delta.

Filem ini pada zamannya dilihat sebagai satu 'pemberontakan' terhadap golongan yang kononnya 'berjaya' di dalam kolej. Mereka yang cemerlang dalam pelajaran digambarkan sebagai angkuh sedangkan mereka yang malas sebagai 'cool'. Pada pandangan penulis ini satu gambaran yang agak bias tetapi itulah yang memuaskan citarasa penonton. Sudah tentu kita tidak mahu menonton sebuah filem yang menonjolkan golongan yang cemerlang sebagai baik segala-galanya.

Penulis boleh faham kenapa filem yang tidak seberapa ini mendapat status kult pada pandangan peminatnya. Jika penulis juga berada pada zaman itu dan menuntut di kolej sudah pasti ini menjadi seolah-olah filem wajib tonton dan menjadi perbualan hangat. Malangnya filem ini ditonton ketika jiwa penulis tidak sebegitu. Dari segi jalan cerita, ia tersangat lurus dan monotonik. Adegan lucunya melampau dan tidak masuk akal. Tetapi filem dalam siri National Lampoon ini memang disaji dengan sebegitu rupa.

Skor : 6/10
Pengulas : Bentara

Saturday, April 7, 2007

Closer (2004)

Filem Closer menyuruh kita melihat dengan lebih fokus, apa yang sebenarnya sedang berlaku. Yang zahir di mata, malah di dalam fikiran belum tentu realiti sebenar. Lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan perasaan cinta yang sememangnya sudah ada perumpamaan yang dibuat untuknya iaitu 'cinta itu buta'. Apabila sudah buta bukankah yang zahir itu bukan sahaja tidak nampak, malah boleh menjadi berlawanan dengan apa yang disangka.

Dalam satu insiden yang tidak dirancang, Dan (Jude Law) mengenali Alice (Natalie Portman) dan hubungan 'strangers' mereka bertukar menjadi sepasang kekasih yang berbahagia. Tetapi ianya tidak lama apabila Dan mengenali Anna (Julia Roberts) hati Dan mula berubah. Apabila Anna mengetahui bahawa Dan sudah berpasangan dengan Alice, Anna menolak dengan baik. Zahirnya ditolak tetapi realitinya Anna sendiri ada hati terhadap Dan.

Zahir tolakan Anna itu tidak dapat diterima oleh Dan dengan baik. Dan melakukan satu lawak praktikal terhadap Anna. Suatu malam Dan berseks di alam siber dan berjaya menggoda Larry (Clive Owen) untuk bertemu dengan 'beliau' pada keesokan harinya. Larry tidak menyangka beliau tertipu dan Dan sebenarnya telah 'setup' pertemuan tersebut dengan Anna dengan harapan Anna terkena. Sebaliknya apa yang berlaku, pertemuan setup Larry dan Anna itu mula memutikkan cinta antara mereka berdua.

Hinggalah setahun kemudia apabila Dan bertemu kembali dengan Anna, masing-masing mula merasakan bahawa pasangan masing-masing bukanlah cinta mereka sebenar dan mereka mula berikrar untuk hidup bersama. Sudah tentu ini bukan keputusan yang baik. Larry dan Alice tidak menyetujuinya kerana merasa masing-masing tertipu oleh 'lakonan' setahun sebagai pasangan yang dicintai sedangkan sebenarnya ia tidak. Dalam menang pasti ada yang kalah dan yang kalah dikenali sebagai seorang 'loser'. Filem ini menampilkan seorang 'loser' antara mereka berempat yamg mana si loser hilang segala-galanya. Bukan sahaja beliau hilang di akhirnya, tetapi beliau ialah seorang loser sejak dari awal lagi.

Filem adaptasi dari produksi pentas ini dilakonkan dengan baik sekali di bawah arahan Mike Nichols (juga pengarah filem The Graduate - sila lihat ulasan filem ini dalam blog ini). Clive Owen dan Natalie Portman dicalonkan untuk anugerah Academy untuk kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Tambahan Terbaik.

Skor : 9/10
Pengulas : Bentara

The Graduate (1967)

Dustin Hoffman melakonkan watak Benjamin Braddock, seorang graduan yang baru keluar dari universiti dan sudah bersedia (pada pandangan kedua ibu bapanya) untuk menjadi manusia yang berjaya. Bukan sahaja di universiti para graduan dirai malah untuk keluarga Benjamin, beliau juga dirai dengan mengadakan parti. Sebenarnya ia bercabang dua, pertamanya untuk meraikan Benjamin dan kedua untuk 'memasarkan' kredibiliti Benjamin. Bukan Benjamin itu tidak berupaya cuma tampak tidak berminat.

Sememangnya Benjamin agak kurang berminat. Sapaan tahniah dari rakan keluarganya semasa majlis tersebut disambut dengan hambar dan cuba dielak dengan baik. Parti yang tidak parti itu (pada Benjamin) sangat merimaskan. Nasib menyebelahi beliau apabila beliau terpaksa menghantar seorang rakan keluarga beliau Mrs. Robinson (berpangkat makcik lakonan jelitawan Anne Bancroft) ke rumah. Cumanya, Benjamin tidak menjangka yang Mrs. Robinson tersebut sebenarnya mahu menggodanya setiba mereka di rumah.

Maka permainan 'rahsia' ini berlarutan. Dari seorang yang 'clueless' pada godaan pertama (yang melucukan) hinggalah kepada seorang yang expert (permainan yang kerap berlaku di sebuah hotel). Sememangnya, Benjamin ialah 'graduan' yang berjaya! Apa yang dipelajarinya di universiti tidak dipraktikkan hingga beliau dimarahi keluarga kerana masih tidak bekerja tetapi sebaliknya Benjamin 'bekerja' hampir setiap malam di bilik hotel. Kekerapan Benjamin dan Mrs. Robinson menginap di hotel hingga menyebabkan hampir keseluruhan pekerja hotel tersebut mengenali mereka.




Masalah mula timbul apabila anak perempuan Mrs. Robinson, Elaine (Katharine Ross), pulang bercuti dari universiti. Keluarga Benjamin dan suami makcik tersebut yang sememangnya tidak mengetahui permainan rahsia tersebut begitu bercita-cita agar Benjamin dapat disatukan bersama dengan Elaine. Benjamin yang pada mulanya menolak, akhirnya jatuh cinta kepada Elaine. Sebenarnya, dengan Mrs Robinson itu sekadar eksperimentasi tetapi cinta sebenarnya adalah kepada Elaine.

Situasi menjadi bertambah kompleks apabila Elaine mengetahui perkara sebenar sementara Mrs. Robinson pula menghalang perhubungan Benjamin-Elaine. Penyelesaian yang perlu dibuat oleh Benjamin begitu drastik sekali. Kerana beliau bukan lagi clueless. Bahkan tidak pula sekadar expert di atas katil. Sekarang beliau perlu menghadapi realiti sebenar dan penangan 'cinta' dalam erti yang sahih. Mike Nichols memenangi anugerah Academy untuk arahan filem ini disamping dicalonkan untuk beberapa kategori lain antaranya, Pelakon Lelaki dan Wanita terbaik.

Skor : 9/10
Pengulas : Bentara

Friday, April 6, 2007

Quadrophenia (1979)

'Lifestyle' mengikut attitude muzik sentiasa menjadi ikutan. Apabila terjadi sesuatu trend muzik, maka akan tercipta attitude. Apabila sudah ada attitude ia menjadi lifestyle. Sebutkan apa sahaja jenis muzik yang ada, pasti ada attitude dan sudah pasti adanya lifestyle. Masalah akan timbul apabila jenis lifestyle yang berbeza ini mula bertembung. Walaupun kawan boleh jadi lawan disebabkan lifestyle yang artificial ini.

Quadrophenia membawa kita kepada lifestyle 'mod' yang menular sekitar akhir 60an dahulu. Pada masa itu, kita disuakan dengan lifestyle mod yang bertembung dengan lifestyle rocker di Britain. Walaupun mempunyai beberapa persamaan (antaranya, mereka bermotosikal dan suka berparti) tetapi perbezaan yang kecil menjadi besar bagi mereka. Perbezaan ini tidak boleh diselesaikan dengan rundingan tetapi 'mesti' diselesaikan dengan penumbuk ataupun dibelasah.


Jimmy (Phil Daniels) menjadi fokus di dalam filem ini sebagai seorang mod tersohor dengan grupnya di sebuah suburb di Britain. Beliau adalah seorang 'working class citizen' yang menjalankan kerja 'budak suruhan' di dalam ofisnya sekadar cukup untuk berbelanja dan menghabiskan wangnya untuk pakaian mod yang mahal pada pandangan penulis (full suit) dan skuter Vespa beliau.

Walaupun seorang mod yang kental, sedikit konflik mula berlaku apabila kawan beliau yang agak rapat pula adalah seorang rocker. Persahabatan mereka secara sembunyi dan apabila kawan beliau itu dibelasah oleh grup mod, beliau menjadi seorang yang mengatakan 'tidak' kepada grupnya itu. Tetapi itu bukanlah masalah yang besar. Masalah besar beliau ialah beliau mencintai seorang gadis di dalam grup mod beliau.

Namun dalam meneruskan lifestyle mod yang berskuter, berparti dan menelan pil khayal, beliau mula dibuka terhadap 'kepalsuan' lifestyle tersebut. Manakan tidak. Lifestyle yang diasaskan dengan muzik bukanlah satu lifestyle yang kukuh kerana ia tidak terbina atas realiti. Sebaliknya ianya terbina atas platform imaginasi yang berubah-ubah mengikut pandangan orang yang mempeloporinya. Bahkan ia bisa terubah oleh pengikutnya sendiri.

Filem ini baik dari segi menonjolkan lifestyle mod kerana ia mendapat 'backing' dari kumpulan The Who yang (mungkin) terkenal dengan muzik mod tersebut. Dari segi autentiknya saya tidak pasti tapi gambaran asas mungkin berjaya dijelaskan. Tetapi mesej filem ini jelas, jiwa anak-anak remaja sentiasa bergelora dan lifestyle 'alternatif' sebegini menjadi ikutan walaupun sekadar untuk beberapa ketika yang akhirnya ditolak setelah menyedari bahawa ianya tidak sesuai dengan realiti kehidupan sebenar.

Filem ini terletak pada status 'kult' pada peminatnya. Kumpulan The Who sendiri menjalani tour Quadrophenia sebanyak dua kali dalam dua dekad iaitu pada tahun 1973/74 dan pada tahun 1996/97 menunjukkan betapa relevannya filem ini terhadap album The Who (atau sebaliknya - pilih mana yang sesuai).

Skor : 7/10
Pengulas : Bentara

Children of Men (2006)

Tiada siapa pun tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Atas sebab persoalan ini pelbagai andaian boleh dibuat, samada masuk akal ataupun tidak. Dalam filem, ia disajikan dalam genre fiksyen sains. Selain menjadi petunjuk bahawa manusia memang kurang ilmunya, ia juga menunjukkan bahawa imaginasi manusia seolah-olah tiada garis pemisah.

Children Of Men membawa kita pada zaman akan datang. Tidaklah jauh dari sekarang, cuma beberapa tahun sahaja kehadapan, iaitu di tahun 2027. Dunia ketika itu berada di dalam keadaan yang kaotik. Pemberontakan (dari konteks filem ini, pengganas) berlaku di seluruh dunia. Apabila TV dipasang, berita tentang kematian, pengeboman dan huru hara menjadi intisari utama.

Kita dikejutkan dengan klip berita pada masa itu yang mengatakan bahawa manusia paling muda telah mati dibunuh. Nanti sekejap. Manusia paling muda? Baca sekali lagi. Manusia paling muda? Mana mungkin ada manusia paling muda? Bukankah bayi dilahirkan setiap minit?

Rupa-rupanya, pada zaman itu, manusia menghadapi bencana paling besar. Lebih besar (pada pandangan filem ini) dari kematian. Bencana itu ialah, manusia menjadi mandul kesemuanya! Kelahiran terakhir berlaku kira-kira 19 tahun yang lampau. Selepas itu tiada lagi kelahiran. Disebabkan manusia paling muda telah mati, tempat tersebut telah diganti oleh orang kedua paling muda di dunia.

Keadaan dunia yang melampau huru haranya menjadikan Britain sebuah negara yang dihurungi pelarian. Oleh sebab kedatangan imigran yang tidak terkawal, kerajaan Britain membuat satu undang-undang ketat yang mana tiada lagi imigran dibenarkan masuk walau dengan apa sebab. Mereka di tahan dan diletakkan di dalam khemah pelarian yang pada pandangan penulis, seperti khemah pelarian Palestin. Wujudlah golongan penentang dengan taktik gerila yang menentang polisi kejam tersebut.

Dalam keadaan yang huru hara tersebut suatu kejadian pelik telah berlaku iaitu seorang wanita telah hamil. Hamil! Setelah 19 tahun ketandusan zuriat untuk keseluruhan manusia. Masalahnya, wanita tersebut ialah pelarian. Dan beliau mesti dibawa ke Britain untuk di hantar ke satu projek rahsia, The Human Project, yang menggembeleng tenaga untuk menyelesaikan masalah kemandulan manusia ini. Dengan harapan, suatu hari nanti, tamadun kemanusian dapat diteruskan.

Imej pos-apokalips yang cuba dipaparkan dalam filem ini sungguh berkesan. Keadaan tamadun manusia yang telah hampir dengan kehancurannya. Ini semua berlaku tanpa peperangan nuklear. Sebaliknya, berlaku atas sebab daya usaha manusia itu sendiri dan siapa tahu apa jenis penyakit yang menyebabkan keseluruhan manusia menjadi mandul? Ini mungkin boleh atau mungkin tidak berlaku. Menunjukkan bahawa manusia ini lemah sebenarnya. Dan harapan dalam menyelesaikan masalah ini BUKAN berada di tangan manusia sebenarnya.

SKOR : 9/10
Pengulas : Bentara